169 Ringkasan Kursus

Kursus Pengajian Islam yang diwajibkan kepada semua pelajar muslim ini direka khas untuk memberi penekanan kepada tanggungjawab seorang hamba terhadap Allah S.W.T. Kursus ini menjuruskan pelajar kepada mentauhidkan Allah S.W.T yang berasaskan kepada sumber wahyu Al-Quran dan Al-Sunnah untuk melahirkan insan salih yang mampu memikul tanggungjawab khalifah dimuka bumi ini.

Berikut merupakan ringkasan setiap Unit dalam Modul Pengajian Islam:

Unit 1 terdiri daripada tiga bab yang akan menjelaskan konsepkonsep asas dalam Islam yang memfokuskan kepada konsep-konsep asas Islam iaitu Islam, Iman dan Ihsan dan sumber-sumber utama ajaran Islam. Di samping itu, unit ini juga akan memberikan maklumat yang tepat dan jelas tentang konsep jihad yang sering disalah fahami oleh pelbagai pihak termasuk orang Islam sendiri.

Unit 2 menyentuh berkenaan dengan topik tamadun dari sudut konsep, keunikan, faktor-faktor kejayaannya dan sumbangannya dalam pelbagai bidang ketamadunan manusia. Tidak terkecuali dalam unit 2 ini turut membincangkan tentang pencapaian yang dibuat oleh seni Islam itu yang merupakan sumbangan daripada tamadun Islam di mana tujuan seni Islam ini adalah kerana Allah swt.

Di Unit 3 akan membincangkan institusi Islam yang terdiri daripada institusi ibadah, keluarga, masyarakat serta pendidikan yang penting kepada anda untuk memahami Islam dalam konteks yang luas dan menyeluruh. Focus diberikan kepada pembinaan serta pengukuhan institusi kekeluargaan dan pembentukkan masyarakat menerusi institusi Pendidikan.

Dalam Unit 4 anda telah mempelajari tentang institusi pemerintahan dan pentadbiran, institusi perundangan dan kehakiman, serta institusi ekonomi dan kewangan. Institusi Islam bukan sahaja berperanan menjaga hubungan manusia sesama manusia, tetapi juga hubungan dengan Allah s.w.t. Apabila hubungan manusia dan Allah s.w.t. dijaga, maka segala pencapaian institusi Islam akan mendapat pengiktirafan dan yang penting Allah s.w.t. meredai usaha murni manusia ke arah memakmurkan bumi.

Unit yang terakhir membantu anda memahami dan menghayati Islam dengan fikiran terbuka dan tidak dikongkong oleh kepercayaan yang mengekang pembangunan diri anda dan pembangunan ummah. Seterusnya, topik tentang Islam dan cabaran semasa akan melatih anda tentang cara menggunakan kefahaman dan pengetahuan anda tentang prinsip dan kandungan ajaran Islam serta tasawwurnya bagi menganalisis dan menghadapi cabaran dan isu semasa yang berada di sekitar anda dengan betul.

Akhir sekali, tinggi harapan saya agar anda mendapat manfaat menerusi modul ini yang mana dapat membawa anda kearah kebaikan. Justeru, sebagi umat Islam anda wajib berpegang pada sumber Al-Quran dan Al Sunnah dalam mendepani arus cabaran yang mendatang. Ajaran Islam menuntut penghayatan dan perlaksanaan dalam setiap aspek kehidupan anda.

 

“Barangsiapa melalui suatu jalan untuk mencari suatu pengetahuan (agama), Allah akan memudahkan baginya jalan menuju surga.”

(HR. Bukhari)

“Tuntutlah ilmu dan belajarlah (untuk ilmu) ketenangan dan kehormatan diri, dan bersikaplah rendah hati kepada orang yang mengajar kamu.”

(HR. Ath-Thabrani)