168 Rumusan Unit 5

Islam merupakan agama yang sempurna. Islam merupakan agama yang selari dengan fitrah kejadian manusia. Ajaran Islam yang lengkap bukan semata-mata bertujuan melahirkan manusia yang hanya beribadat sepanjang masa sehingga lupa untuk berbakti untuk hari dunianya. Islam telah menggariskan ajaran yang sempurna bagi memastikan umat manusia tidak terpesong ke jalan kesesatan yang cuba diheret oleh nafsu dan syaitan. Setiap pekerjaan walaupun pada zahirnya untuk kehidupan di dunia turut dicatatkan pahalanya sebagai suatu ibadat jika selari dengan kehendak agama. Begitulah sebaliknya jika sesuatu ibadat khusus walaupun pada zahirnya sebagai bekalan akhirat tetapi menjadi sia-sia jika dilumuri dengan niat yang tidak ikhlas dan mahu mencari habuan dunia semata-mata. Islam bukan datang dengan paksaan sebaliknya meresap ke jiwa umat manusia dengan kerelaan hati sendiri setelah hati tertarik dengan keindahannya. Ia berbeza dengan ideologi ciptaan manusia yang datang melalui akal fikiran yang tidak mampu memberi kebahagiaan dan jalan penyelesaian kepada kehidupan manusia secara sempurna.

Penyebaran Islam sehingga mampu membina sebuah kuasa pemerintahan yang kuat dan luas adalah bertujuan menguruskan dunia dan agama secara serentak bagi memastikan amanah sebagai khalifah di bumi dalam membawa manusia ke arah menyembah Allah dalam setiap lapangan hidup. Islam melarang sebarang paksaan apatah lagi menzalimi umat manusia dalam memeluk Islam tetapi memberi ruang kepada mereka untuk mengemukakan hujah sehingga mereka benar-benar faham tentang Islam yang memungkinkan mereka akhirnya memeluk Islam atau pun tetap dalam agama asal mereka, tetapi dengan penuh kerelaan hati mereka tunduk kepada sistem Islam yang menjanjikan kesaksamaan dan keamanan.

Comments are closed.