9 Sinopsis unit

Unit 1 terdiri daripada tiga bab yang akan menjelaskan konsep-konsep asas dalam Islam dan sumber-sumber utama ajaran Islam. Di samping itu, unit ini juga akan memberikan maklumat yang tepat dan jelas tentang konsep jihad yang sering disalah fahami oleh pelbagai pihak termasuk orang Islam sendiri.

Bab satu memfokuskan kepada konsep-konsep asas Islam iaitu maksud Islam, iman dan ihsan. Seterusnya, diperkenalkan kandungan utama Islam iaitu akidah, syariah,ibadat dan akhlak serta kekuatan yang ada pada Islam sehingga mampu menjana perubahan dalam diri seseorang ke arah menjadi insan yang cemerlang.

Bab dua pula akan membincangkan sumber-sumber utama ajaran Islam iaitu al-Qur’an, al-Sunnah dan al-Ijmak. Bab ini juga menjelaskan tentang ijtihad iaitu satu mekanisme dalam syariah Islam yang membolehkan manusia mengkaji dan mengenal pasti hukum bagi sesuatu permasalahan yang tidak dinyatakan hukumnya dalam al-Qur’an, al-Sunnah dan al-Ijmak. Bab ini juga akan meneliti sumber Islam yang tersendiri yang dikenali sebagai wahyu Allah s.w.t.

Seterusnya bab yang terakhir iaitu bab tiga akan menjelaskan konsep sebenar jihad dalam Islam. Terdapat beberapa jenis jihad dalam Islam, dan bab ini akan menerangkannya satu persatu. Selain itu, unsur-unsur jihad juga akan dibincangkan. Hadis dan firman yang berkaitan juga dikemukakan dalam bab ini bagi membetulkan salah faham umum terhadap konsep jihad dalam Islam.

Comments are closed.