Kata-kata aluan

Assalamualaikum,

Selamat datang ke WLA 104/03 Pengajian Islam. Saya bagi pihak seluruh warga Universiti Terbuka Wawasan (WOU) ingin mengucapkan tahniah kepada anda yang telah berjaya ke semester seterusnya. Syabas di atas daya usaha, kegigihan dan kesabaran dalam mengharungi dunia pembelajaran dan ternyata anda berjaya membentuk jalan ke arah kecemerlangan akademik. Walau bagaimanapun, ketinggian sahsiah juga memainkan peranan yang penting dalam pembentukan peribadi seseorang pelajar. Dengan ini, bagi melengkapkan pelajar dalam membangunkan sikap, mental, cara berfikir, keinsafan diri, ketahanan perjuangan dan faham tentang halatuju realiti zaman yang pantas berubah maka anda wajib mengikuti kursus WLA 104/03. Subjek Pengajian Islam mampu menyediakan minda anda dengan input ilmu yang berkembang sehingga memiliki keupayaan menjawab persoalan-persoalan baru mengenai perkembangan
dunia pada masa kini.

Matlamat utama surat ini dirangka adalah menjelaskan kepada anda tentang kursus WLA 104/03. Kursus ini berperanan untuk memperkenalkan kepada anda tentang konsep-konsep asas dalam Islam, sejarah tamadun Islam, institusi-institusi Islam dari perspektif mikro kepada makro serta tasawwur Islam dan cabaran semasa. Subjek ini ialah satu subjek yang berperanan membimbing dan mendidik anda menjadi insan yang berakhlak mulia dan taat kepada segala perintah Allah s.w.t. dan meninggalkan larangan-Nya. Saya berharap melalui kefahaman yang jelas terhadap agama Islam, anda dapat menghilangkan segala perasaan syak wasangka dan menunjukkan kepada semua pihak bahawa Islam menolak sikap melampau, kemunduran dan kekacauan, dan sebaliknya menggalakkan umatnya bersungguh-sungguh berusaha mencapai kemajuan, keamanan dan kesejahteraan.

Anda akan menerima sebuah fail lengkap yang mengandungi bahan atau material kursus anda. Di dalam fail tersebut telah disertakan bahan material sokongan pembelajaran anda serta maklumat penting yang diperlukan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kursus ini. Latihan-latihan kendiri turut disediakan kepada anda sebagai latihan intensif agar anda lebih mahir dan dapat menguasai material kursus dengan lebih baik. Sekiranya anda mempunyai kemudahan komputer seperti Internet, ianya juga mampu memberikan kelebihan kepada anda kerana anda mampu mengakses data-data terkini daripada internet dan memperoleh maklumat lengkap mengenai laman web rasmi WOU. Dengan kemudahan teknologi ini, anda akan dapat mendekati tutor serta rakan-rakan anda untuk sama-sama berbincang mengenai maklumat terkini.

Anda seharusnya bijak menguruskan diri dan pekerjaan anda. Untuk berjaya bukanlah satu perkara yang mudah. Setiap ruang nafas dan keupayaan anda harus ditumpahkan dengan ikhlas agar anda mampu memberikan yang terbaik. Sekiranya anda mempunyai kemudahan lengkap seperti komputer beserta saluran Internet, anda tidak akan berasa terpinggir malah semakin teruja untuk memperolehi maklumat terkini dengan bantuan rakan-rakan seperjuangan serta tutor terlatih. Sekurang-kurangnya, anda tidak akan merasa jemu dan bersendirian.

Akhir sekali, ingin saya ingatkan kepada anda bahawa kami di sini tidak hanya ingin membantu anda di dalam subjek ini tetapi juga kami ingin memastikan anda lulus kursus ini dengan keputusan yang cemerlang. Sila usulkan masalah anda dan kita dapat sama-sama berbincang dan mencari jalan untuk mengatasinya. Namun anda perlu sedar bahawasanya segala apa yang dilakukan itu terletak di tangan anda sendiri. Kami hanya dapat membantu tetapi yang berusaha menentukannya adalah diri anda sendiri. Justeru, saya berharap agar anda benar-benar berusaha untuk memperbaiki setiap kelemahan anda. Walau bagaimananapun, sekiranya masih tetap dibelenggu dengan kesilapan, saya berharap anda tidak segan silu untuk mengkhabarkannya kepada saya.

Salam hormat daripada saya dan semoga anda sentiasa berusaha untuk mencapai kejayaan. Semoga mendapat perkhabaran yang baik tentang anda. Saya akan sentiasa menunggu maklum balas daripada anda. Semoga hari ini menjanjikan yang terbaik buat anda semua. Sekian.
Salam hormat,

Rabikha Hasni bt Suparman
Penyelaras Kursus
Emel: rabikhahs@wou.edu.my

Comments are closed.