79 Zaman Rasulullah s.a.w.

Zaman Rasulullah s.a.w.

Oleh kerana kesusasteraan merupakan satu daripada unsur kebudayaan yang penting bagi masyarakat Arab sebelum kedatangan Islam, maka unsur ini terus kekal selepas kedatangan Islam. Bagaimanapun ia mengalami perubahan besar dari segi falsafah, matlamat dan juga tema-temanya.

Pada zaman awal Islam, orang Islam tidak sahaja menerima serangan daripada orang Musyrikin dalam bentuk fizikal dan ketenteraan, malahan mereka turut dihujani serangan-serangan melalui pengucapan seni yang berbentuk puisi. Dengan
itu, mereka membalas serangan-serangan tersebut dalam bentuk syair dan puisi. Maka lahirlah penyair dan pemuisi Islam yang handal bagi membalas serangan Musyrikin tersebut. Antara sasterawan Muslim yang bertindak sebagai benteng untuk menangkis serangan tersebut ialah Hassan ibn Thabit, Ka‘ab ibn Malik dan Abdullah ibn Rawahah.

Apabila kita membincang tentang puisi Islam, maka perkara paling penting yang perlu disorot ialah takrifan puisi Islam itu sendiri. Dr. Haji Hashim Haji Abd. Hamid, Pengarah Akademi Pengajian Brunei, Universiti Brunei Darussalam dalam
kertas kerjanya yang berjudul Puisi Islam: Saranan Dakwah dan Ukhuwah Islamiah, mendefinisikan puisi Islam (sama ada puisi lama atau baru) sebagai puisi atau sajak yang mengajak manusia ke arah kebaikan di dunia dan di akhirat. Dengan kata lain, puisi Islam adalah pengucapan indah yang mendendangkan/ menyuarakan/ mengajar/menganjurkan amar makruf dan nahi mungkar.

 

Ciri-ciri puisi Islam

  • Puisi mestilah ditulis oleh orang Islam yang benar-benar tahu bahawa mereka adalah khalifah di atas muka bumi.
  • Puisi tersebut mestilah mendorong manusia untuk melakukan amar makruf dan nahi mungkar.
  • Puisi mestilah mendorong manusia untuk menegakkan yang halal, benar dan mengharamkan yang batil/haram.
  • Puisi itu mestilah menegakkan ajaran Allah.
  • Puisi mestilah mendorong lahirnya masyarakat yang adil dan makmur.
  • Puisi mestilah mengesan bahawa orang jahat tidak ada jalan untuk hidup.

Sumber: http://www.esastera.com/nimoiz/artikel.htm

 

Karya sastera Islam yang berbentuk prosa berkembang dalam peradaban Islam sesuai dengan proses penurunan al-Qur’an dan menjadi semakin matang dengan lengkapnya keseluruhan al-Qur’an. Penggunaan cerita-cerita dalam al-Qur’an turut dijadikan media dakwah sejak zaman Bani Umaiyah lagi. Antara mereka yang berdakwah mengunakan cerita ialah Hassan al-Basri, Tamim al-Dari, Thawus ibn Kaisan dan lain-lain lagi.