146 Rumusan Unit 4

Institusi ibadat adalah salah satu institusi yang sangat penting kerana institusi ini dapat membina individu yang mempunyai keperibadian yang mulia serta menyumbang ke arah masyarakat dan negara yang gilang-gemilang. Ibadat dalam Islam merangkumi segala aspek kehidupan dan perlu dipraktikkan dengan penuh teliti dan keikhlasan untuk mendapat keredaan Allah s.w.t. semata-mata Malah ibadat dalam Islam mempunyai pelbagai hikmah dan andai kata diamalkan kesannya dapat dirasai dan dihayati oleh setiap individu.

Unit ini memfokuskan kepada institusi pemerintahan dan pentadbiran. Anda sudahpun memahami konsep serta prinsip pemerintahan dan pentadbiran mengikut Islam ini adalah berlandaskan kepada keadilan, kesamaan, kebebasan dan ketelusan. Anda dapat memahami juga kepemimpinan Rasulullah s.a.w. dan Khulafa’ al-Rasyidin. Institusi pemerintahan dan pentadbiran menurut Islam turut memfokuskan keistimewaan syura dan hisbah.

Perundangan dan kehakiman mengikut Islam merupakan salah satu pemerintahan yang unik dan berbeza daripada sistem pemerintahan lain di dunia ini. Perundangan dan kehakiman adalah berdasarkan prinsip-prinsip keadilan dan ianya baik untuk semua umat manusia kerana sebagai undang-undang Allah s.w.t. ia adalah undang-undang yang lebih tepat dan sempurna.

Islam telah menetapkan satu sistem ekonomi ke atas seluruh masyarakat yang berlandasakan pada prinsip syariat, sama ada bagi umat Islam dan bukan Islam. Kita dapat membuat analisis sendiri bahawa pengharaman riba akan membuat ekonomi Islam tumbuh secara adil dan saksama tanpa adanya penindasan.