67 Seni bina dan reka bentuk bangunan

Seni bina dan reka bentuk bangunan

 

Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil kedua-duanya berdoa dengan berkata:Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami), sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Surah al-Baqarah: 127)

 

Ayat di atas memperlihatkan kepada kita tentang pembinaan kaabah yang diwahyukan oleh Allah s.w.t. kepada Nabi Ibrahim a.s., seni bina Islam yang masih kekal sehingga ke hari ini.

Seni bina adalah keindahan yang dicetuskan daripada kemahiran dalam binaan dan pertukangan. Dalam al-Qur’an dijelaskan bahawa setiap tamadun yang dicapai oleh manusia hanya dapat diabadikan dan terkenal sehingga ke hari ini melalui kepakaran seni bina. Contohnya, al-Qur’an menceritakan tentang tamadun kaum Ad, kaum Thamud, kerajaan Firaun (Surah al-Fajr : 6-10) yang kesemuanya terkenal dengan binaan yang gagah dan mengagumkan seperti piramid. Namun, oleh kerana mutu seni bina ini tidak diseimbangkan dengan pembangunan akidah, syarak dan akhlak, akhirnya ia menjadi punca kehancuran tamadun itu sendiri. Sebab itulah Islam menekankan kesepaduan dan keseimbangan pembangunan fizikal dengan pembangunan kerohanian.

 

Aktiviti 2.8
Soalan kepada aktiviti 2.8 Cadangan jawapan untuk aktiviti 2.8

 

 

 

 

 

 

 

Tidak dapat dinafikan bahawa al-Qur’an menjadi sumber inspirasi kepada perkembangan seni bina Islam. Di dalam al-Qur’an terdapat banyak ayat yang menggambarkan seni bina sama ada berkenaan dengan tamadun manusia di dunia
ini seperti kerajaan Iram, Ad, Thamud dan Firaun atau kehidupan mahligai di dalam syurga.

Seni bina Islam yang wajar anda ketahui ialah seni bina masjid. Pembinaan masjid dicatatkan sebagai perkara yang terawal yang Rasullulah s.a.w. lakukan setelah Baginda tiba di Madinah. Masjid dalam Islam mempunyai beberapa bahagian yang tersendiri. Antaranya ialah menara, kubah, mihrab, mimbar dan tempat berwuduk.

 

Zaman Rasulullah s.a.w. (570 – 632 M)

Titik permulaan perkembangan seni bina Islam bermula dengan terdirinya masjid pertama yang dibina oleh Rasulullah s.a.w. yang dikenali sebagai Masjid Quba. Masjid ini terletak lima kilometer dari Masjid Nabawi.

Sumber: http://ms.wikipedia.org/wiki/Masjid_Quba

 

Selepas itu, Nabi Muhammad s.a.w. telah membina Masjid Nabawi. Masjid Nabawi dibina oleh Rasulullah s.a.w. bersama-sama dengan kaum Muhajirin dan Ansar. Pada ketika ini, pembinaan masjid yang dibina oleh Rasulullah s.a.w. tidak mempunyai menara, mihrab dan kubah. Manakala mimbarnya pula diperbuat daripada batang kurma.

Rasulullah s.a.w. juga mendirikan rumahnya sendiri di Madinah yang dikatakan terletak di atas sebidang tanah yang luasnya 100 hasta persegi. Ia dibina daripada kepingan tanah. Tiangnya diperbuat daripada batang kurma dan beratapkan daun kurma. Rasulullah s.a.w. juga terlibat secara langsung dalam penggalian parit bagi membina kubu atau kota dalam Perang Khandak pada tahun 5H. Penggalian parit itu telah dicadangkan oleh Salman al-Farisi.

Bukti ini amat jelas menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w. mempunyai kebolehan dalam seni bina walaupun tidak mencapai taraf seni bina dalam erti kata yang sebenarnya seperti yang difahami pada hari ini.

Kita juga dapat melihat bagaimana Rasulullah s.a.w. ketika berumur 35 tahun telah terlibat dalam pembinaan semula kaabah apabila ia runtuh dilanda banjir. Kaabah dibina semula dengan menggunakan kayu-kayan daripada sebuah kapal pecah dan dikatakan berselang-seli dengan batu.

 

Rujukan Web
Sila layari laman web ini untuk maklumat lanjut:

http://www.islamic-architecture.info/A-HIST.htm

 

Zaman Para Sahabat Nabi (11H – 40H/632 – 661M)

Seni bina pada zaman Para Sahabat Nabi merupakan paduan antara pembangunan fizikal dengan keimanan, ketakwaan dan akhlak yang tinggi. Di dalam bangunanbangunan masjid dihiasi dengan ayat-ayat al-Qur’an yang berukir indah.

Pada peringkat permulaan, pembinaan masjid yang berseni indah hanya mengutamakan menara. Apabila kita memperkatakan menara, mungkin ada orang mengatakan bahawa itu ialah cedukan daripada seni bina Rom dan Parsi. Sebenarnya, menara memang merupakan ciri seni bina Islam yang tulen kerana di Rom dan Parsi, menara tidak berbentuk tirus dan tinggi. Menara juga mempunyai tugas yang berbeza daripada yang terdapat di Rom dan Parsi iaitu untuk membolehkan azan dilaungkan. Menara yang pertama sekali didirikan serentak dengan pembinaan masjid ialah di Basrah yang didirikan pada tahun 45H.

Mimbar yang mula dibina di dalam masjid semenjak zaman Rasulullah s.a.w. lagi merupakan salah satu ciri seni bina Islam. Pada peringkat akhir zaman sahabat, mimbar telah mula diukir dengan khat yang cantik dan ukiran yang berseni.

 

Zaman Bani Umaiyah (41 – 64H/661 – 750M)

Seni bina Islam telah menampakkan kematangannya pada zaman pemerintahan Bani Umaiyah. Masjid-masjid yang dibina bukan sekadar mempunyai menara, mihrab dan sebagainya, malah setiap satu identiti seni bina Islam itu mengalami perubahan besar.

Pada zaman pemerintahan Bani Umaiyah jugalah kubah diperkenalkan dan ia menjadi salah satu ciri identiti seni bina Islam. Kubah diperkenalkan semasa pemerintahan Abdul Malik bin Marwan (65H – 86H). Sejarah turut menyatakan bahawa Khalifah al-Walid (705 – 715M) merupakan khalifah pertama memasukkan unsur menara dalam pembinaan masjid. Keindahan seni bina Islam kian meningkat lagi apabila ukiran dan khat yang dapat menimbulkan keimanan kepada Allah s.w.t. disertakan pada setiap kubah yang dibina di dalam masjid.

Sumber: http://taimiyyah.blogspot.com/2004_08_01_archive.html

 

Sumber: http://ms.wikipedia.org/wiki/Qubbat_As-Sakhrah

 

Gambar di atas merupakan masjid-masjid yang dibina semasa zaman Bani Umaiyah. Arca, maqsurah (arked) dan bentuk-bentuk gambar rajah yang indah juga telah mula diperkenalkan oleh seni bina Islam pada zaman pemerintahan Bani Umaiyah.

Hal yang demikian bukan sahaja terdapat pada masjid tetapi juga pada bangunanbangunan lain seperti istana-istana khalifah Bani Umaiyah. Namun, dalam seni ukiran dan seni bina Islam, tiada ukiran lukisan yang mempunyai bentuk seperti manusia, binatang dan sebagainya kerana ia bertentangan dengan nilai-nilai akidah Islamiah. Kerajaan Bani Umaiyah turut membina kota. Pembinaan kota bertujuan untuk mempertahankan negara daripada serangan musuh contohnya kota Damsyik. Terdapat juga pembinaan sebuah bandar semasa kerajaan Bani Umaiyah yang dikenali sebagai bandar Wasit. Penubuhan bandar ini ialah untuk melindungi daripada segala ancaman penentangan yang berlaku.

 

Zaman Bani Abbasiyah (65 – 658H/752 – 1260M)

Keagungan seni bina Islam telah sampai ke puncak keagungannya pada zaman pemerintahan Bani Abbasiyah. Tamadun Islam telah berhadapan dengan beraneka jenis tamadun yang terdapat di dunia ini khususnya dalam seni bina. Pertembungan dengan kebudayaan asing yang beraneka rupa ini memberi inspirasi yang cukup bertenaga bagi ahli seni bina Islam untuk mereka bentuk bangunan dan ukiran yang masih berlandaskan lunas-lunas Islam.

Pada akhir zaman pemerintahan Bani Abbasiyah, lahirlah beberapa kerajaan Islam setempat seperti kerajaan Saljuk dan al-Tahiriah yang menguasai Khurasan, kerajaan Alawiyah dan Zaidiyah di Tabristan (250 – 316H), kerajaan Idrisiah di Moroko (172 – 311H), kerajaan Aghlabiah di Tunisia (184 – 296H), kerajaan Fatimiah di Mesir, Ghaznawiah di Afghanistan dan India dan lain-lain lagi. Setiap pemerintahan tersebut memperkayakan lagi seni bina dan ukiran Islam yang telah menular ke Eropah, Asia dan Afrika.

Terdapat juga beberapa seni bina yang merupakan pusat penyebaran ilmu yang hebat pada zaman Bani Abbasiyah. Contohnya, Bait al-Hikmah dan Universiti Nizamiyah. Pembinaan hospital yang terkenal pada zaman Bani Abbasiyyah ialah Hospital al-Bimaristan. Hospital ini dibina dengan tujuan memberi latihan kedoktoran dan merawat pesakit.

 

Zaman tamadun Melayu

Pada zaman tamadun Melayu, kita juga dapat menyaksikan perkembangan seni bina yang begitu hebat dengan adunan pelbagai seni bina asing yang memanifestasikan tamadun Islam. Untuk maklumat anda, seni bina nusantara bertapak sejak kedatangan agama Islam yang mana banyak daripadanya dipengaruhi oleh unsur Hindu dan Buddha. Antara seni bina yang dapat dilihat dengan jelas di dunia Melayu ialah masjid, madrasah, istana, makam, pintu gerbang, rumah kediaman dan rumah pusara.

Contohnya, Masjid Wilayah Persekutuan yang berkonsepkan tradisi masjid-masjid Othmaniah di Turki. Reka bentuk, seni bina dan hiasan dalamannya pula adalah merupakan kombinasi reka bentuk tradisi Melayu Malaysia dan Timur Tengah.

 

 

Rujukan Web
Jika anda ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai makna bahagian-bahagian binaan masjid anda bolehlah merujuk laman web berikut:

http://ignca.nic.in/asp/showbig.asp?projid=ag03

 

Aktiviti 2.9
Soalan kepada aktiviti 2.9 Cadangan jawapan untuk aktiviti 2.9

 

Comments are closed.