161 Pembangunan dan alam sekitar

Pembangunan dan alam sekitar

Pembangunan seperti yang berlaku pada hari ini sering kali dikaitkan dengan kemusnahan alam sekitar. Apabila sesuatu kawasan hendak dibangunkan sama ada untuk pertanian, perindustrian, perniagaan, penempatan dan lain-lain, maka alam sekitar yang sedia ada terpaksa dikorbankan. Dengan itu kita dapati walaupun dari segi fizikal manusia membangun, namun kualiti hidup mereka semakin merosot. Justeru, wujudlah pembangunan yang tidak seimbang dan tidak mampan. Kita akan membincangkan konsep pembangunan dalam Islam dan melihat sejauh manakah kesesuaiannya dengan penjagaan alam sekitar bagi mewujudkan suasana kemajuan yang seimbang dan mampan.

 

Islam dan pembangunan

Islam melihat pembangunan sebagai satu usaha untuk meningkatkan taraf kehidupan manusia secara syumul, sama seperti tabii kejadian manusia dan matlamat serta tugas hidup mereka. Dari segi tabiinya, manusia terdiri daripada dua unsur utama iaitu unsur rohani dan jasmani. Manakala dari segi tugas dan persekitaran hidupnya, manusia bertugas sebagai khalifah Allah di alam ini dan hidup dalam lingkungan alam sekitar yang diciptakan oleh Allah s.w.t. Hal ini bermakna konsep pembangunan dalam Islam ialah konsep pembangunan yang lengkap dan syumul dengan mengambil kira keperluan dan kepentingan semua unsur yang membentuk tabii manusia iaitu rohani dan jasmani dan juga pembangunan yang berkaitan dengan perlaksanaan tugas dan persekitaran hidup mereka sebagai khalifah dan hamba Allah.

Pembangunan yang paling penting menurut Islam ialah pembangunan rohani atau pembangunan jiwa atau hati. Hati manusia sebenarnya merupakan komponen terpenting dalam diri manusia. Hal ini kerana hati merupakan tuan rumah bagi keimanan seperti firman Allah s.w.t. yang bemaksud:

Dialah (Allah s.w.t.) yang menurunkan ketenangan dalam hati orang yang beriman supaya bertambah keimanan mereka.

(Surah al-Fath: 4)

 
Justeru, dalam menjelaskan hakikat iman itu, Rasulullah s.a.w. bersabda antara lainnya iman itu ialah apa yang teguh tertanam dalam hati, dibenarkan melalui lidah dan dizahirkan dalam amalan. Jelasnya asal iman ialah penerimaan hati dan di situlah ia berakar umbi. Hati manusia jugalah sebenarnya yang menentukan baik buruk seseorang manusia. Rasulullah s.a.w. dalam satu hadis yang sangat popular menyebutkan bahawa jika baik hati maka baiklah seluruh jasad manusia itu dan jika rosak hati maka rosaklah seluruh jasad manusia itu.

Menurut Imam al-Ghazali, hati merupakan raja dalam sistem manusia itu dan lain-lain unsur hanyalah pegawai, tentera atau rakyat jelata sahaja. Hal ini bermakna konsep pembangunan holistik dalam Islam mestilah bermula daripada pembangunan hati atau pembersihan jiwa yang juga dikenali sebagai tazkiyat al-nafs.

Hati dan jiwa manusia yang terasuh ini akan seterusnya mempengaruhi kecerdasan akal yang baik dan sejahtera. Akal yang sejahtera bererti akal yang mampu memahami hakikat kebenaran, kebesaran dan kekuasaan Allah s.w.t. dan seterusnya membantu manusia ke arah melaksanakan perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya dalam semua aspek dan dimensi kehidupannya, sama ada dalam hubungannya dengan Allah mahupun hubungannya dengan manusia lain dan alam sekitar seluruhnya. Hati yang terasuh, nafsu yang terdidik dan akal yang terbimbing ini akan membolehkan manusia memahami peranan dan amanah yang dipikulnya sebagai hamba dan khalifah Allah s.w.t. untuk menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran dan memelihara alam ciptaan Allah.

 

Pembangunan Islam dan alam sekitar

Setelah kita memahami konsep pembangunan dalam Islam ialah konsep yang syumul, maka kita akan dapat memahami dengan mudah bahawa pembangunan yang dikehendaki oleh Islam mestilah pembangunan yang mengambil kira keselamatan dan kesejahteraan alam sekitar. Islam menolak konsep pembangunan yang tempang iaitu pembangunan yang hanya menekankan aspek fizikal dan material sahaja, tetapi pada masa yang sama merosakkan aspek kerohanian dan alam sekitar.

Gambaran keseimbangan dan kesyumulan pembangunan Islam dalam hubungannya dengan alam sekitar boleh dilihat dalam beberapa ayat Allah s.w.t.

Antaranya, Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

… dan usahakanlah (untuk mendapatkan) apa yang Allah berikan kepada kamu daripada (anugerah) pada hari akhirat dan jangan kamu lupa habuan kamu di atas dunia, dan berbuat baiklah seperti mana Allah berbuat baik kepada kamu dan jangan kamu melakukan kemusnahan, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang melakukan kemusnahan.

(Surah al-Qasas: 77)

 
Ayat ini jelas sekali menunjukkan bahawa Allah s.w.t. mengingatkan manusia supaya berbuat baik kepada semua makhluk termasuk alam sekitar seperti Allah s.w.t. berbuat baik kepada mereka. Hal ini bererti dalam usaha manusia membina kemajuan dan pembangunan, mereka mesti memelihara alam sekitar sama ada dalam bentuk flora mahupun fauna sama seperti kebaikan yang Allah s.w.t. berikan. Jika Allah s.w.t. mencipta alam sekitar dengan penuh keindahan dan keseimbangan, maka manusia juga berkewajipan menjaga keindahan dan keseimbangan alam sekitar seperti mana yang diciptakan Allah s.w.t. pada asalnya.

Selain itu, penciptaan alam sekitar di sekeliling manusia adalah bertujuan untuk memudahkan dan dapat dimanfaatkan oleh manusia. Hal ini seperti yang difirmankan oleh Allah s.w.t. yang bermaksud:

Dialah (Allah) yang telah menciptakan bagi kamu sekalian yang ada di bumi ini semuanya.

(Surah al-Baqarah: 29)

 
Hal ini bermakna alam sekitar ini diciptakan oleh Allah s.w.t. untuk dimanfaatkan oleh semua manusia dalam semua generasi. Jika manusia pada generasi sekarang telah melakukan kemusnahan terhadap alam sekitar untuk membangun, bermakna generasi akan datang dan seterusnya tidak lagi dapat mewarisi alam sekitar pada masa hadapan untuk dimanfaatkan. Keadaan ini sama sekali bercanggah dengan kehendak Allah s.w.t.

 

Aktiviti 5.13
Soalan kepada aktiviti 5.13 Cadangan jawapan untuk aktiviti 5.13

 

 

 

 

 

Dengan itu, jika anda ditakdirkan menjadi perancang pembangunan pada masa hadapan, maka dalam perancangan yang anda lakukan, anda mestilah mengambil kira konsep pembangunan yang seimbang dan mampan dengan memastikan kepentingan dan kelangsungan alam sekitar.

Alam sekitar yang diciptakan Allah s.w.t. mempunyai beberapa fungsi. Antaranya:

1. Sebagai ayatullah atau tanda-tanda kebesaran Alllah s.w.t.

2. Sebagai buku ilmu, yang sentiasa bersedia untuk dikaji dan digali rahsia khazanah ilmu Allah s.w.t. yang tidak habis-habis

3. Sebagai hadiah daripada Allah s.w.t. kepada makhluk-Nya untuk dimanfaatkan demi kesenangan hidup di dunia ini.

 
Sebagai khalifah Allah, anda mesti memastikan kesemua fungsi ini dapat dilaksanakan dengan baik dan berjaya. Sesungguhnya, bagi orang yang pandai berfikir dan dapat merenung dengan mata hati yang jernih, maka tidak ada lagi keraguan kepadanya bahawa keprihatinan kepada penjagaan alam sekitar adalah manifestasi daripada iman yang teguh serta pemahaman yang mendalam tentang ajaran Islam. Malah, ia adalah sebahagian daripada apa yang disebut oleh Rasulullah s.a.w. sebagai akhlak yang mulia (makarimul akhlak).

Comments are closed.