152 Tasawwur Islam: Ciri-ciri dan keistimewaan

Tasawwur Islam: Ciri-ciri dan keistimewaan

Perbincangan tentang ciri-ciri dan keistimewaan Islam dalam tasawwur tidak diperoleh secara khusus dalam al-Qur’an, al-Hadith mahupun penulisan para ulama’ silam. Namun, berdasarkan pemerhatian dan kajian yang teliti, mendalam serta objektif terhadap ajaran dan isi kandungan Islam, maka kita dapat simpulkan bahawa Islam mempunyai beberapa ciri dan keistimewaan unggul yang membezakannya daripada ajaran-ajaran lain. Ciri-ciri dan keistimewaan Islam ini dapat dapat dirumuskan seperti berikut:

 

Rabbani (Ketuhanan)

Rabbani atau ketuhanan bermaksud segala hukum, konsep, nilai dan peraturan yang terdapat di dalam Islam adalah ditetapkan dan diwahyukan oleh Allah s.w.t. Ia bukanlah hasil pemikiran dan ciptaan manusia. Peranan manusia hanyalah sekadar memahami, memperkembangkan dan melaksanakannya dalam kehidupan mereka. Manusia, walau setinggi mana pun kedudukannya, tiada hak untuk campur tangan dalam urusan ketuhanan seperti penentuan hukum haram, halal, dosa, pahala, nilai baik, buruk, jahat dan sebagainya. Peranan manusia dalam hal ini hanyalah untuk mengkaji dan mengenal pasti hukum Allah dalam sesuatu perkara. Kemudian, setelah jelas kepada mereka tentang hukum tersebut maka mereka perlu melaksanakannya dalam kehidupan.

Ciri-ciri rabbani ini dinyatakan oleh Allah s.w.t. pada banyak tempat di dalam al-Qur’an. Antaranya, firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Sesungguhnya Kami telah turunkan kepada kamu kitab (al-Qur’an) dengan kebenaran, maka taatlah kepada Allah dengan penuh keikhlasan kepada-Nya, ingatlah bahawa agama yang bersih (benar) itu adalah milik Allah.

(Surah al-Zumar: 2 – 3)

 

Al-Thabat wa al-Murunah (Tetap dan anjal)

Thabat bermaksud tetap atau tidak berubah. Dalam konteks ajaran Islam, ada perkara yang telah tetap dan tidak boleh dipinda dan diubah-ubah dasar, prinsip dan perlaksanaannya. Antara perkara yang termasuk dalam konsep thabat adalah aspek akidah dan hukum-hakam amaliyyah yang dinyatakan secara qat’i (pasti) dalam al-Qur’an dan al-Sunnah.

Konsep al-thabat dalam aspek akidah dapat dilihat dari segi kepercayaan terhadap Allah s.w.t. yang Maha Esa dan tiada sekutu bagi-Nya. Perkara-perkara berkaitan akidah adalah tetap dan tidak boleh dipinda atau diubah-ubah. Sementara dalam konteks amaliyyah seperti ibadat solat, puasa, haji dan zakat telah ditetapkan cara dan waktu perlaksanaan dalam syariat Islam. Begitu juga beberapa prinsip dalam muamalat seperti pengharaman riba, gharar (unsur-unsur yang tidak ketentuan), kewajipan saling meredai dalam berakad dan lain-lain. Selain itu, hukum jenayah yang diwajibkan dalam al-Qur’an dan al-Hadith seperti hukum hudud dan qisas tidak boleh diubah-ubah perlaksanaannya. Begitu juga hukum haram bagi perkaraperkara yang dijelaskan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah seperti khinzir, minum arak, berjudi dan riba. Perkara-perkara ini ditentukan secara qat’i dan tidak mungkin berubah sampai bila-bila. Perkara-perkara seperti inilah yang termasuk dalam konsep al-thabat.

Al-Murunah (anjal) pula bermaksud bahawa selain daripada perkara-perkara pokok dan dasar yang tidak boleh berubah, terdapat juga perkara-perkara ranting dan cabang yang boleh berubah mengikut kesesuaian dengan perubahan maslahah manusia sepanjang peredaran zaman. Hal ini menjadikan agama Islam yang diturunkan oleh Allah s.w.t. sentiasa sesuai dan bersifat senang dan mudah untuk diamalkan. Islam mementingkan kemudahan dan tidak sesekali menyusahkan umatnya dalam mengamalkan segala ajarannya. Sebagai contoh, solat adalah wajib dan perlu dilaksanakan mengikut ketetapan rukun. Walaubagaimanapun, jamak dan qasar dibenarkan dalam solat sekiranya seseorang itu bermusafir. Ini terbukti bahawa hukum Islam tidak statik, sebaliknya bersifat anjal dan fleksibel dengan memberi keutamaan kepada keselesaan penganutnya.

Ciri menjaga kepentingan manusia ini dapat dilihat dengan jelas dalam firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Allah tidak sesekali memberatkan seseorang itu kecuali dengan kadar upayanya. Baginya (pahala) bagi kebaikan yang dikerjakannya, dan keatasnya (dosa) bagi kejahatan yang dikerjakannya. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau seksa kami atas apa yang kami terlalai atau silap padanya. Ya Tuhan kami, Janganlah Engkau pikulkan pekerjaan yang berat ke atas kami sebagaimana yang Engkau bebani ke atas mereka yang sebelum daripada kami.

(Surah al-Baqarah: 286)

 

Waq’iyyah (Realistik)

Waq’iyyah bermaksud ajaran Islam bersifat praktikal dan realistik iaitu bersesuaian dengan realiti kehidupan manusia. Ajaran Islam sentiasa seiring dengan kenyataan hidup manusia. Dalam menetapkan sesuatu hukum atau peraturan, Islam sentiasa mengambil kira realiti semasa, setempat dan adat yang diamalkan. Umpamanya, jika sesuatu masyarakat telah mengamalkan sesuatu adat atau budaya tertentu dalam menjalankan aktiviti ekonomi atau perniagaan antara mereka, dan adat itu pula tidak mendatangkan sebarang keburukan dan tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam, maka ia diiktiraf dan diterima dalam Islam.

Selain itu, dalam memerintahkan ketaatan manusia kepada hukum-hukumnya, Islam tidak membebankan manusia dengan hukuman yang tidak realistik sehingga manusia tidak mampu menunaikannya. Misalnya, Islam tidak memerintahkan manusia untuk beribadat sepanjang masa sehingga mengabaikan kerja-kerja harian untuk mencari rezeki bagi menampung keperluan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Malah, kerja-kerja harian ini jika dilakukan dengan betul dan memenuhi syarat-syaratnya, turut dianggap sebagai ibadat dan pelakunya diberi pahala yang banyak.

Islam merupakan agama yang sangat mementingkan keadilan. Namun begitu, pada masa yang sama, Islam mengiktiraf bahawa dalam realiti kehidupan manusia di alam ini terdapat perbezaan, baik dari segi jantina, keupayaan fizikal dan mental, taraf ekonomi dan lain-lain. Dengan itu, dalam menunaikan keadilan ekonomi umpamanya, Islam tidak menuntut agar harta kekayaan dibahagikan sama rata antara manusia. Hal ini kerana realitinya, manusia tidak sama dari segi keupayaan fizikal, mental, kreativiti, kerajinan, tanggungjawab dan lain-lain. Oleh itu, anugerah dan habuan ekonomi juga berbeza-beza berdasarkan perbezaan setiap individu dari segi usaha dan kesungguhan, kerajinan, kreativiti, tanggungjawab yang dipikul dan lain-lain.

Dalam hal ini Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

Dan Allah melebihkan sesetengah daripada kamu ke atas yang lain (dari segi anugerah) rezeki.

(Surah al-Nahl: 71)

Namun begitu, Islam juga memerintahkan agar manusia yang dianugerahkan dengan kelebihan rezeki itu tidak melupai golongan yang kurang bernasib baik. Realiti dalam kehidupan manusia menunjukkan bahawa sentiasa terdapat golongan miskin dan kurang bernasib baik yang perlu dibantu. Oleh sebab itu, Islam mewajibkan anda berzakat dan memberikan pahala/ganjaran yang besar kepada mereka yang bersedekah.

Ringkasnya, semua bukti menunjukkan bahawa Islam adalah realistik, malah telah berjaya diamalkan dengan baik sehingga Islam dapat membina tamadun yang cemerlang serta menjadi pelopor dalam pelbagai bidang kehidupan.

 

Tawazun (Keseimbangan)

Tawazun bermaksud ajaran Islam memberikan perhatian yang seimbang kepada semua aspek kehidupan manusia; dari segi individu dan masyarakat, rohani dan jasmani, kebendaan dan kerohanian serta dunia dan akhirat.

Islam tidak membenarkan umatnya mementingkan diri sehingga mengabaikan kepentingan masyarakat dan begitu juga sebaliknya. Islam juga tidak membenarkan umatnya mementingkan aspek kerohanian semata-mata sehingga mengabaikan aspek jasmani dan kebendaan dan begitu juga sebaliknya. Umpamanya, seseorang tidak dibenarkan beribadat sepanjang masa sehingga mengabaikan keperluan menjaga kesihatan tubuh badan atau mencari rezeki yang halal. Begitu juga sebaliknya, umat Islam tidak dibenarkan mencari rezeki sehingga mengabaikan kepentingan beribadat kepada Allah. Islam juga tidak membenarkan penganutnya mementingkan aspek kehidupan dunia sehingga mengabaikan kehidupan akhirat, begitu juga sebaliknya.

Islam memerintahkan agar kesemua aspek hidup manusia mestilah digabungkan dalam satu gabungan yang seimbang, harmonis dan sepadu supaya kehidupan manusia menjadi sempurna dan sejahtera.

Kepentingan ciri tawazun ini dapat dilihat dengan jelas dalam firman Allah yang bermaksud:

… apabila kamu diseru untuk menunaikan solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu mengingati Allah dan tinggalkan jual-beli. Itu lebih baik bagi kamu sekiranya kamu mengetahui. Apabila solat telah dilakukan maka bertaburanlah kamu di muka bumi, carilah kurniaan Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung.

(Surah al-Jumu’ah: 9 – 10)

Ayat di atas dengan jelas memerintahkan umat Islam untuk memberi perhatian yang sewajarnya kepada kedua-dua aspek kehidupan di dunia dan akhirat.

 

Syumul (Menyeluruh)

Syumul bermaksud Islam merupakan agama yang sempurna dan menyeluruh serta mencakupi segala aspek kehidupan setiap manusia.

Allah s.w.t. memiliki segala sifat kesempurnaan dan pengetahuan. Semua aspek kehidupan manusia dijelaskan dan diberikan panduan oleh Allah s.w.t. dalam wahyu-Nya. Oleh itu, Islam mempunyai peraturan hidup yang serba lengkap, merangkumi semua aspek kehidupan manusia dari segi kepercayaan, pemikiran, akhlak, ekonomi, politik, sosial, perundangan, pendidikan, alam sekitar, kesihatan dan lain-lain. Jika prinsip dan panduan ajaran Islam ini dihayati sepenuhnya dengan bijaksana, maka ia berupaya menyelesaikan segala masalah yang dihadapi manusia.

Namun begitu, tidak semua aspek kehidupan manusia ini dijelaskan dengan terperinci dalam al-Qur’an dan al-Hadith. Hal ini kerana perjalanan hidup manusia akan berterusan manakala wahyu al-Qur’an dan al-Hadith pula terhenti dengan kewafatan Rasulullah s.a.w. Oleh itu, sebahagian besar panduan yang berkaitan aspek kehidupan manusia dinyatakan dalam wahyu secara umum dan prinsipnya sahaja. Perinciannya dibiarkan kepada manusia mengikut kesesuaian masa dan suasana kehidupan mereka. Inilah yang menjadikan ajaran Islam itu sentiasa sesuai untuk semua manusia pada semua zaman. Contohnya, pelaburan duit di dalam insurans nyawa dan Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Kesempurnaan ajaran Islam seperti yang terkandung dalam al-Qur’an dan al-Hadith itu dapat dilihat dengan jelas dalam firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Dan kami turunkan ke atas engkau kitab (al-Qur’an) sebagai penjelasan bagi semua perkara.

(Surah al-Nahl: 89)

 

‘Alamiyyah (Sejagat)

‘Alamiyyah bermaksud Islam merupakan agama yang universal, tidak terikat dengan masa, tempat dan ruang. Malah, Islam sesuai untuk semua manusia, setiap bangsa dan tidak terbatas pada masa-masa tertentu. Aspek ‘alamiyyah merangkumi tiga bidang utama iaitu syariah, akhlak dan akidah.

Semua manusia tanpa mengira bahasa, warna kulit dan bangsa mempunyai kedudukan yang sama di sisi Allah s.w.t. Tidak ada bangsa yang lebih mulia daripada bangsa lain kerana faktor bangsa atau warna kulit atau bahasa semata-mata. Faktor tunggal yang membezakan seseorang dengan yang lain ialah tahap ketakwaan kepada Allah s.w.t. Semakin bertakwa, maka semakin tinggilah kedudukan orang tersebut di sisi Allah.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Sesungguhnya yang terlebih mulia daripada kalangan kamu ialah yang paling bertakwa.

(Surah al-Hujurat: 13)

Manifestasi kesejagatan Islam bukan sahaja meliputi sesama manusia, malah merangkumi makhluk yang lain. Allah s.w.t. bukanlah Tuhan bagi manusia sahaja, malah Allah s.w.t. juga merupakan Tuhan bagi makhluk yang lain. Oleh itu, ajaran Islam diturunkan bukan sahaja untuk menjaga kebahagiaan dan kebajikan makhluk manusia sahaja, tetapi juga makhluk yang lain seperti haiwan, tumbuh-tumbuhan dan lain-lain.

Dalam hal ini, Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

“Dan tidak Kami utuskan engkau (Muhammad) melainkan sebagai (membawa) rahmat ke seluruh alam”.

(Surah al-Anbiya’:107)

 

Wasatiyyah (Kesederhanaan)

Wasatiyyah ialah elemen yang sangat penting dalam Islam. Islam menolak semua unsur ekstremisme dalam kehidupan manusia. Sikap melampau bukan sahaja ditegah dalam aspek kehidupan di dunia seperti pemakanan, mengumpul harta dan sebagainya. Malahan, dalam aspek keakhiratan seperti beribadat dan berzikir, sekiranya dilakukan secara melampau, juga tidak dibenarkan.

Islam amat menitikberatkan kesederhanaan dalam semua perkara kerana sifat kesederhanaan ini sesuai dengan fitrah manusia. Dalam aspek pemakanan umpamanya, Allah s.w.t. menyuruh manusia makan dan minum dari makanan dan minuman yang baik. Namun pada masa yang sama juga Allah s.w.t. mengingatkan manusia agar tidak melampaui batas.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

… dan makanlah dan minumlah dan (tetapi) jangan kamu melampaui batas kerana Ia (Allah) tidak suka orang yang melampaui batas.

(Surah al-A’raf: 31)

Melampaui batas dalam apa jua aktiviti sekalipun, termasuk dalam pemakanan merupakan sesuatu yang membahayakan diri manusia. Hal ini termasuk melakukan ibadat. Sikap melampaui batas dalam beribadat akhirnya akan menyebabkan seseorang berasa susah, tertekan dan akhirnya menjadi jemu.

Rasulullah s.a.w. mengingatkan umat Islam dalam sabdanya yang bermaksud:

Lakukan amalan ibadat (sunat) sekadar yang kamu mampu, kerana Allah s.w.t. tidak jemu sehingga kamu sendiri nanti yang akan jemu.

(HR. al-Bukhari)

Namun ini tidak pula bermakna umat Islam mesti bersederhana dalam melaksanakan akidah Islamiyyah. Ertinya beriman kepada semua rukun iman secara sederhana sahaja dan tidak benar-benar yakin. Keimanan kepada Allah dan semua rukun iman mestilah dilakukan dengan penuh yakin tanpa sebarang keraguan. Keimanan yang tidak kukuh dan ragu-ragu tidak diterima oleh Allah s.w.t.

 

Aktiviti 5.1
Soalan kepada aktiviti 5.1 Cadangan jawapan untuk aktiviti 5.1

 

 

 

 

 

 

 

Latihan Kendiri 5.1
Soalan latihan Kendiri 5.1 Cadangan jawapan latihan Kendiri 5.1

 

Comments are closed.