151 5.1 Tasawwur Islam

Objektif

Pada akhir bab ini, anda seharusnya dapat:

1. Mendefinisikan setiap ciri dan keistimewaan tasawwur Islam

2. Mengaitkan setiap ciri dan keistimewaan tasawwur Islam dengan ajaran Islam.

3. Menerima hakikat bahawa segala peraturan dalam al-Quran yang bersifat jelas dan nyata, adalah tidak bertentangan dengan pemikiran manusia.

 

Pengenalan

Tasawwur Islam pada asasnya merujuk kepada gambaran menyeluruh tentang isi kandungan ajaran Islam yang meliputi aspek akidah, akhlak dan amaliyyah. Tasawwur Islam adalah hasil pemerhatian dan kesimpulan para sarjana terhadap sifat-sifat dan ciri-ciri ajaran Islam dalam kesemua bidangnya. Oleh itu, perbincangan tentang tasawwur Islam ialah perbincangan tentang gambaran ajaran Islam berdasarkan kandungannya yang telah anda pelajari sebelum ini. Untuk memudahkan anda memahami gambaran menyeluruh tentang ajaran Islam, bab ini akan memecahkan tajuk perbincangan kepada beberapa subtajuk iaitu keistimewaan dan ciri-ciri ajaran Islam, pandangan semesta Islam, epistemologi Islam, konsep ilmu dan konsep nilai.