165 Perpaduan ummah

Perpaduan ummah

Topik perpaduan ummah merupakan satu topik yang penting dan telah lama diperkatakan. Namun realitinya, hari ini kita dapati umat Islam merupakan umat yang berpecah belah. Pelbagai isu telah memisahkan umat Islam antara satu sama lain, contohnya ajaran sesat yang semakin berleluasa. Ia merupakan satu realiti yang sangat sedih dan memalukan. Satu jalan penyelesaian yang baik perlu dicari segera. Topik ini akan membincangkan kedudukan perpaduan ummah mengikut ajaran Islam.

Perpaduan ummah merupakan sesuatu yang sangat dititikberatkan oleh Islam. Dalam satu ayat, Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

… dan berpegang teguhlah kamu semua dengan tali Allah dan jangan kamu berpecah belah.


(Surah al-‘Imran: 103)

Ayat ini jelas sekali memerintahkan umat Islam supaya bersatu padu atas jalan kebenaran yang ditunjukkan oleh Allah s.w.t. dan melarang mereka daripada berpecah belah dari jalan Allah tersebut. Hal ini bermakna perpaduan dalam Islam mestilah perpaduan yang ditegakkan di atas kebenaran. Apabila kebenaran telah ditemui, maka umat Islam seluruhnya mestilah bersatu padu mengikuti dan mentaati jalan kebenaran tersebut. Mereka tidak boleh sama sekali memisahkan diri dari jalan kebenaran tersebut kerana ia akan membawa perpecahan sesama mereka.

Walaupun Islam mementingkan perpaduan, namun pada masa yang sama Islam menolak perpaduan yang membawa kepada kejahatan dan keburukan. Hal ini bererti apabila wujudnya kejahatan dan penyelewengan dalam masyarakat, mereka mestilah bangun memperbetulkan kejahatan dan penyelewengan tersebut. Umat Islam dilarang membisu tanpa berbuat apa-apa apabila maksiat berlaku atas alasan memelihara perpaduan. Ini adalah kerana menegakkan kebenaran dan membasmi maksiat dan keburukan merupakan tugas yang wajib bagi umat Islam.

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

… kamu merupakan sebaik-baik ummah yang diutuskan untuk menyerukan kebaikan dan mencegah kemungkaran serta beriman kepada Allah.

(Surah al-‘Imran: 110)

Hal ini bererti perpaduan ummah yang dianjurkan oleh Islam ialah perpaduan yang positif iaitu perpaduan atas melaksanakan kebenaran, bukan perpaduan yang negatif  iaitu perpaduan ke arah kejahatan. Apabila telah wujudnya perpaduan ummah yang bersifat positif, maka ia adalah haram bagi mana-mana individu atau kumpulan untuk melakukan apa sahaja yang boleh membawa kepada perpecahan.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Wahai orang yang beriman jauhilah kamu daripada kebanyakan berburuk sangka, kerana sesungguhnya sebahagian berburuk sangka itu dosa dan jangan kamu mencari kelemahan orang lain dan jangan kamu mengumpat antara satu sama lain …

(Surah al-Hujurat: 12)

Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa mewujudkan perpaduan ummah yang bersifat positif dan memeliharanya merupakan satu tuntutan agama yang sangat diutamakan oleh Allah s.w.t.

 

Aktiviti 5.15
Soalan kepada aktiviti 5.15
Cadangan jawapan untuk aktiviti 5.15

 

 

 

 

 

Walaupun perpaduan ummah merupakan sesuatu yang sangat dititikberatkan dalam Islam, namun realiti yang kita saksikan hari ini berbeza sama sekali. Umat Islam seluruh dunia berpecah dan bergaduh antara satu sama lain. Di Malaysia kini, kita berdepan dengan masalah ajaran sesat yang membahayakan keselamatan negara. Fahaman yang dimaksudkan ialah fahaman Syiah dan ajaran Antihadis. Ajaran sesat yang sering kali di bawa masuk ke Malaysia oleh rakyat asing ini mempunyai ancaman yang bahaya kepada negara kerana ianya akan memesongkan akidah, syariah dan akhlak Islam dan seterusnya akan membawa kepada syirik dan murtad. Selain itu, ajaran sesat ini bertentangan dengan al-Qur’an dan al-Hadith. Ajaran sesat ini juga menjadi ancaman kepada masyarakat kerana ia menimbulkan syak wasangka, tidak senang dan bimbang dalam kalangan masyarakat. Hal ini akan menyebabkan perselisihan faham dan wujud perasaan benci-membenci hingga menyebabkan pepecahan sesama umat Islam.

Di Timur Tengah umpamanya, negara-negara Arab berpecah belah antara satu sama lain. Dengan itu, walaupun bilangan mereka jauh mengatasi bilangan penduduk negara Israel, namun mereka gagal mengatasi kekuatan ekonomi, ketenteraan dan sains teknologi negara Israel. Akibatnya, mereka gagal mengatasi masalah pendudukan haram orang Yahudi di beberapa wilayah tanah Arab. Lebih menyedihkan lagi, masyarakat Arab Palestine yang sedang menghadapi peperangan dengan Israel secara langsung juga saling berbunuhan antara satu sama lain. Sekarang ini kita dapati dua parti politik yang bertentangan di negara Palestine iaitu Hamas dan Fatah sedang bergaduh sesama sendiri. Hal ini mengakibat kelemahan kerajaan Palestine bagi menghadapi serangan diplomasi, ekonomi dan ketenteraan Israel.

Hal yang sama juga turut berlaku di negara Iraq. Negara tersebut telah jatuh ke dalam kancah peperangan sivil yang melibatkan semua lapisan dan kumpulan masyarakat. Kejadian letupan bom dan tembakan curi yang membunuh sesama anggota masyarakat Iraq berlaku saban hari. Hal ini akan mengakibatkan kekuatan masyarakat Islam Iraq terus lemah dan pemerintahan negara tersebut akan terus kekal berada di bawah telunjuk tentera Amerika.

Di Somalia, walaupun mereka menghadapi masalah ekonomi, kemiskinan dan kebuluran yang parah, namun masyarakat Islam di negara tersebut lebih gemar berpecah belah dan membunuh antara satu sama lain. Mereka sepatutnya menumpukan usaha dan kekuatan untuk mengatasi masalah kemiskinan dan kebuluran dalam kalangan masyarakat mereka. Namun akibat leka berperang, mereka bukan sahaja tidak mampu mengatasi masalah tersebut, malah keadaan itu menjadi semakin teruk.

Semuanya ini berlaku bukan kerana kesalahan ajaran Islam. Sebaliknya, ia berlaku kerana sikap umat Islam sendiri yang membelakangkan ajaran Islam. Mereka hanya Islam pada nama sahaja, bukan pada ajarannya.

Melihat kepada senario perpecahan umat yang berlaku di dunia dewasa ini, maka satu jalan penyelesaian yang berkesan perlu diusahakan segera supaya umat Islam dan agama Islam kembali cemerlang dan berada pada kemuncak keagungannya.

 

Aktiviti 5.16
Soalan kepada aktiviti 5.16 Cadangan jawapan untuk aktiviti 5.16

 

 

 

 

 

Melalui perbincangan di atas, diharapkan anda telah jelas tentang konsep perpaduan dalam Islam iaitu perpaduan positif, bukan perpaduan negatif. Apabila telah wujud perpaduan yang positif, maka ianya menjadi kewajipan semua anggota masyarakat untuk sama-sama memelihara dan mempertahankannya. Realiti perpaduan ummah pada hari ini sangat menyedihkan dan memalukan. Perpecahan ummah di seluruh dunia berada pada tahap yang sangat kritikal. Oleh itu, umat Islam dipandang rendah dan mundur. Sebagai pemimpin masa depan, anda harus memikirkan perkara ini dengan serius. Masa depan ummah berada di tangan anda.

Comments are closed.