96 Syarat-syarat ibadat

Syarat-syarat ibadat

Terdapat beberapa syarat untuk melakukan ibadat seperti yang dituntut dalam Islam. Antara syarat-syarat tersebut ialah:

 

1. Dibuat secara betul

Ibadat mestilah dilakukan seperti yang dikehendaki oleh Allah s.w.t. dan ini boleh diketahui melalui apa yang diajarkan dan ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. Sesuatu ibadat jika tidak dibuat mengikut cara yang betul seperti yang ditunjukkan maka ia tidak dianggap sebagai ibadat. Contohnya, Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sembahyanglah kamu seperti mana kamu lihat aku bersembahyang.”

2. Perlaksanaan ibadat

Sesuatu perbuatan tidak akan menjadi ibadat jika sekiranya tidak diniatkan secara ikhlas kerana Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

… maka sesiapa yang berharap bertemu dengan Tuhannya maka hendaklah dia beramal dengan amalan yang soleh dan janganlah dia mensyirikkan-Nya dalam ibadat kepada Tuhannya itu dengan sesiapa pun.

(Surah al-Kahf: 110)

 

Firman Allah s.w.t. lagi yang bermaksud:

Dan tidak disuruh manusia itu melainkan supaya mereka beribadat kepada Allah dalam keadaan ikhlas baginya.

(Surah al-Bayyinah: 5)

Oleh itu, sesuatu ibadat yang dilakukan secara berulang-ulang tetapi tidak diniatkan secara ikhlas maka ia hanya dianggap sebagai adat kebiasaan sahaja. Niat amat penting kerana ia dapat membezakan antara ibadat dan adat.

3. Perkara dilaksanakan mesti dibolehkan oleh syariat

Apa jua perkara yang hendak dilaksanakan itu mestilah mengikut syariat yang telah ditetapkan oleh Islam. Contohnya, perkara yang melibatkan makanan dan minuman. Misalnya, seseorang yang ingin berniaga mencari rezeki untuk keluarga. Secara tidak langsung, beliau telah melaksanakan ibadat iaitu melalui berniaga makanan yang hasilnya menjadi makanan asas dan memberi manfaat kesihatan rohani dan jasmani kepada semua umat Islam.

4. Dilakukan dengan tekun dan sempurna

Sesuatu yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. yang dilakukan secara sambil lewa tidak akan diterima oleh Allah sebaik-baiknya. Umpamanya, kita dituntut supaya khusyuk (tumpuan sepenuhnya) dalam sembahyang. Kewajipan khusyuk dalam sembahyang ini merupakan manifestasi daripada tuntutan komitmen yang jitu sepenuhnya dalam mengadapkan diri kepada Allah s.w.t. Dalam bidang muamalat pula, kebiasaan sikap bermain-main hanya akan menghasilkan kerja yang rendah kualitinya. Sikap membuang masa adalah satu perbuatan yang dilarang dalam syariat Islam. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

Sesungguhnya Allah s.w.t. suka apabila seseorang melakukan sesuatu dia lakukan dengan sempurna.

(HR. Muslim)

5. Tidak melalaikan daripada kewajipan yang lain

Dalam mengerjakan sesuatu urusan, terutamanya urusan yang termasuk dalam ibadat umum, janganlah sampai melalaikan diri daripada ibadat asasi atau ibadat-ibadat lain yang lebih utama. Umpamanya, tekun dalam fardu
kifayah sehingga lalai daripada kewajipaan fardu ain. Jika ini berlaku maka seluruh aktiviti muamalat tersebut dikira sebagai satu maksiat kepada Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Wahai orang yang beriman janganlah melalaikan kamu oleh harta kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah dan sesiapa yang berbuat demikian sesungguhnya mereka adalah orang yang rugi.

(Surah al-Munafiqun: 9)

 
 

Aktiviti 3.3
Soalan kepada aktiviti 3.3 Cadangan jawapan untuk aktiviti 3.3

Comments are closed.