124 Pemerintahan dan kepemimpinan Rasulullah s.a.w. dan Khulafa’ al-Rasyidin

Pemerintahan  dan  kepemimpinan  Rasulullah  s.a.w.  dan  Khulafa’ al-Rasyidin

Sebenarnya pemerintahan dan kepemimpinan Rasulullah s.a.w. dan Khulafa’ al-Rasyidin merupakan contoh pemerintahan dan kepemimpinanan yang terbaik yang pernah disaksikan di muka dunia ini. Antara ciri-ciri yang menonjol dalam pemerintahan dan kepimpinan Rasulullah s.a.w. dan Khulafa’ al-Rasyidin adalah keadilan, kesamarataan, kebebasan dan ketelusan.

 

Rasulullah s.a.w. sebagai ketua negara

Rasulullah s.a.w. merupakan ketua negara Islam yang pertama. Pemerintahan Rasulullah s.a.w. juga tertakluk kepada prinsip-prinsip asas yang telah diperintahkan oleh Allah s.w.t. dalam al-Qur’an iaitu mendaulatkan hukum Allah, menegakkan keadilan, kebebasan dan ketelusan, menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran, membina perpaduan dan menjamin keamanan dan keharmonian.

Dalam pemerintahannya, Rasulullah s.a.w. berusaha untuk mendaulatkan semua hukum-hakam yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. dalam semua aspek. Ini termasuk hukum yang berkaitan dengan aspek politik, pentadbiran, undang-undang, ekonomi, sosial, pendidikan, kekeluargaan dan lain-lain. Dalam aspek politik dan pentadbiran umpamanya, Rasulullah s.a.w. melaksanakan sistem pentadbiran secara syura iaitu secara perundingan dan mesyuarat seperti yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. Walaupun Baginda seorang rasul dan makhluk yang paling mulia, namun Baginda tetap meminta pandangan sahabat-sahabat Baginda dalam menjalankan pentadbiran, khususnya dalam perkara yang tiada wahyu diturunkan. Ini menjadikan sistem pentadbiran Rasulullah s.a.w. begitu telus dan terbuka.

Amalan syura ini bukan sahaja dipraktikkan dalam konteks pemerintahan biasa, malah dalam peperangan Rasulullah s.a.w. juga. Contoh yang ketara dalam hal ini ialah ketika menentukan kedudukan tentera Islam dalam menghadapi serangan musuh dalam peperangan Badar, Uhud dan Khandak. Dalam merancang strategi peperangan ini, Baginda berbincang dengan para Sahabat dan menerima pandangan Sahabat tentang kedudukan yang paling baik bagi tentera Islam.

Rujukan Web
Anda boleh dapatkan maklumat lanjut mengenai peperangan yang diketuai oleh Nabi Muhammad s.a.w. melalui laman web berikut:

1. http://ms.wikipedia.org/wiki/Perang_Uhud

2. http://id.wikipedia.org/wiki/Pertempuran_Badr

3. http://ms.wikipedia.org/wiki/Perang_Ahzab

 

Dalam aspek undang-undang, Rasulullah s.a.w. juga melaksanakan sepenuhnya sistem perundangan seperti yang dikehendaki oleh al-Qur’an baik dalam aspek jenayah mahupun dalam aspek mal (sivil). Perundangan Islam yang terbahagi kepada tiga bahagian iaitu hudud, qisas dan ta’zir berteraskan keadilan dan kesaksamaan tanpa mengira perbezaan darjat, status sosial, ekonomi, bangsa dan sebagainya. Orang yang bersalah tetap bersalah dan dikenakan hukuman yang setimpal sekalipun dia golongan bangsawan dan begitu juga sebaliknya.
 

Bacaan
Sebagai contoh, pernah berlaku satu peristiwa apabila seorang wanita bangsawan Arab ditangkap kerana mencuri. Setelah dibicarakan dan sabit kesalahannya, maka hukuman telah dijatuhkan ke atas wanita tersebut. Namun memandangkan status kedudukannya yang tinggi, beberapa orang Sahabat meminta supaya wanita ini dikecualikan daripada hukuman tersebut. Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
 

Sesungguhnya telah binasalah umat sebelum kamu kerana apabila golongan bangsawan melakukan kesalahan dia dibebaskan dan apabila golongan bawahan melakukan kesalahan maka dia dikenakan hukuman. Demi Allah kalau Fatimah sekalipun yang mencuri, tangannya akan dipotong.

(HR. Bukhari dan Muslim)

 
Berdasarkan peristiwa di muka surat sebelah, apakah kesimpulan yang dapat anda fikirkan? Peristiwa ini menggambarkan bahawa aspek keadilan Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. merupakan keadilan sejagat dan sejati. Selain itu, proses perbicaraan dan hukuman juga dijalankan secara terbuka dan telus. Pihak plaintif diberikan hak untuk mengemukakan tuduhan dan pihak yang tertuduh diberikan hak untuk membela dirinya dan hukuman dijatuhkan berdasarkan bukti-bukti yang jelas daripada kedua-dua pihak.

 

Aktiviti 4.2
Soalan kepada aktiviti 4.2 Cadangan jawapan untuk aktiviti 4.2

 

 

 

 

 

Dalam bidang ekonomi, Rasulullah s.a.w. mematuhi sistem ekonomi yang diasaskan daripada al-Qur’an yang menekankan keadilan. Untuk menjamin keadilan dan memastikan agar kekayaan tidak dibolot oleh segolongan kecil ahli masyarakat sahaja, maka pelbagai institusi ekonomi diwujudkan oleh Islam. Antara institusi itu ialah institusi zakat, sedekah, baitul mal, waqf, pusaka, kharaj dan lain-lain. Melalui institusi-institusi ini, hak orang kaya dijamin  keselamatannya, manakala orang miskin pula dibela dan dibantu dengan sewajarnya. Sistem ekonomi Rasulullah s.a.w. menghapuskan amalan riba yang sebelum ini diguna pakai oleh orang Yahudi Madinah ke atas orang Arab.

Peringatan
Tahukah anda apakah itu riba? Jika anda melayari laman Wikipedia, anda akan beroleh jawapan seperti berikut: Riba ertinya al-ziyadah (tambahan). Dari segi bahasa, ia bermaksud tambahan atau kenaikan. Secara istilah, ia bermaksud penambahan nilai ke atas sesuatu pinjaman yang disyaratkan oleh pemberi pinjaman atau dijanjikan oleh penerima pinjaman manakala dalam pertukaran sesetengah barangan dan mata wang, ia bermaksud perbezaan nilai akibat kuantiti yang berbeza ataupun perbezaan waktu pertukaran.

 

Dalam aspek sosial pula, Rasulullah s.a.w. berusaha melaksanakan perintah al-Qur’an dari segi kehidupan sosial yang aman, makmur dan harmoni. Dengan itu, pelbagai institusi sosial diwujudkan seperti institusi persaudaraan dan kekeluargaan (munakahat), institusi masjid, kejiranan dan lain-lain. Langkah pertama Nabi Muhammad s.a.w. menjadikan masjid sebagai pusat segala urusan harian yang meliputi bidang sosial, ekonomi, pendidikan dan termasuk urusan pentadbiran dan pemerintahan negara adalah merupakan tindakan yang sangat besar kesannya kepada kebajikan negara. Hal ini kerana masjid sebagai rumah Allah s.w.t. bukan sahaja tempat untuk solat berjemaah, malah adalah institusi yang mendokong keadilan, kesamarataan, kebebasan dan ketelusan.

Di samping itu, Baginda juga mewujudkan beberapa jawatan dan antara jawatan yang diwujudkan ialah na’ibin atau nuwwab. Orang yang memegang jawatan ini bertindak sebagai timbalan kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan mengetuai pentadbiran negara ketika Baginda tiada di Madinah, sama ada untuk tujuan ketenteraan ataupun dakwah.

Keunggulan Rasulullah s.a.w. sebagai pemerintah bukan sahaja diakui oleh masyarakat Islam, malah oleh pengkaji sejarah daripada kalangan masyarakat bukan Islam. Sila baca beberapa petikan daripada tokoh-tokoh berikut mengenai Nabi Muhammad s.a.w.

Jules Masserman, seorang ahli dalam bidang ilmu psikologi dari Universiti Chicago, Amerika Syarikat dalam majalah Time edisi Julai 15, 1974, menegaskan:

“Pemimpin yang agung perlu melaksanakan tiga fungsi penting iaitu: memelihara kesejahteraan pengikut-pengikutnya, mewujudkan satu sistem sosial yang selamat dan terjamin serta menanamkan satu nilai kepercayaan yang dapat dijadikan panduan dan dikuti. Tokoh-tokoh terkenal seperti Pasteur dan Salk telah dapat memenuhi fungsi pertama, manakala Alexander, Caeser dan Hitler pula berjaya memenuhi fungsi kedua. Namun Muhammad telah berjaya memenuhi ketiga-tiga fungsi kerana itu beliau adalah pemimpin yang paling hebat dalam sejarah.”

 

Sumber: http://en.wikipedia.org/wiki/George_Bernard_Shaw#Works

 

George Bernard Shaw seorang penulis skrip drama berbangsa Irish yang mendapat hadiah Nobel Kesusteraan tahun 1925 dalam bukunya, The Genuine Islam menyatakan bahawa beliau amat menyanjungi ajaran yang dibawa oleh Muhammad kerana kehebatan dan potensi yang ada padanya. Beliau menegaskan:

“Ia adalah satu-satunya agama pada pandangan saya mempunyai kemampuan supaya disesuaikan dengan perubahan-perubahan yang sering berlaku dalam hidup, justeru menjadikannya menonjol pada setiap zaman. Saya telah mengkaji mengenainya iaitu lelaki yang hebat itu (Nabi Muhammad) dan pada pandangan saya beliau bukan anti Nabi Isa sebaliknya, beliau patut digelar sebagai Penyelamat bagi Manusia.””

Profesor Ramakrishna Rao, seorang ahli falsafah dari India dalam bukunya Islam and the Modern Age telah mengungkapan keunggulan Nabi Muhammad dengan kata-kata yang begitu menarik. Ujar beliau:

“Andai kata keunggulan seseorang terletak pada kemampuannya membersihkan masyarakat daripada keganasan dan kerendahan akhlak serta budi dan mengangkat mereka menjadi pemegang obor tamadun dan keilmuan maka Muhammad memang layak dikatakan unggul. Andai kata keunggulan terletak atas kemampuan mengikat tali persaudaraan yang kukuh dalam masyarakat yang dipenuhi persengketan dan peperangan maka beliau memang layak dikatakan unggul. Andai kata keunggulan terletak pada kejayaan merubah masyarakat jahiliah yang penuh kesesatan kepada suatu kepercayaan yang murni maka Muhammad berjaya melakukannya. Andai kata keunggulan ialah kemampuan mengalahkan musuh dan membina empayar yang besar seperti Maharaja Rom dan Parsi maka Muhammad tidak kurang hebat keempimpinannya dan kepahlawananya. Andai kata ketaataan dan penghormatan menjadi ukuran kepada keunggulan maka sebut saja nama Muhammad, jutaan manusia yang berjiwa akan hormat dan taat kepadanya.”

Jelas kini bahawa peranan Nabi Muhammad s.a.w. dalam pemerintahan dan pentadbiran negara meliputi pelbagai aspek. Nabi Muhammad s.a.w. telah melaksanakan amanah pemerintah dan pentadbir negara dengan penuh keadilan, kesamarataan, kebebasan dan ketelusan sehingga namanya tercatat sebagai manusia yang paling berjaya dalam pengurusan hal ehwal dunia dan akhirat.

 

Pemerintahan dan kepemimpinan Khulafa’ al-Rasyidin

Khulafa’ al-Rasyidin bermaksud para pengganti Rasulullah yang berada di atas jalan kebenaran. Mereka ialah pemerintah kerajaan Islam selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. Mereka terdiri daripada Abu Bakar al-Siddiq r.a., Umar bin al-Khattab r.a., Uthman bin ‘Affan r.a. dan Ali bin Abi Talib r.a. Oleh kerana mereka mewarisi kerajaan Islam yang diasaskan oleh Rasulullah s.a.w., mereka mempunyai tanggungjawab dan peranan yang besar untuk memastikan keadilan, kesamarataan, kebebasan dan ketelusan yang telah diasaskan oleh Baginda terus berkekalan dalam pemerintahan dan kepemimpinanan mereka.

Dengan kedudukan mereka yang hampir sama dengan Rasulullah s.a.w. dan sentiasa mendampingi Baginda semasa Baginda masih hidup, para Khulafa’ al-Rasyidin dapat memahami konsep dan falsafah pemerintahan Islam seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w. Dengan itu mereka dapat menghayati ajaran kepemimpinan Baginda dengan mudah.

Berikut merupakan sumbangan Khulafa’ al-Rasyidin semasa pemerintahan dan kepemimpinan mereka:

 

 

Aktiviti 4.3
Soalan kepada aktiviti 4.3 Cadangan jawapan untuk aktiviti 4.3

 

 

 

 

 

 

Rujukan Web
Sila layari laman web berikut untuk mengenali Khulafa Al-Rasyidin dengan lebih lanjut.


http://ms.wikipedia.org/wiki/Khulafa_al-Rasyidin