149 Sinopsis unit

Dalam unit-unit yang lepas, anda telah memahami dan mengenali Islam secara lengkap dan menyeluruh. Walaupun perbincangan yang dilakukan tidak mendalam, namun perbincangan tersebut telah memberi asas kepada anda untuk memahami Islam serta ajaran dan isi kandungannya secara lengkap.

Bab 5.1 akan membincangkan sifat-sifat, ciri-ciri dan keistimewaan ajaran Islam di bawah tajuk Tasawwur Islam. Seterusnya, dalam bab 5.2, beberapa isu dan cabaran semasa akan dipilih dan dinilai serta dianalisis mengikut perspektif ajaran Islam yang benar.

Tasawwur Islam dan isu semasa dalam konteks Islam adalah topik yang sangat menarik untuk dikaji kerana anda akan dapat melihat keindahan Islam daripada pelbagai aspek kehidupan. Tasawwur Islam akan memberi gambaran bahawa Islam bukanlah agama ritual semata-mata. Malah, Islam sebenarnya bersifat syumul iaitu meliputi segala aspek kehidupan manusia di dunia ini. Walaupun Islam mempunyai ketetapan mutlak dari aspek keesaan Tuhan, namun Islam tetap fleksibel dari segi pelaksaanannya, sesuai dengan kehendak dan keperluan semasa. Pengetahuan tentang tasawwur Islam dapat membantu anda memahami dan menghayati Islam dengan fikiran terbuka dan tidak dikongkong oleh kepercayaan yang mengekang pembangunan diri anda dan pembangunan ummah.

Seterusnya, topik tentang Islam dan cabaran semasa akan melatih anda tentang cara menggunakan kefahaman dan pengetahuan anda tentang prinsip dan kandungan ajaran Islam serta tasawwurnya bagi menganalisis dan menghadapi cabaran dan isu semasa yang berada di sekitar anda dengan betul. Antara cabaran dan isu semasa yang akan dibincangkan termasuklah isu keruntuhan moral, alam sekitar, sains teknologi dan ICT, globalisasi, perpaduan ummah dan lain-lain. Keupayaan anda untuk menghadapi cabaran-cabaran dan isu-isu ini dengan betul akan menjadikan anda seorang yang progresif dan maju, dan pada masa yang sama mengekalkan jati diri anda sebagai seorang Muslim yang bertakwa dan juga seorang individu yang bermoral tinggi.

Satu perkara yang amat menarik dalam Unit 5 ini ialah anda akan mendapati bahawa Islam adalah agama yang sangat releven dengan kehidupan seharian. Mitos bahawa Islam adalah agama keganasan atau agama yang menghalang kemajuan semasa adalah salah kerana topik-topik yang dibincangkan dalam Unit 5 ini akan memberi keyakinan kepada anda bahawa Islam akan memandu anda ke arah kehidupan yang harmoni dan kejayaan di dunia dan di akhirat. Justeru, usaha menjadikan Islam sebagai satu cara hidup untuk menyelesaikan segala masalah kehidupan adalah satu tindakan yang bijak dan tepat.

Comments are closed.