116 Rumusan Unit 3

Unit 3 memberi penekanan kepada tiga institusi Islam yang penting iaitu institusi ibadat, institusi keluarga dan masyarakat serta institusi pendidikan. Setiap institusi ini ada kekuatan dan kelebihan yang tersendiri. Namun begitu, setiap institusi perlu dipelajari dengan teliti agar anda akan mendapat gambaran yang jelas tentang keunikan setiap institusi tersebut.

Institusi ibadat adalah salah satu institusi yang sangat penting kerana institusi ini dapat membina individu yang mempunyai keperibadian yang mulia serta menyumbang ke arah masyarakat dan negara yang gilang-gemilang. Ibadat dalam Islam merangkumi segala aspek kehidupan dan perlu dipraktikkan dengan penuh perhatian dan keikhlasan semata-mata untuk mendapat keredaan Allah s.w.t. Malah, ibadat dalam Islam mempunyai pelbagai hikmah dan andaikata diamalkan kesannya dapat dirasai dan diketahui oleh setiap individu.

Institusi keluarga yang dibincangkan dalam bab 3.1 diharapkan dapat membantu anda memahami asas-asas penting dalam pembinaan keluarga Islam seperti peranan, hak dan tanggungjawab khususnya suami isteri dalam membina institusi keluarga. Selain itu, anda sepatutnya sudah mengetahui falsafah keluarga, baik dari segi matlamat dan dasar-dasar pembinaan keluarga.

Sementara dalam institusi masyarakat pula, anda semestinya sudah sedar tentang hak-hak yang dipertanggugjawab dalam masyarakat serta asas-asas pembentukan masyarakat. Selain itu, anda juga sepatutnya telah mengetahui masyarakat Islam dalam masyarakat majmuk dan sedar bahawa umat Islam adalah umat pertengahan iaitu seimbang dan sederhana.

Akhirnya, dalam bab 3.3, anda sepatutnya telah memahami matlamat sebenar pendidikan Islam di samping dapat mengetahui perkembangan institusi pendidikan Islam dari zaman Rasulullah s.a.w. sehingga ke perkembangan pendidikan Islam di Malaysia. Selain itu, anda sepatutnya sedar akan tanggungjawab dan peranan seluruh anggota masyarakat termasuk anda sendiri.