156 Sistem nilai

Sistem nilai

Apakah nilai? Secara mudahnya, nilai didefinisikan sebagai satu ukuran berdasarkan pandangan manusia tentang sesuatu perkara seperti baik, buruk, jahat, berfaedah, sia-sia dan sebagainya.

Mengikut pandangan Barat, nilai merupakan sesuatu yang abstrak dan subjektif. Hal ini kerana ia bergantung semata-mata kepada pemikiran manusia sama ada secara berkelompok atau secara individu. Pemikiran manusia sentiasa subjektif kepada persekitaran di mana manusia itu hidup. Persekitaran manusia pula sentiasa berubah-ubah dari semasa ke semasa. Dengan itu, sistem nilai juga akan sentiasa berubah-ubah sebagai kesan daripada perubahan pemikiran yang dipengaruhi oleh perubahan persekitaran. Oleh itu, sistem nilai tidak sama antara satu masyarakat dengan masyarakat yang lain dan ia juga tidak sama antara satu masa dengan masa yang lain. Atas kefahaman inilah masyarakat Barat mengatakan bahawa sistem nilai adalah satu konsep yang abstrak dan subjektif.

Antara contoh yang boleh dilihat tentang perubahan sistem nilai yang diterima dalam masyarakat Barat ialah pandangan mereka tentang beberapa isu sosial. Sejarah mencatatkan bahawa pada Zaman Pertengahan Eropah (Medieval Period), golongan wanita tidak dianggap sama kedudukannya dengan golongan lelaki. Wanita tidak mendapat layanan yang setaraf dengan lelaki. Wanita dianggap tidak berkebolehan melakukan banyak kerja-kerja penting. Dengan itu, mereka dipinggir dan disekat dalam banyak aspek kehidupan. Namun, setelah memasuki era sains dan teknologi, pandangan dan ukuran masyarakat Barat telah berubah kerana beberapa sebab tertentu. Dengan itu, sistem nilai yang mengukur kedudukan wanita seperti yang diterima pakai pada Zaman Pertengahan dahulu ditinggalkan. Dapatkah anda berikan contoh yang lain?

 

Aktiviti 5.6
Soalan kepada aktiviti 5.6 Cadangan jawapan untuk aktiviti 5.6

 

 

 

 

 

 

Konsep dan sumber nlai

Pada pandangan Islam, sumber asas yang menentukan sistem nilai adalah wahyu Allah dalam bentuk al-Qur’an dan al-Sunnah. Hal ini bermakna bahawa sistem nilai Islam yang terbentuk daripada panduan wahyu ini tidak bersifat subjektif dan abstrak. Sebaliknya, nilai itu jelas dalam al-Qur’an dan al-Sunnah. Apa-apa tradisi, kebiasaan, amalan dan budaya yang dianggap baik oleh sumber wahyu, maka ia adalah baik pada bila-bila masa sahaja bagi mana-mana masyarakat juga. Sebaliknya, apa-apa yang dianggap sebagai buruk atau jahat dalam sumber wahyu, maka ia tetap jahat dan buruk bagi mana-mana masyarakat juga pada bila-bila masa sahaja. Hal ini bererti nilai-nilai ini akan tetap kekal dan tidak akan berubah-ubah sampai bila-bila bagi mana-mana masyarakat juga. Sebagai bandingan kepada contoh-contoh sebelum ini, Islam telah meletakkan kedudukan yang tinggi bagi golongan wanita seawal zaman Islam lagi. Kedudukan ini akan terus kekal dan tidak akan berubah sampai bila-bila pun.

Islam meletakkan wahyu mengatasi pemikiran manusia dalam menentukan sistem nilai kerana pemikiran manusia mempunyai batasan tertentu dan kelemahan tertentu dalam menetapkan apa-apa yang baik dan buruk bagi kehidupan mereka. Antara kelemahan pemikiran manusia ialah sentiasa dipengaruhi oleh unsur-unsur pilih kasih, berat sebelah dan sebagainya. Setiap manusia mengingini yang lebih baik bagi dirinya atau kelompoknya berbanding diri orang lain atau kelompok lain. Hal ini bermakna jika pemikiran manusia semata-mata dibiarkan untuk menentukan apa yang baik atau buruk atau apa yang adil atau zalim bagi dirinya, kelompoknya dan kelompok lain, maka akan sentiasa berlaku ketidakadilan terhadap orang lain dan kelompok lain.

Namun begitu, panduan wahyu daripada al-Qur’an dan al-Sunnah tidaklah terlalu terperinci dalam semua perkara sehingga mampu menjawab dengan khusus segala perkara yang berlaku dalam kehidupan semua manusia pada semua zaman. Dalam perkara-perkara seperti ini, maka Islam membenarkan manusia menentukan nilai yang baik dan buruk dengan menggunakan akal fikiran mereka sendiri berpandukan kepada wahyu. Hal ini bererti mereka boleh menggunakan akal fikiran bagi menentukan nilai baik, buruk dan sebagainya dengan berdasarkan kepada prinsip-prinsip yang mempunyai kaitan dengan perkara tersebut dalam wahyu al-Qur’an mahupun al-Sunnah.

Dalam menentukan nilai bagi perkara yang tidak diperincikan oleh wahyu, maka faktor adat dan uruf (tradisi, amalan kebiasaan) sesuatu masyarakat memainkan peranan penting. Sesuatu amalan atau kebiasaan yang telah diterima sebagai baik bagi sesuatu masyarakat dan amalan tersebut pula tidak membawa apa-apa keburukan dan tidak berbahaya bagi mereka, maka amalan dan kebiasaan itu akan diterima. Hal ini bermakna, adat dan uruf juga merupakan faktor penting dalam menentukan sistem nilai dalam Islam.

Perbincangan di atas dengan jelas menunjukkan bahawa sumber utama sistem nilai menurut pandangan Islam ialah al-Qur’an, al-Sunnah dan adat atau uruf sesuatu masyarakat.

 

Hierarki nilai

Dalam menentukan hierarki nilai, sistem nilai dalam Islam mempunyai garis panduan yang tersendiri. Terdapat dua kategori nilai dalam Islam iaitu mahmudah dan mazmumah.

 

Pelaksanaan nilai dalam kehidupan

Sistem nilai Islam disandarkan kepada konsep Islam itu sendiri iaitu tunduk dan patuh kepada Allah s.w.t. yang Maha Esa. Nilai-nilai yang berhubung dengan kehidupan baik dari segi sosial, ekonomi, politik dan budaya mempunyai punca yang sama iaitu nilai yang diambil daripada sumber al-Qur’an dan al-Sunnah. Penilai yang mutlak dan tertinggi dalam Islam ialah Allah s.w.t. Maka segala nilai hidup perlu diikat dengan tujuan untuk mencari keredaan Allah s.w.t. semata-mata. Al-Qur’an yang menjadi sumber nilai utama dalam kehidupan manusia dengan jelas telah menggariskan apa yang patut ditaati dan dijauhi oleh umat Islam sebagai panduan kehidupan mereka.

Firman Allah s.w.t. dalam al-Qur’an yang bermaksud:

Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (al-Qur’an) dengan membawa kebenaran untuk mengesahkan benarnya kitab-kitab suci yang diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka jalankanlah hukum antara mereka (ahli Kitab) dengan apa yang diturunkan oleh Allah s.w.t (kepadamu) dan janganlah engkau mengikuti kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) daripada apa yang telah datang kepadamu daripada kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan satu syariat dan jalan agama yang wajib diikuti masing-masing). Dan kalau Allah s.w.t. mengkehendaki nescaya Ia jadikan kamu satu umat, tetapi Ia hendak menguji kamu apa yang disampaikan kepada kamu. Oleh itu, berlumba-lumba kamu membuat kebaikan. Kepada Allah s.w.t. jugalah tempat kembali kamu semua maka Ia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya.

(Surah al-Maidah: 48)

Ayat di atas jelas menegaskan bahawa nilai Islam dalam perjalanan kehidupan manusia adalah daripada Allah s.w.t. Nilai berbuat baik atau berakhlak adalah nilai yang amat tinggi dalam Islam. Malah, Nabi Muhammad s.a.w. diutus untuk kesempurnaan akhlak manusia yang mulia. Dapatkah anda berikan cadangan bagaimana nilai dapat disemai dalam jiwa umat Islam?

 

Aktiviti 5.7
Soalan kepada aktiviti 5.7 Cadangan jawapan untuk aktiviti 5.7