13 Rukun Islam

Rukun Islam

Seseorang Muslim mesti menghayati dan berpegang teguh kepada rukun Islam yang lima. Andai kata rukun-rukun Islam ini diaplikasikan dalam kehidupan dengan cara yang sebaik-baiknya, sudah tentu ia akan membawa kejayaan besar kepada diri individu, masyarakat dan negara.

Islam ialah agama Allah s.w.t. yang diwahyukan kepada Rasul-Nya untuk menjamin keselamatan hidup penganutnya. Dalam pandangan Islam, inilah agama yang mesti dipegang teguh oleh setiap manusia kerana ia merupakan agama kebenaran dan keredaan serta telah diberi jaminan oleh Allah s.w.t. Ini dibuktikan dalam firman-Nya yang bermaksud:

Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam.

(Surah al-Imran: 19)

Setelah mengenali Islam dari segi asal maknanya, maka sekarang mari kita kenali Islam dari segi rukun-rukunnya, bermula daripada ucapan syahadah sehinggalah kepada ibadat haji. Seterusnya, kita akan memahami kesan dan relevannya penghayatan rukun Islam dalam kehidupan manusia.

 

Melafazkan syahadah

Syahadah (Penyaksian tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah) adalah pengucapan dua kalimah syahadah yang merupakan penyataan atau ikrar misi dan visi hidup seorang Muslim. Syahadah adalah pengucapan lidah yang melahirkan pengakuan hati dan keinginan jiwa terhadap ketuhanan dan keesaan Allah serta kebenaran Rasul-Nya Muhammad s.a.w. sebagai utusan terakhir yang membawa rahmat kepada keseluruhan alam.

Syahadah memainkan peranan penting dalam kehidupan seorang Muslim kerana ia merupakan nur Islam. Selain itu, kalimah Syahadah ini dapat membezakan antara umat Islam dan kaum kafir yang lain. Kalimah Syahadah juga adalah syarat mutlak untuk umat Islam memasuki syurga.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

Barang siapa yang mengakhiri kalamnya sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan lailahaillaallah maka dia masuk syurga.

(HR Muaz bin Jabal)

Lafaz kalimah syahadah ini juga merupakan kunci atau syarat utama sesuatu amalan atau ibadat itu diterima oleh Allah s.w.t. Di samping itu, lafaz kalimah syahadah merupakan syarat untuk mendapatkan syafaat daripada Rasulullah s.a.w. pada hari kiamat. Kalimah syahadah ini juga merupakan syarat perlindungan harta, jiwa dan kehormatan manusia.

Rasulullah s.a.w. turut bersabda:

Manusia yang paling beruntung mendapatkan syafaatku pada hari kiamat adalah
barang siapa yang mengatakan ‘lailahailallah’ secara ikhlas dari hati dan jiwanya.

(HR. Bukhari)

Seterusnya, apabila anda sebagai seorang Islam yang telah mengakui dan bersaksi tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu Pesuruh Allah, maka anda mesti membuktikannya dengan melaksanakan semua amalan ibadat yang diwajibkan oleh Allah s.w.t. dan dipraktikkan oleh para Rasul-Nya. Tahukah anda, apakah amal ibadat yang sangat penting dalam kehidupan manusia? Ya, amalan itu tidak lain dan tidak bukan ialah solat lima kali sehari.

 

Aktiviti 1.3
Soalan kepada aktiviti 1.3 Cadangan jawapan untuk aktiviti 1.3

 

 

 

 

 

Mendirikan solat

Mendirikan solat adalah satu perintah yang diwajibkan setiap hari ke atas umat Islam yang akil dan baligh. Solat ialah wahyu yang disampaikan secara terus oleh Allah s.w.t. kepada Rasulullah s.a.w. melalui peristiwa Israk dan Mikraj yang berlaku pada bulan Ramadan.

Solat juga merupakan hubungan secara langsung antara kita dengan Maha Pencipta. Kita berkomunikasi dengan Allah s.w.t., melahirkan apa yang dirasa dan difikirkan sama ada rasa gembira atau sebaliknya. Sebagai hamba-Nya, kita boleh meluahkan apa sahaja yang kita rasai tanpa rasa bimbang atau khuatir rahsia itu akan diketahui oleh orang lain. Allah Maha Pendengar dan Maha Penyayang. Oleh itu, jika kita dalam kesusahan, berdoalah nescaya Allah s.w.t. akan tenangkan hati dan fikiran kita.

Tujuan solat

1. Solat mendidik manusia supaya sentiasa mengingati Allah s.w.t. dan mematuhi perintah-Nya.

2. Solat boleh memelihara manusia daripada melakukan kejahatan.

3. Solat akan memberi ketenangan jiwa.

4. Solat akan memberi kejayaan kepada orang mukmin tetapi solat itu hendaklah dilaksanakan dengan penuh khusyuk.

 

Hikmah solat

1. Menghampiri diri kepada Allah s.w.t.

2. Menguatkan keimanan dan ketakwaan.

3. Mendidik diri supaya sentiasa mengingati Allah s.w.t.

4. Memberi kecerdasan jasmani, kecerdasan akal dan meningkatkan kualiti rohani.

5. Bersyukur kepada Allah. s.w.t.

 

Kepentingan solat banyak dinyatakan oleh Allah s.w.t. di dalam al-Qur’an. Terdapat 130 ayat yang menekankan kewajipan mendirikan solat, hikmah mendirikan solat dan hukuman yang akan diterima jika meninggalkan solat. Antara ayat di dalam al-Qur’an yang menekankan kewajipan bersolat ini ialah firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Katakanlah kepada hamba-Ku yang beriman, hendaklah mereka itu mendirikan sembahyang.

(Surah Ibrahim: 31)

 

Dan dirikanlah solat, kerana sesungguhnya sembahyang (dapat) melarang daripada segala kejahatan dan kemungkaran.

(Surah al-Ankabut: 45)

 

Sesungguhnya manusia itu dijadikan (bersifat) loba, mengeluh apabila keuntungan mengenai dia, kecuali orang yang sembahyang, yang berkekalan atas solat mereka.

(Surah al-Ma`raj: 19 – 23)

 

Sebaliknya, orang yang meninggalkan sembahyang akan mendapat dosa dan dikategorikan sebagai mereka yang terpedaya dalam ikutan hawa nafsu. Balasan kepada mereka yang meninggalkan sembahyang ialah dimasukkan ke dalam neraka. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat) , maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka).

(Surah Maryam: 59)

Seksaan bagi mereka yang meninggalkan sembahyang

1. Kubur akan menghimpit mereka serapat-rapatnya sehingga berselisih tulang-tulang dada mereka.

2. Dinyalakan api di dalam kuburnya dan api itu akan membakar tubuh mereka siang dan malam tanpa berhenti-henti.

3. Muncul seekor ular yang bernama Sajaul Aqra dan ular itu berkata, “ Allah menyuruh aku membelasah engkau kerana engkau mensia-siakan sembahyang Subuh”. Mayat itu dipukul daripada waktu Subuh sehingga naik matahari, kemudian dipukul dan dihentak lagi hingga terperosok ke perut bumi kerana meninggalkan sembahyang Zuhur. Selepas itu dipukul lagi kerana meninggalkan sembahyang Asar. Begitulah seterusnya sehingga ke waktu Subuh semula. Seksaan oleh Sajaul Aqra itu akan berterusan dan berulang-ulang sehinggalah ke hari kiamat.

 

Rujukan Web
Bagi anda yang ingin mengetahui sejarah solat lima waktu, bolehlah rujuk ke laman web berikut:

http://www.angelfire.com/pro/sembahyang/

 

Solat ialah tanggungjawab utama bagi umat Islam sebagai tanda bersyukur kepada Allah s.w.t. Kita sering merasakan solat adalah satu tanggungjawab yang berat walaupun tidak sampai sepuluh minit kita melakukannya. Mengapakah perasaan seperti ini harus wujud? Ketahuilah bahawa sesuatu perkara yang kita lakukan tanpa ada rasa cinta, tidak akan memberi sebarang manfaat kepada kita. Dirikan solat kerana rasa cinta kepada yang menciptakan kita, dan kita mungkin akan merasai bahawa mendirikan solat itu suatu perkara yang ringan dan mudah.

 

Aktiviti 1.4
Soalan kepada aktiviti 1.4

 

 

 

 

 

 

Mengeluarkan zakat

Zakat ialah kata dasar dalam bahasa Arab daripada perkataan Zaka yang membawapengertian berkat, tumbuh, suci, bersih dan baik atau dapat memberi maksud membersihkan atau mensucikan.

Menurut hukum Islam (istilah syarak) zakat bererti sejumlah harta tertentu yang diwajibkan oleh Allah s.w.t. diserahkan kepada orang yang berhak. Menurut al-Mawardi dalam Kitab al-Hawiy, zakat ialah nama bagi sesuatu pengambilan tertentu daripada harta yang tertentu menurut sifat-sifat tertentu dan untuk diberikan kepada golongan tertentu.

 

Tujuan zakat

1. Zakat dan jaminan sosial.

2. Penggerak ekonomi bagi golongan yang tidak mampu supaya memainkan peranan dalam ekonomi.

3. Menyuburkan kegiatan halal dalam aktiviti sosioekonomi umat Islam.

4. Membantu kegiatan dakwah dan pendidikan dalam masyarakat.

5. Mengiatkan semangat jihad dan kegiatan fisabililah.

 

Hikmah zakat

1. Memberi pertolongan orang susah dan fakir miskin.

2. Menjauhkan sifat-sifat bakhil orang Islam.

3. Menggalakkan umat Islam mengorbankan harta benda demi Islam.

4. Mengeratkan tali persaudaraan antara golongan berada dengan golongan miskin.

5. Sebagai tanda syukur atas nikmat-nikmat pemberian Allah s.w.t.

 

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Yang pada harta-harta mereka ada hak yang maklum bagi orang yang meminta dan yang mampu.

(Surah al-Maarij: 24 – 25)

 

 

Rujukan Web
Jika anda ingin mengetahui pengiraan zakat, sila layari laman web berikut:

http://members.tripod.com/man999/zakat_harta.htm

 

Dalam Kitab Sahih Bukhari dan Muslim, melalui sumber utamanya Ibnu Omar, Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya:

Aku perintahkan memerangi manusia kecuali bila mereka mengikrarkan syahadah bahawa tiada tuhan selain Allah dan Muhamad rasul Allah dan mendirikan solat dan membayar zakat.

(HR. Muslim dan Bukhari)

Perintah Allah s.w.t. yang menyuruh mengambil harta daripada orang yang mampu sebagaimana yang ditegaskan dalam Surah al-Maarij ayat 24 – 25 membuktikan bahawa harta bukanlah kepunyaan seseorang secara mutlak sehingga boleh dimiliki atau dibelanjakan menurut kemahuan hatinya. Tetapi harta adalah kepunyaan Allah s.w.t. yang ditetapkan pembahagiannya kepada orang yang tertentu dan pembahagian yang ditentukan itu wajib dikeluarkan menurut ketetapan syariah.

 

Golongan yang wajib menerima zakat

Orang yang berhak menerima zakat terdiri daripada lapan golongan iaitu:

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang miskin dan amil-amil yang mengurusnya dan orang muallaf yang dijinakkan hatinya dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya dan orang yang berhutang dan untuk dibelanjakan pada jalan Allah dan orang musafir dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang datangnya daripada Allah dan ingatlah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana)

(Surah At Taubah: 60)

 


 

Berpuasa pada bulan ramadan

Berpuasa menurut bahasa ialah menahan diri daripada sesuatu dan menurut istilah bererti menahan diri daripada melakukan sesuatu yang membatalkan puasa bermula dari terbitnya fajar sehingga terbenam matahari. Puasa juga menuntut kita mencegah nafsu lahir dan batin daripada segala yang dilarang serta mengawasi gerak-geri badan daripada melakukan suatu yang ditegah oleh hukum.

Puasa wajib ditunaikan menurut ketentuan syariah. Allah s.w.t. menetapkan syariah puasa dengan firman-Nya yang bermaksud:

Oleh itu barang siapa antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya) hendaklah dia berpuasa bulan itu.

(Surah al-Baqarah: 185)

 

Seseorang yang berpuasa dalam bulan Ramadan dengan ikhlas kerana Allah s.w.t., akan diberi ganjaran oleh Allah s.w.t. iaitu:

Tujuan puasa

1. Puasa adalah ibadat.

2. Puasa adalah manifestasi kepada sifat sabar dan tabah.

3. Mendidik manusia menjadi seorang yang lebih bertakwa.

4. Puasa boleh memberikan kesegaran mental dan fizikal.

 

Hikmah puasa

1. Dicairkan daging haram yang tumbuh dari badannya. (darah daging yang tumbuh daripada makanan yang haram).

2. Rahmat Allah s.w.t. sentiasa dekat dengannya.

3. Diberi oleh Allah s.w.t. sebaik-baik amal.

4. Dijauhkan daripada merasa lapar dan dahaga.

5. Diberikan cahaya oleh Allah s.w.t. pada hari kiamat untuk menyeberang titian sirat al -Mustaqim.

 

Syarat-syarat wajib puasa:

1. Islam – Tidak wajib bagi orang kafir melakukan puasa.

2. Baligh – Tidak diwajibkan berpuasa ke atas kanak-kanak yang belum sampai umur baligh. Walau bagaimanapun kanak-kanak digalakkan berpuasa.

3. Berakal – Tidak diwajibkan berpuasa bagi orang gila.

4. Berkemampuan – Tidak wajib bagi orang yang tidak berdaya berpuasa seperti orang sakit, musafir, orang tua dan sebagainya.

Terdapat enam syarat-syarat sah puasa iaitu:

1. Islam.

2. Berakal.

3. Suci daripada haid atau nifas.

4. Masuk waktu puasa.

5. Berniat pada setiap malam.

6. Menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa.

Adakah anda berpuasa kerana semua orang Islam berpuasa, atau anda ingin memperbaiki diri anda daripada berkeadaan kurang baik kepada yang lebih baik dan akhirnya menjadi orang yang bertakwa? Dengan adanya ilmu tentang puasa maka anda mampu melakukan yang terbaik.

 

Mengerjakan haji

Setiap umat Islam yang cukup syaratnya (berkemampuan) wajib mengerjakan haji di Mekah. Haji ialah ibadat yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. Orang yang menunaikan haji bukanlah kerana hendakkan keduniaan (gelaran atau menunjuknunjuk) tetapi kerana ibadat haji itu tuntutan agama.

Kewajipan mengerjakan haji diterangkan oleh Allah s.w.t. di dalam al-Qur’an dengan firman-Nya yang bermaksud:

Dan bagi (kerana) Allah (wajib) atas manusia pergi ke rumah itu, (iaitu) siapa yang berkuasa mengadakan perjalanan kepadanya, dan barang siapa yang kufur maka sesungguhnya Allah itu kaya daripada alam semesta.

(Surah al-Imran: 97)

Ibadat haji tidak sebagaimana ibadat lain yang boleh dilakukan sewaktu berada di tempat kediaman di negeri sendiri. Sebaliknya, ibadat haji hanya boleh dikerjakan di kota suci Mekah dan dilakukan dalam musim haji sahaja iaitu pada bulan Zulhijjah. Ia juga memerlukan perbelanjaan dan kesihatan badan yang baik. Namum begitu, Allah s.w.t. akan mempermudahkan semua itu kepada hamba-hamba-Nya yang bercita-cita untuk menunaikan haji sebagai tanggungjawab mereka sebagai seorang Islam. Oleh itu, kita sebagai hambanya perlu memasang niat untuk mengerjakan haji di samping berusaha untuk memenuhi keperluan yang diperlukan. Ini kerana haji merupakan satu jihad iaitu satu perjuangan, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

Daripada Aisyah r.a dia berkata: Saya bertanya: Ya Rasullullah, apakah wanita itu wajib jihad? Baginda bersabda: Ya, bagi wanita ada jihad tanpa peperangan iaitu Haji dan Umrah.

(HR. Ahmad dan Ibu Majah)

Bagi menyempurnakan ibadat ini, wajib orang yang hendak mengerjakannya mempelajari segala rukun dan adab haji dengan betul, supaya hajinya itu diterima Allah s.w.t. Berikut merupakan rukun dan wajib haji yang dituruti.

 

Sumber: http://ms.wikipedia.org/wiki/Makkah_al-Mukarramah

 

Haji juga mengajar manusia hakikat persamaan iaitu semua jemaah haji diwajibkan berpakaian ihram berwarna putih dan meninggalkan pakaian kebangsaan masingmasing. Rasionalnya ialah walaupun dari negara, bangsa dan keturunan yang berlainan, yang penting ialah akidah yang sama iaitu mentauhidkan Allah s.w.t.

Syarat-syarat wajib haji:

1. Islam – Tidak wajib atas orang kafir dan murtad.

2. Baligh– Tidak wajib atas kanak-kanak tetapi sah hajinya dan tidak gugur wajibnya apabila baligh.

3. Berakal – Tidak wajib atas orang gila dan jika dilakukan juga, tidak sah hajinya.

4. Merdeka – Hamba abdi tidak diwajibkan, tetapi sah hajinya dan diberi pahala.

5. Berkuasa/berkemampuan – Berhubung dengan berkuasa atau berkemampuan ini ialah berdasarkan kepada firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Dan menjadi kewajipanlah bagi manusia terhadap Allah untuk mengunjungi rumah itu bagi yang sanggup berjalan antara mereka.

(Surah Ali Imran: 97)

 

 

Rujukan Web
Sila dapatkan maklumat mengenai umrah dengan melayari laman web berikut:

1. http://www.tabunghaji.gov.my/th/bm/rukunwajib.asp?lthmenu=2

2. http://ms.wikipedia.org/wiki/Umrah

 

Aktiviti 1.5
Soalan kepada aktiviti 1.5 Cadangan jawapan untuk aktiviti 1.5

 

 

 

 

 

Comments are closed.