164 Salah faham terhadap Islam

Salah faham terhadap Islam

Islam merupakan agama yang paling banyak disalahfahami oleh manusia. Salah faham terhadap Islam bukan sahaja berlaku dalam kalangan masyarakat bukan Islam, malah sering juga berlaku dalam kalangan masyarakat Islam sendiri. Pelbagai tuduhan, tohmahan dan anggapan salah dibuat terhadap Islam yang menggambarkan kesalahfahaman masyarakat terhadap Islam. Semua ini berlaku kerana kejahilan terhadap hakikat agama Islam itu sendiri. Topik ini akan membincangkan beberapa contoh salah faham terhadap Islam dan jawapannya berdasarkan ajaran Islam yang sebenar. Berikut ialah antara salah faham oleh masyarakat bukan Islam terhadap umat Islam di seluruh dunia.

 

Islam agama yang menganjurkan keganasan

Tuduhan ini mula popular dan semakin mendapat tempat selepas berlakunya peristiwa hitam 11 September 2001 apabila sekumpulan pemuda disyaki beragama Islam merampas kapal terbang penumpang di Amerika Syarikat dan merempuh bangunan Pusat Dagangan Dunia di New York yang menyebabkan lebih 6,000 orang mati. Selepas peristiwa tersebut, berlaku pula beberapa siri letupan bom di seluruh dunia terhadap kepentingan Amerika yang juga disyaki dilakukan oleh beberapa kumpulan pemuda Islam. Bermula daripada peristiwa-peristiwa tersebut, anggapan bahawa Islam merupakan agama yang mengajar keganasan mula mendapat tempat dalam kalangan masyarakat bukan Islam seluruh dunia.

Tohmahan ini adalah salah sama sekali. Tentulah tidak tepat untuk menghukum agama yang telah pun wujud semenjak hampir 1,500 tahun dahulu dan telah memberikan sumbangan yang besar terhadap keamanan dan kemajuan tamadun dunia dengan hanya berdasarkan kepada satu atau beberapa peristiwa yang hanya disyaki dilakukan oleh segolongan kecil penganutnya pada zaman mutakhir ini. Islam telah pun wujud hampir 1,500 tahun dahulu. Dalam tempoh tersebut, Islam telah membuktikan bahawa ia adalah agama yang sangat mementingkan keamanan dan keselamatan manusia seluruhnya. Pada zaman keagungan Islam, masyarakat manusia pelbagai agama telah hidup dengan aman dan makmur di bawah pemerintahan Islam. Mereka bukan sahaja menikmati kehidupan yang bahagia sebagai rakyat biasa, malah ada antara mereka yang dilantik sebagai pembesar atau menteri yang diberikan kuasa-kuasa tertentu dalam pemerintahan negara Islam.

Bukti keadilan Islam juga dapat dilihat dalam banyak peristiwa semasa Peperangan Salib antara tentera Islam dengan tentera Kristian. Para sejarawan termasuk dari Barat mencatatkan bahawa semasa pakatan tentera Kristian dari seluruh Eropah menawan Constantinople yang ditadbir oleh pemerintah Islam, mereka membunuh hampir 80,000 penduduk Constantinople dan semua masjid diruntuhkan. Menurut catatan sejarah, jalan raya Constantinople seolah-olah menjadi sungai darah dengan bahagian-bahagian tubuh badan manusia yang telah dipotong-potong dapat dilihat di merata tempat. Bagaimanapun apabila tentera Islam berjaya menawan kembali Constantinople dari tentera Kristian lebih 70 tahun selepas itu, dilaporkan bahawa tidak ada darah orang awam baik yang beragama Islam mahupun yang beragama Yahudi atau Kristian yang gugur dan tiada satu pun gereja yang diruntuhkan. Begitu juga apabila tentera Islam terpaksa berundur dari Sepanyol selepas mentadbir negara itu untuk sekian lama, orang Yahudi juga turut mengikut tentera Islam untuk berundur dan kembali ke Timur Tengah. Mereka lebih selesa dan merasa lebih selamat untuk tinggal di bawah pemerintahan Islam daripada berada di bawah pemerintahan tentera Kristian.

Malah, banyak ayat al-Qur’an yang melarang umat Islam daripada bermusuhan dengan orang bukan Islam kecuali jika mereka dahulu yang memulakan permusuhan. Selain itu, Rasulullah s.a.w. telah menunjukkan contoh yang sangat baik dalam hal ini. Semasa Baginda memerintah negara Islam Madinah, kota Madinah turut didiami oleh orang bukan Islam. Namun, Baginda telah mewujudkan satu kontrak sosial yang dikenali sebagai Piagam Madinah yang menjamin hak-hak orang bukan Islam dalam negara Islam Madinah untuk hidup dengan aman damai dan menjalani ajaran agama mereka tanpa gangguan.

Ajaran al-Qur’an dan petunjuk al-Sunah inilah yang memandu masyarakat Islam dalam membentuk sikap dan hubungan yang baik serta adil dengan masyarakat bukan Islam pada sepanjang sejarah. Dengan itu, beberapa peristiwa yang berlaku mutakhir ini tidak wajar dijadikan asas untuk mendakwa Islam sebagai agama keganasan yang tidak toleran.

 

Islam disebarkan melalui mata pedang

Islam juga sering digambarkan sebagai agama yang disebarkan melalui mata pedang iaitu melalui kekerasan dan peperangan. Tuduhan ini juga tidak berasas sama sekali. Al-Qur’an melarang umat Islam melakukan kekerasan dan peperangan terhadap orang bukan Islam untuk memaksa mereka menerima Islam.

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

… tiada paksaan dalam agama.

(al-Baqarah: 256)

Peperangan terhadap orang bukan Islam hanya dibenarkan jika orang bukan Islam yang memulakan peperangan atau melakukan persiapan untuk berperang atau melakukan kezaliman terhadap orang Islam atau menyekat usaha menyebarkan dakwah Islamiyyah secara aman. Dalam keadaan ini sahaja umat Islam dibenarkan untuk melancarkan peperangan terhadap orang bukan Islam. Malah, peperangan ini mestilah dilakukan dalam batasan yang tertentu untuk mengurangkan jumlah kemusnahan harta benda dan kematian. Dasar Islam dalam peperangan telah ditunjukkan oleh baginda Rasulullah s.a.w. sepanjang pemerintahannya.

Satu catatan sejarah yang paling menarik tentang hakikat penyebaran ajaran Islam dapat dilihat dalam peristiwa penaklukan kota Baghdad oleh orang Mongolia semasa pemerintahan Bani Abbasiyyah. Selepas berjaya menawan kota Baghdad dan memerintah kota tersebut untuk beberapa tahun, akhirnya tentera dan pembesar Mongolia secara sukarela memeluk agama Islam. Mereka tidak dipaksa untuk memeluk Islam kerana mereka sangat kuat dan berkuasa. Namun begitu, mereka memeluk Islam setelah mengkaji dan memahami kebenaran dan kesucian Islam. Hal ini merupakan satu-satunya peristiwa mengagumkan dalam sejarah manusia apabila pihak yang berjaya menawan sesuatu bangsa lain akhirnya menerima dan memeluk agama bangsa yang ditawannya.

Hakikatnya, penyebaran Islam juga dapat dilihat dengan penerimaan Islam di tanah besar China dan Tanah Melayu. Islam disebarkan di China dan Nusantara oleh para pendakwah yang juga merupakan para pedagang. Para pedagang ini tidak mungkin memaksa masyarakat di negara China yang sangat kuat pada ketika itu untuk memeluk Islam. Hal ini bermakna Islam disebarkan melalui contoh teladan yang baik dan kebijaksanaan yang tinggi di negara China. Masyarakat Islam di negara China pada masa kini berjumlah lebih 60 juta orang iaitu jumlah masyarakat Islam yang terbesar di negara bukan Islam. Sejarah turut mencatatkan bahawa agama Islam disebarkan di Nusantara termasuk di Tanah Melayu semasa zaman Parameswara memerintah Melaka bukanlah melalui peperangan dan kekerasan. Semua peristiwa ini menggambarkan bahawa dakwaan Islam disebarkan melalui mata pedang adalah salah sama sekali.

 

Islam agama yang kolot dan ketinggalan

Tuduhan juga sering dilemparkan kepada agama Islam sebagai agama yang kolot, mundur, ketinggalan dan hanya sesuai untuk masyarakat yang kurang bertamadun sahaja. Tuduhan ini dilontarkan sebahagian besarnya berpunca daripada hakikat kedudukan umat dan masyarakat Islam seluruh dunia hari ini yang secara umumnya sangat mundur, tidak berilmu dan berpecah belah. Bagaimanapun, jika kajian dilakukan secara jujur dan objektif terhadap isi kandungan ajaran Islam dan perjalanan agama Islam sepanjang sejarah manusia, kita akan dapati Islam merupakan satu agama yang dinamik, progresif dan sangat mementingkan ilmu pengetahuan. Hakikat kemunduran dan kekurangan ilmu dalam kalangan masyarakat Islam di dunia hari ini tidak boleh dijadikan asas bagi membuktikan bahawa agama Islam merupakan agama yang mundur dan membelakangkan ilmu pengetahuan. Malah, hakikatnya masyarakat Islam mundur hari ini kerana mereka telah membelakangkan agama Islam. Masyarakat Islam hari ini hanya dikatakan Islam pada nama sahaja. Dari segi pemikiran, kehidupan dan penghayatan, mereka tidak lagi mengikuti ajaran Islam. Justeru, mereka mundur dan lemah seperti mana yang dialami sekarang.

Dari segi dasarnya, Islam sangat mengutamakan ilmu pengetahuan. Oleh sebab itulah ayat yang pertama diwahyukan oleh Allah s.w.t iaitu iqra’, telah menggesa Rasulullah s.a.w. untuk membaca. Gesaan ini bukan sahaja ditujukan kepada Rasulullah s.a.w., tetapi juga untuk umat Baginda seluruhnya. Anda pasti mengetahui bahawa membaca merupakan jambatan ilmu. Hal ini sudah cukup untuk membuktikan betapa pentingnya kedudukan ilmu dalam Islam. Dengan penekanan terhadap kepentingan ilmu, anda dapati agama Islam telah membawa masyarakat Arab yang asalnya hidup secara primitif dan mundur, berubah menjadi satu masyarakat yang maju dan gagah. Dari segi ilmu pengetahuan, mereka telah menjadi pelopor kepada penemuan pelbagai bidang sains dan teknologi yang warisannya masih kekal hingga ke hari ini. Dari segi politik, mereka telah menguasai hampir sepertiga daripada keluasan dunia. Sumbangan masyarakat Islam dalam bidang sains, pemikiran dan falsafah inilah yang akhirnya mempengaruhi kebangkitan Eropah dari era kegelapan
(dark ages) kepada era kebangkitan (enlightenment) yang membuka jalan kepada kegemilangan sains dan teknologi seperti yang kita saksikan hari ini.

Islam bukanlah agama yang berdasarkan tahyul, khurafat dan mitos. Ia merupakan agama yang berdasarkan kepada wahyu, akal, kebijaksanaan dan pembuktian. Oleh sebab itu, agama Islam dapat terus bertahan malah semakin berkembang dengan majunya ilmu pengetahuan dan taraf pemikiran manusia. Tiada ajaran Islam yang bercanggah dengan fakta dan kebenaran yang mutlak. Anda dapati ramai para saintis yang unggul pada masa kini sangat mengagumi ajaran Islam. Mereka dapati banyak kenyataan yang dinyatakan oleh Allah s.w.t. dalam al-Qur’an hampir 1,500 tahun yang lalu sangat menepati dengan banyak penemuan sains pada zaman moden ini.

Untuk memahami hal ini, anda boleh merujuk kepada pelbagai buku umpamanya The Bible, The Qur’an and Science oleh Dr. Maurice Buccaille dan lain-lain. Semua fakta ini membuktikan kedudukan agama Islam yang sebenarnya dari segi kebenaran dan keunggulannya.

 

Rujukan Web
Sila rujuk laman web berikut untuk maklumat lanjut mengenai keunggulan Islam.

http://www.islamicity.com/Science/iqs/

 

Islam tidak mementingkan kehidupan dunia

Satu tanggapan salah yang agak popular juga dalam kalangan masyarakat Islam sendiri tentang ajaran Islam ialah agama Islam tidak mementingkan kehidupan dunia. Dengan itu, pada pandangan mereka, masyarakat Islam perlu menumpukan sepenuhnya kepada amal ibadat khusus untuk mendapatkan kebahagiaan pada hari akhirat. Kesenangan dan kebahagiaan hidup di dunia hanya milik orang bukan Islam. Dengan itu, biarkan orang bukan Islam berusaha untuk kejayaan hidup di dunia manakala orang Islam tumpukan kepada kejayaan hidup di akhirat. Hal ini merupakan satu tanggapan salah yang sangat berbahaya bagi umat Islam dan bercanggah dengan mesej Islam yang sebenarnya.

Dalam al-Qur’an, Allah s.w.t. menceritakan sifat orang yang beriman yang sentiasa berdoa, maksudnya:

Wahai Tuhan kami, berikanlah kepada kami kebaikan hidup di dunia dan kebaikan hidup di akhirat, dan peliharakanlah kami daripada seksaan neraka.

(Surah al-Baqarah: 201)

Ayat ini jelas sekali mengajarkan kita supaya sentiasa berdoa untuk kebahagiaan di dunia dan akhirat. Anda semua tentu tahu bahawa kebahagiaan di dunia dan akhirat ini tidak tercapai sekadar berdoa sahaja. Ertinya, kita perlu berusaha untuk kejayaan di dunia sama seperti kita perlu berusaha untuk kejayaan di akhirat. Hal ini bermakna, semasa di dunia, kita mesti berusaha melakukan segala kerja dan amalan sama ada yang berkaitan dengan Allah semata-mata seperti sembahyang dan berpuasa mahupun yang berkaitan dengan manusia seperti muamalat perniagaan, pertanian mahupun perindustriaan dengan baik dan bersungguh-sungguh mengikut perintah Allah s.w.t. Kita akan mencapai kejayaan dengan melakukan kerja dan amalan kita seperti ini. Hal ini bermakna untuk mencapai kejayaan di akhirat, kita juga perlu mencapai kejayaan di dunia. Kejayaan di dunia yang dicapai melalui usaha yang bersungguh-sungguh dalam pelbagai bidang kehidupan mengikut seperti yang dikehendaki oleh Allah s.w.t.

Selain itu, anda perlu juga memahami pengertian konsep ibadat dalam Islam. Konsep ibadat dalam Islam merupakan satu konsep yang luas. Ibadat bukan sahaja bermaksud sembahyang, berpuasa, berzakat, haji, membaca al-Qur’an dan sebagainya, tetapi ibadat juga termasuk bekerja mencari rezeki dalam bidang perniagaan, pertanian, perindustrian, perkhidmatan dan lain-lain, dengan syarat ia dilakukan secara yang baik menepati syariah yang dikehendaki oleh Allah s.w.t. Hal ini bermakna, jika seseorang berusaha dengan tekun mencari rezeki untuk diri sendiri dan tanggungannya bagi meningkatkan taraf hidup mereka, maka ia dikira sebagai ibadat. Dia bukan sahaja akan mendapat kejayaan di dunia, tetapi ia juga akan diberi pahala oleh Allah s.w.t. di akhirat nanti. Hal ini bererti dia akan mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat. Inilah konsep ibadat dalam Islam. Islam tidak memisahkan antara dunia dan akhirat. Semuanya merupakan ciptaan Allah untuk manfaat manusia. Dengan itu, manusia mestilah memanfaatkan kedua-duanya sebaik mungkin dengan merancang dan berusaha untuk kejayaan di kedua-dua alam tersebut.

Inilah pandangan Islam yang sebenar tentang kehidupan di dunia dan di akhirat. Dengan itu, pandangan yang mengatakan Islam hanya mementingkan kehidupan akhirat semata-mata adalah pandangan yang salah dan tidak menepati hakikat ajaran Islam yang sebenar. Kehidupan dunia yang ditolak oleh Islam ialah kehidupan dunia yang penuh dengan kejahatan dan maksiat. Sebaliknya, kehidupan dunia yang dilalui dengan baik mengikut lunas-lunas Islam adalah kehidupan yang disukai dan diredai Allah s.w.t. dan akan diberikan ganjaran yang baik juga di akhirat nanti.