144 Produk ekonomi Islam

Produk ekonomi Islam

Berikut merupakan beberapa produk ekonomi yang ditawarkan oleh ekonomi Islam.

 

Wadiah (Penyimpanan selamat)

Dalam wadiah, sebuah bank dianggap sebagai penyimpan dan pemegang amanah dana. Anda mendeposit dana anda di bank dan bank tersebut menjamin pembayaran balik seluruh amaun atau mana-mana bahagian daripada amaun apabila anda menuntutnya. Bank mungkin memberikan ganjaran kepada anda dengan ‘hibah’ (hadiah) sebagai penghargaan kerana membenarkan bank menggunakan dana anda yang telah didepositkan. Di bawah perbankan konvensional, wadiah boleh digunakan untuk akaun simpanan dan semasa manakala hibah ialah faedah yang diperolehi dari akaun ini.

 

Mudharabah (Perkongsian untung)

Mudharabah ialah satu perjanjian antara anda dan bank di mana bank membenarkan anda menggunakan dananya untuk aktiviti perniagaan anda. Jika terdapat sebarang keuntungan daripada usahasama ini, ia akan dikongsi dengan bank dan apaapa kerugian akan ditanggung oleh anda. Di bawah perbankan konvensional, mudharabah boleh digunakan untuk akaun simpanan, semasa dan pelaburan dan juga instrumen deposit serta pembiayaan saham dan amanah saham.

 

Musyarakah (Usaha bersama)

Musyarakah ialah satu persetujuan usaha bersama antara anda dan pihak bank di mana keuntungan dan kerugian kedua-duanya dikongsi mengikut syarat persetujuan. Di bawah perbankan konvensional, ia digunakan untuk pembiayaan saham atau amanah saham dan surat kredit.

 

Murabahah (Tambahan kos)

Murabahah merupakan penjualan barang pada harga yang dipersetujui dan pada margin untung yang dipersetujui antara pihak bank dan anda. Di bawah perbankan konvensional, ia digunakan untuk kemudahan barisan tunai, pembiayaan modal kerja, surat kredit dan bil yang diterima.

 

Bai’ Bithaman Ajil (Jualan pembayaran tertunda)

Ini ialah penjualan barang secara pembayaran tertunda pada harga yang termasuk margin untung yang telah dipersetujui oleh pihak bank dan anda. Di bawah perbankan konvensional, Bai’ Bithaman Ajil digunakan untuk sijil hutang boleh runding, pembiayaan rumah atau harta, pembiayaan saham atau amanah saham, umrah (penziarahan orang Islam ke Mekah) dan pembiayaan lawatan.

 

Wakalah (Agensi)

Wakalah ialah apabila anda melantik bank untuk menjalankan transaksi bagi pihak anda seperti bank bertindak untuk anda apabila mengeluarkan surat kredit dalam pembiayaan dagangan.

 

Qardhul Hassan (Pinjaman ihsan)

Qardhul Hassan bermakna apabila bank memberikan anda pinjaman yang berasaskan kepada muhibah, anda hanya perlu membayar amaun yang dipinjam. Walaubagaimana pun, anda boleh, dengan budi bicara anda, membayar lebih kepada bank anda sebagai tanda penghargaan.

 

Ijarah Thumma al-Bai’ (Sewa beli)

Terdapat dua kontrak di bawah prinsip ini. Yang pertama ialah kontrak ijarah (pemajakan/penyewaan) apabila anda menandatangani satu persetujuan dengan bank anda untuk memajak kereta daripada bank pada sewa dan tempoh masa yang dipersetujui. Apabila tempoh pemajakan tamat, kontrak Bai’ (pembelian) itu berkuatkuasa yang membolehkan anda membeli kereta itu pada harga yang dipersetujui.

 

Bai’al-Inah (Persetujuan jual dan beli balik)

Prinsip ini digunakan untuk kad kredit dan berlaku apabila bank anda menjual satu aset secara pembayaran tertunda kepada anda dan kemudian aset itu dibeli balik dengan segera oleh bank itu secara tunai dengan diskaun.

 

Hibah (Hadiah)

Satu token yang diberikan sebagai balasan untuk pinjaman yang diterima atau manfaat yang didapatkan.

 

Ijr (Yuran)

Semua perkhidmatan perbankan yang lain adalah berasaskan kepada prinsip ijr yang merupakan perkhidmatan berasaskan yuran seperti pembrokeran saham, pindahan telegraf, cek kembara, perkhidmatan ATM dan perbankan telefon.

 

Sekiranya, kita mengamalkan sistem ekonomi Islam ini, kita dapat mengimbangi jurang ekonomi antara yang kaya dan miskin dan membuang amalan riba dan amalan yang menindas serta pentingkan diri sendiri.

Comments are closed.