104 Peranan, hak dan tanggungjawab dalam institusi keluarga

Peranan, hak dan tanggungjawab dalam institusi keluarga

Dalam topik ini anda akan mengetahui peranan, hak dan tanggungjawab khusus suami, isteri dan anak-anak yang merupakan komponen penting dalam institusi keluarga.

 

Kewajipan dan tanggungjawab suami

 

1. Suami menyediakan tempat tinggal, pakaian dan makanan

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Tempatkanlah mereka (isteri kamu) di mana kamu bertempat tinggal sekadar menurut kemampuanmu dan janganlah kamu mempersulitkan mereka supaya sempit kehidupan mereka.

(Surah al-Talaq: 6)

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Lelaki itu bertanggungjawab ke atas wanita dengan apa yang dilebihkan oleh Allah sebahagian mereka atas sebahagian dan dengan apa yang mereka nafkahkan daripada harta-harta mereka.

(Surah al-Nisa’: 34)

2. Suami memberi nafkah sekadar yang mampu

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

Sejahat-jahat manusia ialah yang mempersempitkan nafkah keluarganya.

(HR. Thabarani)

 

Sabda Baginda lagi:

Dinar yang kamu nafkahkan ke jalan Allah. Dinar yang kamu belanjakan untuk membebaskan hamba. Dinar yang kamu belanjakan untuk orang miskin. Dan Dinar yang kamu belanjakan buat keperluan keluargamu. Maka yang paling besar pahalanya ialah yang kamu nafkahkan ke atas keluargamu itu.

(HR. Ahmad)

 

3. Mendidik isteri berilmu bagi menunaikan kewajipan fardu ain

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Lelaki itu adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap wanita.

(Surah al-Nisa’: 34)

 

Sabda Rasulullah s.a.w.:

Nasihatilah oleh kamu semua terhadap wanita itu dengan cara yang baik kerana sesungguhnya kamu telah mengambil mereka dengan amanah Allah dan menghalalkan kemaluan mereka dengan kalimah Allah.

(HR. Ibnu Majah dan Nasaee)

 

4. Bergaul dengan isteri dengan cara yang baik

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

 Wahai orang yang beriman tidak halal bagi kamu mewarisi wanita secara paksa dan tidaklah boleh kamu menghalangi mereka daripada berkahwin supaya dikurangkan mas kahwin kecuali sekiranya nyata mereka berbuat kekejian dan bergaullah dengan mereka secara yang baik maka sekiranya kamu membenci mereka pada suatu perkara mungkin Allah jadikan padanya kebaikan yang banyak.

(Surah al-Nisa’: 19)

 

 

Aktiviti 3.6
Soalan kepada aktiviti 3.6 Cadangan jawapan untuk aktiviti 3.6

 

 

 

 

 

 

Kewajipan dan tanggungjawab isteri

1. Menjaga kehormatan diri dan mentaati suami

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Maka para wanita yang baik itu yang berlaku taat dan memelihara diri ketika suami ketiadaan di rumah sebagaimana Allah memeliharanya.

(Surah al-Nisa’: 34)

 

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

Seorang isteri yang bersolat lima waktu dan berpuasa pada bulan Ramadan dan memeliharakan kemaluan dan berlaku taat kepada suaminya pasti masuk syurga melalui mana-mana pintu yang dia suka daripada pintu-pintu syurga.

(HR. Ahmad dan Tabarani)

2. Tidak keluar rumah kecuali dengan keizinan suami

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

Mana-mana isteri yang keluar dari rumahnya tanpa izin suaminya adalah dia dalam kemurkaan Allah Taala hinggalah dia balik ke rumah suaminya semula dan diredai suaminya.

(HR. al-Khatib)

 

Hak suami dan isteri dalam keluarga

 

1. Hak isteri dalam keluarga

a. Mendapat nafkah zahir dan batin daripada suami yang secukupnya agar hubungan yang harmonis dapat diwujudkan dengan suasana keseimbangan dan kesederhanaan.

b. Memperoleh perlindungan pakaian, tempat tinggal, jaminan keselamatan daripada suami agar dapat melaksanakan amanahnya dengan sebaik-baik mungkin.

c. Mendapat panduan nasihat yang baik daripada suami sebagai ketua keluarga yang bertanggungjawab dan berjiwa kasih sayang.

d. Dirahsiakan kecacatan isteri agar orang luar tiada mengetahui keaiban keluarga sendiri. Sikap memaafkan kelemahan isteri adalah perkara yang baik dalam menjamin kesejahteraan keluarga.

e. Suami wajar mengasihi keluarga isteri kerana sikap bertimbang rasa dan saling memahami antara mentua dapat mengukuhkan hubungan kekeluargaan.

 

2. Hak suami dalam keluarga

a. Kepemimpinan dan kekuatan dalam rumah tangga yang diletakkan atas bahu suami agar keluarga dapat dipimpin ke arah mendapat keredaan Allah s.w.t.

b. Ketaatan dan kesetiaan isteri kepada suami selagi tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Jika suami mengingkari perintah Allah s.w.t. maka isteri tidak perlu taat kepada suami.

c. Isteri juga bertanggungjawab merahsiakan kecacatan suami kepada orang lain kerana suami adalah ketua keluarga yang menjadi model dalam keluarga. Jika peribadi suami diperkecilkan maka kepemimpinan keluarga akan terancam.

d. Layanan yang munasabah dan kasih sayang termasuk zahir dan batin daripada isteri agar keseimbangan keperluan rohani dan jasmani sentiasa dijaga.

e. Meminta keizinan daripada suami sebelum keluar rumah kerana suami adalah ketua keluarga yang perlu mengetahui gerak-geri ahli keluarganya sendiri agar kesetiaan dan kasih sayang sentiasa dipelihara.

 

Hak dan tanggungjawab bersama

1. Berhak menikmati kemanisan dan kebahagiaan hidup berumah tangga.

2. Bertanggungjawab mengeratkan hubungan silaturrahim dengan keluarga kedua-dua belah pihak.

3. Harta kedua-duanya boleh diwarisi oleh salah seorang daripadanya apabila berlaku kematian.

4. Mendalami ilmu fardu ain.

5. Sering berbincang dalam segala hal untuk kebaikan bersama.

6. Bersikap jujur dan menepati janji.

7. Saling bermaafan jika berlaku kesilapan dan saling menasihati.

8. Sembahyang berjemaah digalakkan.

9. Bertawakal kepada Allah s.w.t. setelah berusaha untuk mencapai kebahagiaan.

 

Tanggungjawab keibubapaan

1.  Tanggungjawab ibu bapa terhadap anak

a. Berdoa ke hadrat Allah s.w.t. agar dikurniakan anak yang soleh sebaik sahaja bernikah.

b. Mengazankan anak lelaki dan menqamatkan anak perempuan sebaik sahaja dilahirkan.

c. Memberi nama yang baik kepada anak.

d. Menyusukan anak sehingga berusia 2 tahun.

e. Menyediakan makanan, pakaian dan tempat tinggal yang munasabah.

f. Mendidik anak supaya menjadi anak yang soleh dan beriman.

g. Memberi pendidikan yang sewajarnya.

h. Bersikap adil terhadap anak-anak.

i. Menguruskan perkahwinan mereka apabila sampai masa untuk berkahwin.

 

Aktiviti 3.7
Soalan kepada aktiviti 3.7 Cadangan jawapan untuk aktiviti 3.7

 

 

 

 

 

 

2. Tanggungjawab anak terhadap ibu bapa

a. Mentaati ibu bapa dalam segala hal selagi tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

b. Menyahut seruan dan panggilan mereka dan segera hadir apabila diperlukan.

c. Jangan meninggi suara apabila bercakap dengan kedua-duanya.

d. Berdoa kepada mereka sama ada ketika hidup mahupun sesudah meninggal dunia.

e. Melaksanakan wasiat yang ditinggalkan oleh ibu bapa.

f. Menyebut segala kebaikan ibu bapa dan melupakan segala kesilapan dan kekurangannya.

g. Jadi anak yang membanggakan ibu dan bapa.

Subhanallah, peranan, hak dan tanggungjawab keluarga dalam Islam cukup tersusun dan teratur. Jika setiap peranan, hak dan tanggungjawab ini dapat dipikul dengan baik oleh setiap yang berkenaan, insya-Allah kita akan berjaya membina sebuah tamadun yang tinggi. Sesungguhnya insitusi keluarga Islam yang kuat dan harmoni dapat menyumbang ke arah pembinaan masyarakat dan tamadun yang mantap lagi cemerlang.

 

Aktiviti 3.8
Soalan kepada aktiviti 3.8 Cadangan jawapan untuk aktiviti 3.8

 

Comments are closed.