81 Zaman Bani Umaiyah

Zaman Bani Umaiyah

Secara umumnya kerajaan Bani Umaiyah terus mengekalkan kesinambungan perkembangan seni kesusasteraan Islam seperti yang telah diasaskan pada era Rasulullah s.a.w. dan era Khulafah al-Rasyidin. Genre sastera yang telah sedia ada
terus berkembang seperti puisi, syair, prosa dan sebagainya. Namun oleh sebab perkembangan dan perubahan latar belakang sosiopolitik pada masa itu, maka tema-tema sastera juga mengalami sedikit perubahan. Pada ketika itu mula lahir tema-tema yang berbentuk permusuhan kabilah, pemujaan kepada pemerintah dan tema lain yang tidak sesuai dengan falsafah seni kesusasteraan Islam.

Walaubagaimanapun ini bukanlah senario utama yang mewarnai suasana dunia kesusasteraan Islam pada masa itu. Malah, sebahagian sasterawan yang bertanggungjawab melahirkan unsur-unsur buruk ini sebenarnya bukan sasterawan Islam. Umpamanya, seorang penyair terkenal pada ketika itu iaitu al-Akhtal merupakan seorang yang beragama Kristian. Beliau antara orang yang bertanggungjawab menghidupkan tema pemujaan keterlaluan kepada pemerintah khususnya Bani Umaiyah pada ketika itu untuk kepentingan peribadinya. Beliau juga banyak menghasilkan syair yang bertemakan pemujaan kepada arak dan maksiat. Dengan ini tentulah hasil sastera seperti ini tidak termasuk dalam kategori kesusasteraan Islam.

Pada umumnya kesusasteraan Islam yang sebenarnya pada zaman Bani Umaiyah masih lagi terpelihara walaupun terdapat unsur-unsur yang kurang baik. Malah pada era ini juga mula bertapaknya satu lagi genre sastera baru yang penting dalam sejarah tamadun Islam iaitu penulisan sejarah dan biografi oleh tokoh-tokoh sejarah seperti Ibn Ishaq, Wahab ibn Munabbih, ‘Urwah ibn al-Zubair dan sebagainya.

Comments are closed.