157 Matlamat ajaran Islam (Maqasid al-Shari’ah)

Matlamat ajaran Islam (Maqasid al-Shari’ah)

Matlamat utama pelaksanaan ajaran Islam ialah untuk mengatur hidup manusia atas asas makruf dan mengenepikan mungkar. Istilah makruf bererti segala nilai luhur dan sifat baik yang selalunya diterima oleh naluri manusia sebagai baik. Manakala mungkar pula membawa erti segala macam dosa dan kejahatan yang selalunya dikecam oleh naluri manusia sebagai jahat.

Pada prinsipnya perlaksanaan syariah dan ajaran Islam keseluruhannya bertujuan untuk menyelamatkan dan memelihara kemaslahatan kehidupan manusia dan mengelakkan segala keburukan. Menurut Islam, keperluan kemaslahatan manusia boleh dibahagikan kepada tiga peringkat utama iaitu daruriyyah, hajiyyah dan tahsiniyyah.

 

Keperluan daruriyyah

Al-Imam al-Syatibi menerangkan keperluan daruriyyah ialah keperluan asas bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan manusia di dunia dan di akhirat. Apabila keperluan daruriyyah tidak wujud, maka rosaklah sistem hidup manusia dan ia boleh membawa kehancuran, sama ada pada peringkat individu ataupun negara. Keperluan asas daruriyyah ini boleh dibahagikan kepada lima perkara yang menjadi teras kehidupan manusia iaitu agama, jiwa, akal, keturunan (nasab) dan harta.

 

1. Keperluan agama

Agama Islam mengajarkan manusia asas-asas dalam kehidupan mereka. Islam menjadikan manusia sebagai makhluk yang paling mulia daripada makhluk ciptaan Allah s.w.t. yang lain-lain. Perbezaan utama antara manusia dengan ciptaan Allah s.w.t. yang lain-lain ialah manusia diperintahkan untuk beriman dan melaksanakan ajaran Islam dalam semua aspek kehidupan mereka.

Bagi memastikan manusia tetap kekal sebagai makhluk yang paling mulia di sisi Allah, agama Islam mestilah menjadi pegangan yang utama bagi manusia.

Untuk itu, Islam memerintahkan manusia mengamalkan akidah yang betul supaya perjalanan hidup mereka akan menjadi lebih teratur dan sempurna. Allah s.w.t. melaknati mereka yang membawa kerosakan kepada agama seperti penyebaran agama sesat, murtad dan sebagainya.

 

2. Keperluan akal

Kita semua tentu tahu bahawa akal adalah asas bagi manusia. Akal juga adalah ukuran perbezaan antara manusia dengan makhluk ciptaan Allah yang lain. Tanpa akal, manusia tidak mempunyai apa-apa. Pernahkah anda terfikir bahawa haiwan, sekalipun tiada berakal, dianugerahkan oleh Allah s.w.t. dengan keistimewaan yang lain. Ada haiwan yang boleh terbang di udara, ada yang boleh menyelam di air, ada yang sangat besar dan gagah fizikalnya, ada yang sangat pantas pergerakannya dan keistimewaan yang lain-lain lagi. Kesemua keistimewaan ini tiada pada manusia.

Tanpa akal, manusia akan menjadi lebih rendah dan lebih lemah kedudukannya kerana manusia tidak ada apa-apa keistimewaan dan kekuatan. Justeru, pentingnya kedudukan akal, maka Islam memerintahkan manusia supaya sentiasa memelihara kesihatan akal dan berusaha mengembangkan potensi akal dengan cara berfikir tentang ciptaan dan kebesaran Allah s.w.t., membaca, menuntut ilmu dan sebagainya. Seterusnya, untuk mengelak akal daripada dirosakkan, maka Islam mengenakan hukuman keras ke atas kesalahan yang melibatkan keselamatan akal fikiran seperti minum arak, mengambil dadah dan sebagainya.

 

3. Keperluan jiwa (Nyawa dan tubuh badan)

Kita semua tentu sayangkan jiwa atau nyawa. Kenapa kita sayangkan nyawa? Jawabnya kerana kita tahu, pada adatnya tanpa nyawa kita akan mati. Begitu juga kita tahu bahawa tubuh badan kita sangat mustahak kerana tanpa tubuh badan yang sihat, nyawa kita juga boleh terancam. Islam juga menganggap bahawa jiwa atau nyawa dan tubuh badan itu satu keperluan asasi fitrah manusia.

Nyawa dan tubuh fizikal manusia sangat penting kerana tujuan utama Allah s.w.t. menjadikan manusia itu adalah untuk beribadat kepada-Nya. Oleh itu Allah memerintahkan manusia supaya sentiasa menjaga kesihatan jiwa dan tubuh fizikal, memerintahkan manusia makan dan minum daripada makanan dan minuman yang halal dan baik dan mengelakkan dari sebarang perkara yang boleh memberi kesan buruk kepada tubuh badan dan jiwa mereka. Untuk mengelakkan dari berlakunya kerosakan ke atas jiwa dan tubuh badan, maka Islam melarang keras sebarang kesalahan yang melibatkan kehilangan nyawa dan kerosakan tubuh badan seperti membunuh (termasuk membunuh diri), mencederakan, memakan makanan yang kotor dan bernajis dan sebagainya.

 

4. Keperluan keturunan (Maruah)

Islam sangat mementingkan institusi kekeluargaan yang aman dan harmoni. Hal ini kerana sesebuah masyarakat tidak mungkin menjadi masyarakat yang baik dan berjaya jika institusi kekeluargaan yang membentuk masyarakat berada dalam keadaan yang tidak terurus. Islam menganggap institusi keturunan merupakan satu keperluan asas fitrah manusia. Institusi keturunan dan kekeluargaan itu sebenarnya merupakan pendinding kepada satu lagi keperluan penting manusia dalam kehidupannya iaitu maruah.

Tahukah anda apakah maksud maruah? Maruah berasal daripada bahasa Arab iaitu maru’ah yang secara umumnya boleh diertikan sebagai harga diri. Harga diri merupakan satu perkara asas bagi manusia. Ia memberi imej tentang tahap kedudukan manusia dari segi status akhlak dan integritinya menurut Islam. Tiada nilai bagi seseorang manusia yang tiada harga diri dan maruah. Justeru, pentingnya unsur ini dalam kehidupan manusia, maka Islam mengajarkan manusia beberapa perkara untuk memelihara keperluan keturunan dan maruah. Antaranya ialah sistem perkahwinan yang teratur, hubungan kekeluargaan yang harmoni dan sistem perhubungan berlainan jenis yang terhormat. Seterusnya, untuk mengelakkan dari berlakunya kerosakan terhadap keperluan asas ini, maka Islam melarang dan mengenakan hukuman yang keras bagi kesalahan seperti perzinaan, jenayah rogol dan sebagainya.

 

5. Keperluan harta

Tentu anda bersetuju bahawa harta juga merupakan keperluan asas manusia. Harta yang dimaksudkan ini ialah sekadar keperluan asas manusia, bukanlah harta kekayaan yang bertimbun-timbun sehingga melampaui batas. Apa yang dimaksudkan dengan harta ialah keperluan daruri bagi manusia ialah harta sekadar memenuhi keperluan asas mereka seperti rumah yang sempurna, makanan yang halal, pakaian yang menutupi aurat dan pendidikan asas.

Islam memerintahkan manusia supaya bekerja bagi mencari rezeki dengan cara yang halal. Untuk mengelak kerosakan terhadap keperluan ini, Islam melarang dan mengenakan hukuman yang keras terhadap kesalahan seperti mencuri, merompak, penipuan dan sebagainya.

Renungan

Dalam pengalaman hidup anda seharian, anda tentu pernah bertemu dengan seseorang yang hidup dengan penuh bahagia dan harmoni tanpa memiliki kekayaan yang banyak atau individu yang kaya-raya tetapi kehidupannya amat sengsara dan menderita. Mengapa semua ini berlaku? Di sinilah kita akan memahami peri pentingnya kesederhanaan dan keberkatan dalam kehidupan seseorang.

 
 

Aktiviti 5.8
Soalan kepada aktiviti 5.8 Cadangan jawapan untuk aktiviti 5.8

 

 

 

 

 

Keperluan hajiyyah

Keperluan hajiyyah ialah keperluan yang penting bagi manusia untuk menjamin kelapangan hidup mereka, sekaligus menghilangkan kesempitan yang biasanya membawa kesusahan dan kesukaran. Apabila maqasid ini tidak diambil kira, maka banyak kesukaran akan dihadapi oleh manusia walaupun tidak ke tahap kehancuran sistem kehidupan manusia seperti dalam keperluan daruri. Imam al-Syatibi menyebut beberapa contoh maqasid hajiyah yang terdapat dalam ibadat, muamalat dan jenayah. Antara contoh-contoh tersebut ialah rukhsah bagi orang yang sakit dan musafir dalam ibadat, jual beli saham, memberi modal dan mengairi tanaman dalam muamalat, manakala dalam jenayah pula ialah sumpah, diat (denda) ke atas orang yang baligh dan jaminan ke atas harta.

 

Keperluan tahsiniyyah

Keperluan tahsiniyyah ialah keperluan manusia terhadap perkara-perkara yang dianggap terpuji dalam adat kehidupan dan pergaulan mereka seharian serta menjauhi suasana yang kurang baik yang dipandang rendah oleh akal yang sempurna dan matang. Pada keseluruhannya ia menyentuh peraturan akhlak dalam seluruh aspek pergaulan dan perhubungan termasuk perkara-perkara sunat. Antara contoh keperluan tahsiniyyah ialah melakukan amalan sunat dalam beribadat, menjaga adabadab makan, minum, berpakaian, musafir, percakapan dan lain-lain dalam bidang sosial, dan mengharamkan penipuan, sorok barang untuk mengaut keuntungan, menyembunyikan kecacatan barang yang dijual dan sebagainya dalam sistem ekonomi.

Inilah sebenarnya matlamat utama ajaran Islam secara ringkas. Kalau anda tinjau secara objektif dengan hati yang suci, anda akan dapati bahawa segala ajaran Islam dan hukum-hakam yang ditetapkan dalam apa juga bidang terarah kepada mencapai matlamat yang disebutkan. Ia bukan diwahyukan untuk menyusah dan menganggu kehidupan manusia, tetapi untuk menjamin kehidupan mereka supaya lebih harmoni dan sempurna. Dengan perbincangan ini diharapkan anda dapat memahami, menerima dan menghayati segala hukum-hakam yang ditetapkan oleh Allah s.w.t.

 

 

Aktiviti 5.9
Soalan kepada aktiviti 5.9 Cadangan jawapan untuk aktiviti 5.9

 

Comments are closed.