101 Pembinaan institusi keluarga

Pembinaan institusi keluarga

Dalam topik pembinaan institusi keluarga, anda perlu mengetahui konsep, falsafah, peranan dan tanggugjawab keluarga dalam konteks Islam. Pengetahuan ini penting untuk anda memahami institusi keluarga secara menyeluruh.

 

Konsep dan falsafah institusi keluarga
Keluarga merupakan institusi yang amat penting dalam masyarakat Islam. Ia merupakan unit kecil yang menjadi asas dalam pembentukan masyarakat. Keluarga memainkan peranan yang penting dalam membentuk peribadi individu yang baik. Dari situ akan lahir masyarakat yang berdisiplin dan akan tertegak negara yang cemerlang serta diredai Allah s.w.t. Keluarga lahir dari ikatan perkahwinan antara dua individu yang kemudiannya berkembang menjadi suatu institusi keluarga. Berikut merupakan tujuan perkahwinan menurut Islam:

 

Perkahwinan merupakan sunnah Rasulullah s.a.w. dan menurut pandangan Islam perkahwinan adalah ibadat. Pandangan ini amat berbeza sekali dengan fahaman dan pegangan agama-agama lain seperti Kristian, Buddha dan lain-lain yang melarang ketua-ketua agamanya berkahwin kerana mereka percaya perkahwinan bukan ibadat.

Islam menerima perkahwinan itu sebagai satu ibadat kerana:

1. Memberikan sumbangan kepada agama, pembangunan negara dan masyarakat.

2. Melaksanakan perintah Allah sebagai khalifah Allah di muka bumi.

3. Menunaikan amanah Allah iaitu mendidik anak-anak.

Dari segi falsafahnya, pembentukan institusi keluarga Islam adalah sangat penting atas dasar-dasar berikut:

1. Mengekalkan dan mengukuhkan kesinambungan generasi manusia

Institusi keluarga sangat penting untuk memastikan kewujudan manusia di bumi berterusan. Sabda Rasulullah s.a.w.:

Kahwinlah kamu perempuan-perempuan yang penyayang dan subur, sesungguhnya aku berbangga dengan umat yang ramai pada hari kiamat kelak.

(HR. Ahmad dan Ibnu Hibban)

Hasil daripada perkahwinan dan pembentukan keluarga, lahirlah anak-anak yang akan mengambil tugas ibu bapa mereka seterusnya. Proses ini akan berterusan dengan harmonis bagi menjamin kelangsungan hidup manusia di muka bumi.

 

2. Memelihara akhlak dan kesopanan serta kemuliaan manusia

Pembinaan institusi keluarga dapat mengawal individu dan masyarakat daripada terjebak dalam kancah kemaksiatan kerana dorongan nafsu. Setiap manusia dikurniakan nafsu syahwat oleh Allah s.w.t. Jika nafsu syahwat tidak dikawal dan disalurkan pada tempat yang sewajarnya, sudah pasti akan berlaku kerosakan akhlak dan meruntuhkan martabat manusia sebagai makhluk yang mulia. Justeru, perkahwinan adalah perlu agar nafsu syahwat dapat dikendalikan dengan cara yang betul dan menyumbang kepada pembinaan institusi keluarga yang kaya dengan nilai-nilai akhlak yang mulia.

 

3. Menjamin kesejahteraan rohani dan jasmani

Manusia adalah makhluk yang istimewa kerana mempunyai keperluan rohani dan jasmani. Dari segi jasmani, manusia dapat menikmati kesejahteraan dengan menjaga kesihatan tubuh badan melalui amalan pemakanan yang sihat. Namun dari aspek rohani, manusia perlukan kasih sayang, cinta dan perhatian. Maka dengan adanya institusi keluarga, aspek rohani dapat diisi dengan kasih sayang antara suami isteri dan anak-anak.

 

4. Menyemai semangat tolong-menolong, persaudaraan dan perpaduan

Institusi keluarga juga dapat mewujudkan semangat kekitaan sesama ahli keluarga. Perkahwinan yang terjalin akan mengeratkan hubungan silaturrahim suami-isteri dan tanggungjawab bersama. Malah seluruh ahli keluarga yang terdiri daripada anak-anak mentua kedua-dua belah pihak akan merasai satu persaudaran yang ikhlas sebagai satu keluarga. Perasaan kesatuan atas dasar kasih sayang dan pertalian darah akan membentuk perpaduan dalam keluarga.

 

Indahnya Islam yang mewujudkan institusi ini. Jika dibandingkan dengan institusi negara Barat, mereka menentang institusi kekeluargaan dengan alasan hak asasi manusia dan kebebasan. Isteri bebas melakukan apa sahaja. Begitu juga anak mereka dengan dunia mereka sendiri tanpa kongkongan. Sebab itulah aktiviti seks bebas melata di bumi mereka. Wanita-wanita bebas tidur bersama sesiapa sahaja lelaki yang diingininya sehingga tidak diketahui siapa bapa dan ibu kepada anak yang dilahirkannya.

 

Aktiviti 3.4
Soalan kepada aktiviti 3.4 Cadangan jawapan untuk aktiviti 3.4

 

 

Comments are closed.