135 Pemikiran mazhab dalam Islam

Pemikiran mazhab dalam Islam

Mazhab dari segi bahasa bermakna jalan atau cara berfikir. Dari segi istilah pengajian Islam, ia merujuk kepada jalan atau cara berfikir yang telah diterima sebagai satu kaedah dalam menilai pelbagai perkara terutamanya yang berkaitan dengan bidang ilmu fiqh dan ilmu kalam. Kaedah dan sumber yang berbeza bagi menilai isu-isu fiqh ini telah menimbulkan mazhab fiqh yang berbeza-beza seperti empat mazhab yang utama iaitu Hanafiyyah, Malikiyyah, Shafi’iyyah dan Hanbaliyyah. Manakala kaedah yang berbeza bagi menilai isu-isu tertentu dalam ilmu kalam atau ilmu yang berkaitan ketuhanan pula telah menimbulkan pelbagai mazhab ilmu kalam seperti ‘Ash’ariyyah, Maturidiyyah, Salafiyyah, Mu’tazilah, Qadariyyah, Jabariyyah dan lain-lain lagi.

Dengan itu adalah jelas bahawa kewujudan pelbagai mazhab merupakan natijah daripada kepelbagaian cara berfikir dalam menentukan hukum dan kedudukan sesuatu perkara menurut perspektif syarak. Ia merupakan manifestasi kebebasan berfikir yang dianjurkan oleh Islam. Islam sebagai agama untuk manusia sejagat sepanjang zaman sangat memahami kerencaman hidup manusia yang berbezabeza antara sesuatu bangsa, sesuatu tempat dan zaman. Dengan itu, mereka tidak dipaksa untuk mengikut hanya satu bentuk cara berfikir sahaja kerana ia akan menyebabkan manusia berada dalam satu suasana hidup yang penuh kesulitan. Oleh itu, Islam memberikan kebebasan kepada manusia memiliki kepelbagaian cara dan kaedah berfikir asalkan ia tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip asas ajaran Islam. Ini bermakna, kepelbagaian mazhab dalam Islam, jika difahami dan dihayati secara betul, merupakan satu kekuatan dan rahmat, bukan satu kelemahan dan bencana.

 

Prinsip mazhab dalam Islam

Seperti yang dijelaskan, kewujudan pelbagai mazhab dalam Islam merupakan satu rahmat dan kekuatan yang ada pada ajaran agama. Kepelbagaian mazhab membolehkan syariah Islam dilaksanakan oleh manusia pada tempat dan waktu yang berbeza mengikut kesesuaian. Namun begitu, jika tidak difahami dengan baik dan bijaksana, kepelbagaian mazhab ini boleh menimbulkan masalah perpecahan dalam kalangan umat Islam. Oleh itu, bagi mengelakkan keadaan ini, umat Islam perlu memahami fiqh perbezaan pendapat dan menghayati prinsip-prinsipnya secara sahih. Antara prinsip perbezaan mazhab ialah seperti berikut:

1. Perbezaan dalam perkara cabang dan furu’ sahaja bukan dalam perkara pokok dan usul. Perbezaan yang berlaku dalam persoalan fiqh dan beberapa isu dalam ilmu kalam lebih tertumpu pada persoalan cabang dan furu’ sahaja, bukan perkara tentang usul atau dasar. Umpamanya, para fuqaha’ dalam mazhab yang berbeza tidak pernah berbeza pandangan tentang kewajipan membayar zakat emas dan perak apabila telah cukup jumlah (nisab) dan tempohnya (haul), kerana ia termasuk dalam perkara usul atau dasar. Namun mereka berbeza pendapat tentang kewajipan membayar zakat emas yang dipakai oleh seseorang wanita sebagai perhiasan. Perbezaan ini tidak menimbulkan sebarang masalah kerana ia hanya perkara cabang sahaja.

2. Tidak boleh menyalahkan pihak lain yang berbeza dari segi furu’ dan cabang sahaja. Setiap pihak atau ahli mazhab yang berbeza tidak boleh menyalahkan antara satu sama lain. Ini kerana dalam masalah cabang atau ranting, tidak ada satu pihak yang memonopoli kebenaran. Kebenaran mungkin berada pada semua pihak yang berbeza pandangan tersebut. Dengan itu mereka semua berada pada pihak yang benar. Ini dapat disaksikan dalam sebuah hadis nabi seperti berikut:

Rasulullah pernah memerintahkan Sahabatnya yang akan pergi ke perkampungan Bani Quraizah supaya tidak bersembahyang asar, kecuali setelah sampai di perkampungan tersebut. Namun waktu asar telah tiba semasa mereka masih lagi dalam perjalanan. Lalu ada sahabat yang bersembahyang dan ada yang menangguh sehingga sampai ke perkampungan tersebut. Apabila perkara ini diceritakan kepada Rasulullah s.a.w., Baginda mengiktiraf keputusan kedua-dua belah pihak.

(HR. Bukhari dan Muslim)

 3. Bekerjasama dalam perkara yang disepakati dan bertolak ansur dalam perkara yang tidak dipersetujui. Setiap mazhab yang berbeza pandangan dalam perkara tertentu mempunyai persamaan dalam banyak perkara yang lain. Oleh itu, mereka mestilah menumpukan perhatian kepada usaha melaksanakan apa yang dipersetujui bersama bukan kepada perbezaan antara mereka.

4. Tidak boleh melampau dalam sesuatu pandangan yang dipegang. Syariat Islam ialah agama yang sangat menganjurkan kesederhanaan. Ini termasuklah juga dalam perkara yang berkaitan dengan mazhab. Pegangan terhadap sesuatu mazhab hendaklah secara sederhana dengan menerima kemungkinan adanya kesilapan pada pihak diri sendiri dan adanya kebenaran pada pihak orang lain.

5. Bersangka baik dengan pihak yang lain. Syariat Islam sangat menekankan tentang keperluan bersikap berbaik sangka sesama umat Islam dan menghindarkan sikap berburuk sangka.

6. Berdialog dan berbincang dengan baik. Islam juga sangat menekankan keperluan berdialog dan berbincang bagi mencari titik pertemuan dan menyelesaikan masalah. Namun terdapat juga keadaan walaupun selepas berdialog, mereka masih tidak ditemui titik pertemuan, maka ia bermakna mereka perlu menerima perbezaan. Namun, perbezaan bukanlah bermakna permusuhan kerana perbezaan terutamanya dalam perkara yang cabang dan ranting sahaja merupakan rahmat Allah s.w.t. kepada hamba-Nya.

Ini adalah antara prinsip perbezaan mazhab dan sikap yang perlu dimilki oleh umat Islam dalam menghadapi kepelbagaian mazhab dan pendapat sesama mereka. Jika sikap ini dapat dihayati sebaiknya, maka akan tercapailah seperti apa yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w. bahawa perbezaan pandangan dalam kalangan umatnya merupakan satu rahmat.

 

Mazhab-mazhab yang muktabar

Dalam bidang fiqh, dari segi sejarahnya terdapat lebih daripada sembilan mazhab yang pernah wujud iaitu Hanafi, Maliki, Shafi’i, Hanbali, Laythi, Tabari, Zahiri, Awza’i dan Thawri. Namun begitu, sehingga ini hanya empat mazhab sahaja yang terus kekal dan dipegang oleh kebanyakan umat Islam seluruh dunia iaitu:

1. Mazhab Hanafi berdasarkan pandangan dan kaedah oleh Imam Abu Hanifah r.a. – (80 H/699 M – 150 H/767 M)

2. Mazhab Maliki berdasarkan pandangan dan kaedah Imam Malik r.a. – (934 H/712 M – 179 H/789 M)

3. Mazhab Shafi’i berdasarkan pandangan dan kaedah Imam al-Shafi’i r.a. – (150 H/767 M – 204 H/820 M)

4. Mazhab Hanbali berdasarkan pandangan dan kaedah Imam Ahmad ibn Hanbal r.a. – (164 H/780 M – 241 H/855 M)

 

Mazhab Hanafi

Mazhab Hanafi diasaskan mengikut pandangan dan kaedah penetapan hukum yang diamalkan oleh Imam Abu Hanifah Nu’man bin Tsabit. Beliau lahir pada tahun 80 Hijrah. Beliau seorang yang berjiwa besar, berakhlak tinggi, bijak dan cekap memberikan keputusan bagi masalah yang dihadapi.

Dari kalangan empat mazhab yang yang masih wujud sehingga ke hari ini, mazhab Hanafi ialah mazhab yang terawal. Abu Hanifah menjalani kehidupannya di Iraq, sebuah negara yang mengalami pergolakan politik yang agak kuat antara golongan ahli sunah dan syiah. Dengan itu banyak berlaku kegiatan pemalsuan dan pemesongan hadis Rasulullah s.a.w. Dalam suasana ini, Abu Hanifah amat berhatihati dan agak ketat dalam meletakkan syarat-syarat bagi menerima sesebuah hadis. Jika sesebuah hadis tidak memenuhi syarat yang ditetapkan, maka beliau lebih senang menggunakan kaedah lain untuk menetapkan sesuatu hukum. Ini bukan bertujuan untuk menolak hadis tetapi bagi memastikan tidak ada hadis yang dipalsukan dapat meresap masuk dalam proses ijtihad yang dilakukannya. Oleh, itu Mazhab Hanafi ini juga dikenali sebagai mazhab ahl al-Ra’y, iaitu golongan yang mengutamakan akal fikiran yang sahih.

Pada umumnya, Mazhab Hanafi diasaskan atas prinsip dan kaedah-kaedah tertentu yang membezakannya daripada mazhab lain dalam menentukan sesuatu hukum. Antara prinsip dan kaedah yang diikutinya ialah al-Qur’an, ketat dalam menilai kesahihan sesebuah hadis, longgar dalam menggunakan qiyas serta menerima istihsan dan hilah syar’iyyah dalam proses penetapan hukum. Pada hari ini, mazhab ini banyak diikuti oleh umat Islam di Turki serta benua India dan Pakistan.

 

Mazhab Maliki

Mazhab Maliki ialah mazhab yang berasaskan kaedah dan prinsip penetapan hukum seperti yang ditetapkan oleh Imam Malik ibn Anas r.a. Beliau lahir di kota Madinah pada tahun 93 Hijrah. Imam Malik dilahirkan 13 tahun selepas kelahiran Iman Abu Hanifah. Iman Malik mempunyai ingatan yang kuat dan mampu menghafaz al-Qur’an dan banyak daripada hadis Rasulullah s.a.w. Beliau menghabiskan seluruh hidupnya di kota Madinah yang merupakan tempat berhimpunnya ramai Sahabat Rasulullah s.a.w. Dengan itu, Imam Malik sangat kuat berpegang dengan hadis yang boleh diperoleh dengan mudah di kota tersebut. Oleh itu, mazhab Maliki juga dikenali sebagai mazhab ahl al-Hadith, iaitu mazhab golongan yang sangat kuat berpegang dengan hadis. Pada umumnya, mazhab Maliki dibina berasaskan kaedah dan prinsip-prinsip tertentu dalam proses menetapkan sesuatu hukum. Antara kaedah-kaedah dan prinsip-prinsipnya ialah al-Qur’an, sangat kuat berpegang dengan hadis, menerima pandangan sahabat sebagai sumber hukum, menerima maslahah mursalah dan sadd al-zara’i’. Pada hari ini, mazhab Maliki diikuti oleh sebahagian besar umat Islam di negeri-negeri di utara Afrika.

 

Mazhab Syafi‘i

Mazhab Syafi‘i ialah mazhab yang lahir berasaskan sumber dan kaedah yang digunakan oleh Imam Mohd. Idris al-Shafi‘i dalam proses penetapan hukum. Beliau lahir pada tahun 150 Hijrah. Imam al-Shafi‘i dikenali sebagai seorang yang kuat merantau untuk mencari ilmu pengetahuan dan menyebarkannya. Beliau lahir di Palestine, merantau ke Mekah dan Madinah, berguru dengan Imam Malik dan lain-lain guru yang masyhur. Beliau juga pernah beberapa kali ke Yaman dan Iraq dan berguru dengan Imam Muhammad Hasan al-Shaybani, anak murid Imam Abu Hanifah di Iraq. Setelah itu, beliau ke Mesir dan menetap di sana sehingga akhir hayatnya. Oleh kerana Imam al-Shafi‘i pernah berguru dengan Imam Malik r.a. dari aliran ahl al-Hadith dan dan juga Imam Muhammad Hasan al-Shaybani, iaitu anak murid Imam Abu Hanifah dari aliran ahl al-Ra’y, fiqh al-Shafi‘i ialah gabungan antara kaedah dan sumber daripada kedua-dua aliran tersebut dalam proses penetapan hukum. Beliau dianggap sebagai seorang yang dapat menggabungkan antara hadis dan akal fikiran dalam memahami dan membentuk sesuatu hukum fiqh. Imam Syafii‘i ialah imam ketiga mengikut susunan tarikh kelahiran mazhab empat serangkai.

Dari segi sumber dan kaedahnya, fiqh al-Shafi‘i menggunakan sumber dan kaedah tertentu dalam proses penetapan hukum, antaranya ialah al-Qur’an dan al-Sunnah, ijmak, qiyas, pandangan Sahabat dan istishab. Pada hari ini, mazhab Shafi‘i ialah mazhab yang banyak diikuti oleh masyarakat Islam di Mesir, Palestine, Yaman dan Asia Tenggara terutamanya Malaysia dan Indonesia.

 

Mazhab Hanbali

Mazhab Hanbali ialah mazhab yang lahir berdasarkan kaedah ijtihad yang dilakukan oleh Imam Ahmad bin Mohamad bin Hanbal. Beliau lahir di bandar Baghdad pada tahun 164 Hijrah. Imam Ahmad juga banyak menuntut ilmu sepanjang hayatnya. Beliau pernah berguru dengan Imam al-Shafi‘i dan seorang lagi anak murid Abu Hanifah iaitu Qadi Abu Yusuf. Namun begitu, bidang yang sangat diminati dan ditekankan oleh Imam Ahmad ialah bidang hadis. Beliau lebih terkenal dengan ilmu hadis dan banyak mengumpulkan hadis dalam kitab koleksi hadis yang bernama al-Musnad.

Seperti juga gurunya Imam al-Shafi‘i, sumber dan kaedah penetapan hukum mengikut Imam Ahmad adalah berdasarkan al-Qur’an dan al-Sunnah, fatwa Sahabat, al-qiyas dan al-istishab. Walaupun Imam Ahmad turut menerima qiyas sebagai kaedah penetapan hukum, namun beliau lebih mengutamakan hadis. Malah jika berlaku pertentangan antara hadis daif dan qiyas, beliau tetap memilih hadis walaupun kedudukannya daif. Pada hari ini, fiqh Hanbali lebih banyak diikuti oleh umat Islam di Arab Saudi dan Jordan.

Dari perbincangan di atas, jelas bahawa kewujudan mazhab hanya merupakan natijah daripada penggunaan kaedah dan cara penilaian yang berbeza-beza antara para ulamak yang mujtahid. Perbezaan ini berlaku pada perkara-perkara cabang dan furu’ sahaja, bukan dalam perkara yang dasar atau asas. Dengan itu perbezaan mazhab bukanlah sesuatu yang patut menjadi asas kepada perpecahan dan perbalahan sesama umat Islam.

Walaupun umat Islam pada hari ini berasal dari mazhab yang berbeza, mereka perlulah mencontohi sikap yang diamalkan oleh setiap imam mazhab tersebut. Kepelbagaian mazhab merupakan satu rahmat dan anugerah Allah s.w.t. kepada umat Islam. Mereka tidak wajib terikat dengan sesuatu pandangan sahaja dalam hidup mereka. Ini memudahkan umat Islam untuk menjalani kehidupan yang berbezabeza mengikut perbezaan tempat dan waktu dan menghadapi cabaran hidup dengan penuh hikmah dan bijaksana.

 

Rujukan Web
Sila layari laman web berikut untuk maklumat lanjut mengenai mazhab.

http://ms.wikipedia.org/wiki/Mazhab

 

Comments are closed.