87 Rumusan Unit 2

Setelah anda mempelajari dan menghayati Unit 2, anda sepatutnya sudah memahami bahawa tamadun Islam walaupun mempunyai beberapa persamaan dengan tamadun lain daripada segi ciriciri universalnya, namun ia mempunyai banyak perbezaan yang fundamental. Tamadun Islam dibina di atas kerangka falsafahnya yang tersendiri, mempunyai sumbernya yang istimewa, mempunyai matlamat yang sangat unggul dan mempunyai sifat yang komprehensif, lengkap dan sepadu.

Atas asas-asas inilah tamadun Islam telah muncul di persada sejarah dunia sebagai tamadun yang banyak menyumbang ke arah kemajuan dan keharmonian hidup manusia daripada segi sains, teknologi, falsafah hidup, politik, ekonomi, sosial, kesenian dan sebagainya.

Para saintis Muslim daripada pelbagai cabang ilmu tidak lahir dengan sendirinya. Faktor sejarah dan latar belakang tanah Arab ketika itu tidak memungkinkan satu revolusi dan pencapaian sains dan ilmiah yang tinggi. Namun kedatangan Islam telah mengubah lanskap tanah Arab daripada satu daerah yang gersang dan tandus kepada satu daerah yang subur minda, intektual, penuh kerohanian dan keimanan. Inilah yang memungkinkan segala penemuan yang unggul dan sumbangan yang tidak ternilai dilakukan.

Pegangan daan penghayataan akidah, syariah dan akhlak Islam yang mantap dan komited telah menghasilkan saintis, budayawan dan seniman yang menumpukan usaha dan kepakaran mereka untuk berbakti dan menyumbang kepada kemanusiaan demi mencapai keredaan Allah. Dengan itu, sains Islam dibangunkan bukan untuk bermegah-megah dan merosakkan kemanusiaan tetapi untuk melihat tanda-tanda kekuasaan dan kebijaksanaan Penciptanya.

Begitu juga seni Islam dalam pelbagai cabangnya, bukan dihasilkan untuk melalaikan dan melekakan manusia dengan budaya keseronokan tanpa sempadan. Ia dibangunkan untuk menghidupkan jiwa dan menyegarkan minda untuk terus beribadat kepada Allah s.w.t. dan berbakti kepada manusia. Namun begitu malangnya, pada zaman yang kononnya serba bertamadun ini, kedua-dua bidang ini iaitu sains dan seni telah dipergunakan secara rakus dan seringkali juga mendatangkan keburukan dan kemusnahan kepada manusia.

Comments are closed.