114 Perkembangan institusi pendidikan Islam di Malaysia

Perkembangan institusi pendidikan Islam di Malaysia

Perkembangan pendidikan Islam di Malaysia pada asasnya bermula di dalam istana. Apabila raja Melayu yang terawal memeluk Islam iaitu Sultan Melaka yang pertama, Parameswara atau nama Islamnya Iskandar Shah, beliau telah menjemput ramai alim ulamak untuk mengajar Islam di istana. Pengajaran ini turut diikuti para pembesar istana dan rakyat jelata yang telah memeluk Islam. Kedudukan istana sebagai pusat pengajian dan penyebaran Islam ini berterusan sehinggalah kedatangan penjajah Inggeris pada abad ke-18 Masihi.

Kemudian peranan ini diambil alih oleh institusi pondok. Institusi pondok ialah satu sistem pendidikan Islam tradisi di Tanah Melayu. Ia merupakan institusi pengajian yang sangat popular di Tanah Melayu dan Nusantara pada abad ke-19 dan awal abad ke-20. Antara sekolah pondok yang terkenal ketika itu ialah Pondok Pasir Tumbuh di Kelantan, Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas Kelantan dan Pondok Lanai di Baling Kedah. Para lulusan pondok keluar sebagai individu penting yang mengetuai banyak institusi kemasyarakatan di Tanah Melayu pada ketika itu seperti institusi masjid, pejabat serta jabatan agama.

Bagaimanapun semenjak tahun 1970-an, kegemilangan institusi pondok mulai pudar. Ia diambil alih oleh institusi madrasah atau sekolah agama/Arab. Banyak institusi pondok telah ditukar kepada sistem sekolah Arab. Namun begitu, ia jugamenerima banyak mata pelajaran moden dengan sistem kurikulum yang terancang. Malah sekolah-sekolah ini juga menerima sistem penilaian peperiksaan yang dianjurkan Kementerian Pelajaran Malaysia seperti PMR, SPM dan STAM (Sijil Tinggi Agama Malaysia).

Dari segi kawalan dan pembiayaan, ada sekolah agama Arab yang tidak dikawal oleh kurikulum pendidikan yang disediakan oleh kerajaan. Dengan itu, mereka tidak diberi bantuan kewangan. Sekolah-sekolah dalam kategori ini dikenali sebagai Sekolah Agama Rakyat (SAR). Sekolah ini walaupun mempunyai sistem pengajian tertentu, menerima beberapa mata pelajaran moden dalam kurikulumnya dan mengambil peperiksaan PMR, SPM dan STAM, namun oleh kerana tidak mendapat mendapat bantuan kewangan maka kemudahan institusi ini serba kekurangan.

Kategori kedua ialah sekolah agama Arab yang mendapat bantuan penuh kerajaan dan diserap dalam sistem pendidikan nasional sebagai rangkaian sekolah-sekolah kerajaan. Sekolah-sekolah ini mempunyai nasib yang lebih baik dari segi infrastruktur, pemantauan dan kewangan. Selain itu, kerajaan juga menambah sekolah-sekolah agama yang menjadikan mata pelajaran agama dan bahasa Arab sebagai subjek teras. Sekolah-sekolah ini ditubuhkan pada peringkat menengah yang dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA). SMKA merujuk sekolah menengah berasrama penuh yang hanya mengambil pelajar-pelajar cemerlang dalam peperiksaan UPSR dan PMR.

Pada peringkat pengajian tinggi pula terdapat banyak institusi pengajian tinggi Islam yang telah ditubuhkan bagi menampung pertumbuhan pelajar daripada aliran Arab ini. Antara institusi tersebut ialah Universiti Islam Antarbangsa (UIAM), Universiti Sains Islam Malaysia (KUIM), Kolej Universiti Sultan Zainol Abidin (KUSZA), Universiti Darul Iman (UDI), INSYANIYYAH, Kolej Islam Yayasan Kelantan (KIYAS), Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) dan lain-lain lagi. Selain mempunyai bidang pengkhususan keagamaan seperti Syariah, Usuluddin, Dakwah, dan sebagainya, institusi ini turut menawarkan pengajian akademik dan profesional yang lain seperti perubatan, kejuruteraan, perakaunan, ekonomi, undang-undang dan lain-lain lagi.

Selain daripada institusi pengajian tinggi Islam yang khusus, bidang pengajian Islam turut dimasukan dalam institusi awam lain seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Dalam universitiuniversiti ini ditubuhkan fakulti atau jabatan yang menjadikan subjek pengajian Islam sebagai kursus teras yang ditawarkan sepanjang semester.

Aktiviti 3.13
Soalan kepada aktiviti 3.13 Cadangan jawapan untuk aktiviti 3.13

 

 

 

 

 

 

Perkembangan kurikulum pendidikan Islam di Malaysia

Pelaksanaan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) telah memberi ruang perubahan yang banyak, khasnya perubahan dari segi tujuan isi kurikulum dan juga pertambahan masa pembelajarannya dari 120 minit seminggu kepada 180 minit seminggu. Dari segi matlamat, Pendidikan Islam KBSR telah mengariskan tujuannya seperti berikut:

1. Untuk membolehkan murid-murid membaca ayat-ayat al-Qur’an dengan betul serta boleh menghafaz dan memahami erti surah-surah yang mudah.

2. Meyakinkan murid-murid terhadap kewujudan Allah s.w.t. dan sifat-sifat serta kekuasaan Allah s.w.t. dan mencintai-Nya.

3. Menanamkan rasa cinta murid-murid terhadap Rasulullah s.a.w. dan mencontohi hidup dan sifat-sifat Baginda.

4. Membiasakan murid-murid melakukan ibadat solat dan melakukan amalan yang berasaskan agama Islam dan berperibadi Muslim dan Mukmin.

Mata pelajaran pendidikan Islam mula diajar secara formal di sekolah menengah pada tahun 1962. Kurikulum pendidikan Islam dibentuk berasaskan keperluan dan matlamat untuk memberi pengetahuan mengenai agama Islam kepada pelajar. Dengan itu, pelajar lebih banyak menghafal fakta daripada memahami fakta. Malahan mereka mempelajari Pendidikan Agama Islam (PAI) hanya sekadar untuk mengetahui agama Islam dan lulus peperiksaan am iaitu Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sebelum tahun 1988, PAI merupakan satu-satunya mata pelajaran yang agak selaras dengan sistem pendidikan Islam. Ini boleh dilihat dalam kandungan sukatan pelajaran PAI yang lebih banyak menumpukan kepada asas dan prinsip yang berkaitan dengan agama Islam seperti tauhid, ibadat, sejarah Islam dan pengajian al-Qur’an dan al-Hadith. PAI, melalui mata pelajaran pengetahuan agama Islam diwajibkan kepada semua murid sekolah yang beragama Islam.

Kurikulum pendidikan Islam pada masa kini masih lagi memberi tumpuan kepada penyampaian ilmu semata-mata dan kurang memfokus kepada pembinaan potensi insan untuk mengamalkan dan menghayatinya dalam kehidupan seharian. Hanya universiti yang menawarkan bidang pengajian Islam secara khusus mengadakan program khas yang bersifat pratikal dan amali seperti dalam bidang syariah dan guaman serta bidang dakwah dan kepemimpinan. Namun, masih banyak mata pelajaran yang diajar menjurus kepada penyampaian ilmu semata-mata. Apatah lagi jika pendidikan Islam diajar dalam konteks tamadun Islam di IPT yang tiada bidang pengkhususan pengajian Islam. Kurikulumnya sekadar berbentuk mengingati fakta-fakta sejarah bukan ke arah menghayati dan mengamalkan nilai-nilai dalam ajaran Islam.

Akibatnya, masyarakat kita masih terus berdepan dengan krisis keruntuhan moral, sama ada daripada golongan remaja ataupun dewasa. Sedangkan, sebenarnya mereka merupakan produk polisi pendidikan yang berpaksikan falsafah pendidikan negara yang sarat dengan nilai yang dihajati oleh negara dan agama, iaitu insan yang baik dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

 

Comments are closed.