162 Sains, teknologi dan ICT

Sains, teknologi dan ICT

Sains, teknologi dan ICT merupakan tiga bidang yang sangat penting dalam kehidupan manusia zaman sekarang. Ketiga-tiga bidang ini membentuk teras dan dasar yang memastikan kelangsungan hidup manusia di alam ini. Namun, dalam masyarakat Islam, ketiga-tiga bidang ini agak ketinggalan berbanding masyarakat lain. Hal ini mungkin berpunca daripada sikap dan pandangan masyarakat Islam terhadap ketiga-tiga bidang tersebut. Topik ini akan membincangkan kedudukan sains, teknologi dan ICT menurut pandangan Islam.

Sains dari segi bahasa berasal dari perkataan scientia dalam bahasa Latin yang bermaksud ilmu pengetahuan. Secara umumnya, ilmu sains bukan sahaja bermaksud satu disiplin ilmu yang berkaitan dengan fenomena alam fizikal, tetapi juga merujuk kepada kaedah memperoleh ilmu itu iaitu melalui eksperimen dan pembuktian empirikal. Dengan itu, sains menolak penjelasan melalui unsur ghaib yang tidak boleh dibuktikan secara empirikal.

Tahukah anda apa pula makna teknologi? Teknologi merujuk kepada cara penyelesaian kepada masalah sebenar manusia melalui kemajuan dan penggunaan peralatan, bahan-bahan, jentera, maklumat, pemerosesan dan sebagainya. Hal ini bermakna teknologi lebih merujuk kepada cara penggunaan dan pengetahuan peralatan dan kemahiran manusia. Sejarah teknologi bermula seawal sejarah manusia sendiri. Manusia terawal telahpun menggunakan pelbagai peralatan untuk menyelesaikan masalah hidup mereka seperti alat perburuan, pertanian, pemahatan dan sebagainya. Setelah itu, peralatan yang digunakan oleh manusia menjadi semakin kompleks dan ilmu pengetahuan tentangnya juga berkembang. Himpunan ilmu pengetahuan tentang teknik penciptaan peralatan dan kegunaannya untuk memenuhi pelbagai keperluan fizikal hidup manusia inilah yang akhirnya berkembang menjadi satu disiplin ilmu teknologi seperti yang diketahui sekarang.

ICT pula merujuk kepada penggunaan teknologi dalam mengurus, mengguna dan memproses maklumat. Secara tepatnya ICT berkait dengan penggunaan komputer elektronik dan perisian untuk memindah, menyimpan, memelihara, memproses dan memadankan maklumat. Bagi masyarakat umum pula, ICT lebih difahami sebagai kemahiran memanfaatkan dan menggunakan Internet untuk tujuan mencari, memindah, menyimpan dan memadankan maklumat.

Berdasarkan definisi ketiga-tiga bidang tersebut, jelas kepada anda bahawa ketiga-tiganya merupakan pengetahuan dan kemahiran yang sangat penting bagi umat manusia, termasuk masyarakat Islam.

Contoh yang sesuai ialah al-Qur’an. Walaupun al-Qur’an bukan buku sains, namun terdapat banyak maklumat sains di dalamnya. Umpamanya, al-Qur’an menjelaskan secara terperinci tentang permulaan kejadian manusia dari peringkat embrio semasa di dalam rahim ibunya.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Sesungguhnya Kami ciptakan manusia dari tanah yang lembut. Kemudian Kami jadikannya setitik sperma pada tempat yang tetap (rahim), kemudian Kami jadikan sperma itu sesuatu yang bergantungan yang seterusnya menjadi mudghagh (seketul ketumbuhan). Mudghah ini pula seterusnya Kami jadikan tulang dan kemudiannya Kami litupi tulang tersebut dengan daging kamudian Kami jadikannya makhluk yang berbeza …

(Surah al-Mu’minun: 12 – 14)

Dalam ayat ini, al-Qur’an menjelaskan secara terperinci peringkat kejadian manusia. Penjelasan ini telah terbukti menepati proses pembesaran janin dalan rahim ibunya seperti yang dijelaskan oleh para saintis moden hari ini.

Terdapat berpuluh-puluh ayat lain yang menggambarkan betapa rapatnya hubungan antara al-Qur’an dengan sains. Hal ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana hakikatnya semua ilmu berpunca daripada Allah s.w.t. Maka, begitulah juga ilmu sains berpunca daripada Allah s.w.t. Berdasarkan takrifan yang dinyatakan di atas iaitu sains merujuk kepada satu bidang ilmu yang berkaitan dengan kajian alam fizikal dan segala fenomena yang berlaku dalamnya, maka jelas bahawa sains juga bersumberkan Allah s.w.t. yang disampaikan melalui al-Qur’an. Hal ini kerana alam semesta ini merupakan ciptaan dan milik Allah s.w.t. Maka sudah tentulah ilmu yang berkaitan dengan alam semesta juga merupakan ciptaan dan milik Allah s.w.t.

Ketika masyarakat Barat masih lagi hidup dalam zaman kegelapan pada abad-abad pertengahan (medieval period), umat Islam telah mencapai zaman kegemilangan sains dan teknologi hasil ciptaan dan pemikiran para saintis Muslim. Bagaimanapun, akibat kealpaan umat Islam selepas itu, penguasaan mereka terhadap ilmu pengetahuan tersebut mulai merosot dan akhirnya ilmu pengetahuan mereka dipindahkan kepada masyarakat Barat. Hasil sumbangan dan pemikiran cerdik pandai Islam inilah yang akhirnya memberi sumbangan kepada kemunculan dan kegemilangan tamadun Barat seperti yang kita saksikan hari ini. Dengan itu, menjadi tugas para saintis Muslim pada hari ini untuk bekerja keras untuk mengembalikan keagungan tamadun Islam seperti yang pernah dinikmati dahulu. Tumpuan yang serius mesti diberikan oleh masyarakat Islam untuk mengembalikan keagungan sains dan teknologi Islam. Mempelajari ilmu sains, teknologi dan ICT sehingga boleh dimanfaatkan oleh orang lain merupakan fardu kifayah bagi semua umat Islam. Antara sebab umat Islam mesti memberikan perhatian berat kepada sains, teknologi dan ICT ialah kerana:

1. Dalam dunia hari ini, ternyata sekali bahawa negara yang memiliki kekuatan dalam bidang-bidang ini adalah negara yang paling berkuasa dan berpengaruh. Umat Islam mesti memastikan bahawa negara umat Islam menjadi negara yang paling kuat dan berpengaruh. Hal ini memungkinkan usaha penyebaran dakwah Islamiyyah bagi memuliakan kalimah Allah dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

2. Sains, teknologi dan ICT bukanlah sesuatu yang asing bagi agama Islam. Semua ilmu berasal daripada Allah s.w.t. termasuk juga sains, teknologi dan ICT. Selain itu, umat Islam dahulu telah berjaya muncul sebagai pelopor dan peneroka dalam bidang ini. Maka umat Islam sekarang perlu berusaha untuk mengembalikan status tersebut.

3. Islam sangat terbuka dalam usaha mendapatkan ilmu dan kebijaksanaan. Islam membenarkan para penganutnya untuk mengambil ilmu walaupun daripada sesiapa juga. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

Menuntut ilmu agama adalah kefarduan kepada orang Islam lelaki dan perempuan.

(HR. Ibnu Adi dan Baihaqi)

Hal ini bermakna Islam mengajarkan kita supaya berusaha untuk mendapatkan ilmu walaupun terpaksa belajar dan mendapatkannya daripada orang kafir.

Perbincangan ini jelas menunjukkan bahawa sains, teknologi dan ICT merupakan sesuatu yang sangat mustahak bagi kehidupan manusia. Islam sebagai agama yang sangat mementingkan kebahagiaan hidup manusia di dunia dan akhirat, sentiasa menggesa umatnya untuk memberi penekanan bagi menguasai segala bidang ilmu termasuk sains, teknologi dan ICT. Dengan menguasai ketiga-tiga bidang tersebut, umat Islam boleh menjadi lebih kuat, dihormati dan mudah untuk menyebarkan dakwah Islamiyyah kepada manusia sejagat.

Aktiviti 5.14
Soalan kepada aktiviti 5.14 Cadangan jawapan untuk aktiviti 5.14

 

Comments are closed.