4 3.0 Kursus — Pengenalan ringkas

Mengenai kursus

WLA 104/03 Pengajian Islam adalah kursus 3 kredit yang ditawarkan pada peringkat program persediaan di WOU. Kursus ini hanya menjadi prasyarat untuk pelajar yang menyambung pelajaran di Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS). Ia dijalankan dalam satu semester sahaja.

Kursus ini disediakan bertujuan untuk melahirkan warganegara, khususnya siswazah yang faham tasawwur Islam sebagai satu cara hidup yang sepadu dan seimbang serta berupaya menghadapi pelbagai masalah dan cabaran. Selain itu, kursus ini juga diwujudkan bagi menimbulkan penghayatan Islam yang lebih baik dalam diri anda dan menyumbang secara positif kepada kemajuan negara. Secara umumnya kursus ini bertujuan untuk memperkenalkan Islam sebagai sebuah tamadun yang unggul kepada pelajar pelbagai kaum dan agama.

Kursus ini mengandungi lima unit. Dalam Unit 1, anda akan diperkenalkan kepada konsep-konsep Islam khususnya, pengertian Islam, iman dan ihsan serta asas Islam yang meliputi aqidah, ibadah akhlak dan syariah. Malah dalam unit ini juga diperkenalkan konsep jihad yang sebenarnya. Sementara itu, Unit 2 lebih menitikberatkan Islam sebagai peradaban dan tamadun. Antara lainnya, kursus ini akan memberi keutamaan konsep tamadun Islam serta keunikan dan keistimewaan tamadun Islam. Fokus utamanya kepada faktor kejayaan tamadun Islam dan sumbangan tamadun Islam dalam pelbagai bidang termasuk pencapaian seni Islam. Dalam Unit 3 pula, anda akan diperkenalkan kepada institusi islam yang terdiri daripada institusi ibadah, institusi keluarga, masyarakat dan pendidikan. Unit 4 pula akan memberi tumpuan kepada institusi pemerintahan, pentadbiran, perundangan, kehakiman, ekonomi serta kewangan. Unit 5 pula memfokuskan tasawwur Islam dan isu serta cabaran semasa dari kaca mata Islam.

Anda harus menelaah setiap unit untuk meningkatkan pengetahuan dalam ilmu agama Islam Setiap unit akan mengambil masa antara 3 hingga 4 minggu untuk disempurnakan dan kursus ini akan dilengkapkan dalam masa 18 minggu.

 

Ikon yang digunakan dalam bahan-bahan pengajaran (contoh):

Dalam bahan-bahan pengajaran, anda akan mengenali pelbagai jenis ikon aktiviti yang direka khas untuk melambangkan aktiviti-aktiviti yang anda perlu dihabiskan sebelum meneruskan pembelajaran seterusnya. Pengenalan ikon ini memberikan contoh penjelasan yang jelas bagi ikon-ikon yang terlingkup dalam bahan pengajaran anda. Penerangan penggunaan ikon-ikon ini diharap dapat memperkayakan pengalaman pembelajaran anda dengan lebih produktif.

 

Organisasi kursus

Unit Tajuk / Topik Minggu Corak Penilaian
(pada akhir unit)
1 Islam dan konsep-konsep asas 3 TMA 1 (20%)
2 Islam sebagai peradaban dan tamadun 3
3 Institusi Islam A — Ibadah, keluarga dan
pendidikan
4 TMA 2 (30%)
4 Institusi Islam B — Institusi pemerintahan
dan pentadbiran
4
5 Tasawwur Islam dan cabaran semasa 4
Jumlah 18 (50%)

 

Objektif

Pada akhir kursus ini, anda seharusnya dapat:

1. Menerangkan mengenai konsep-konsep asas Islam dengan tepat.

2. Menghuraikan Islam sebagai sebuah peradaban dan tamadun yang menyumbang pembangunan ummah.

3. Mengaplikasikan keupayaan Islam dalam menangani pelbagai cabaran yang dihadapi oleh masyarakat Malaysia.

 

Matlamat

Pengajian Islam adalah kursus tiga kredit yang direka bentuk untuk anda di IPTS sebagai prasyarat penganugerahan ijazah. Kursus ini dijalankan dalam satu semester sahaja.

Kursus ini bermatlamat untuk melahirkan lepasan ijazah yang memahami Islam sebagai cara hidup Islam yang syumul dan akhirnya dapat menyampaikan keupayaan Islam dalam menangani pelbagai cabaran yang dihadapi oleh masyarakat Malaysia secara lebih berkesan. Adalah diharapkan bahawa anda dapat menguasai asas-asas Islam serta memahami bahawa Islam adalah peradaban dan tamadun yang tinggi. Di samping itu, kursus ini sangat menekankan keperluan anda memahami tasawwur Islam dan cabaran semasa secara ilmiah agar mendapat gambaran yang jelas dan tepat tentang Islam.

 

Penilaian kursus

Kursus ini direka bentuk bertujuan untuk membantu anda memahami dengan lebih mudah modul yang disediakan melalui pembelajaran secara pembacaan menyeluruh, penilaian kendiri, latihan berterusan dan penulisan tugasan untuk menghadapi peperiksaan akhir. Dalam penilaian ini, diharapkan supaya anda dapat:

1. Menghuraikan secara menyeluruh konsep pembelajaran yang dipelajari.

2. Menghuraikan secara menyeluruh konsep pembelajaran dan pengetahuan berdasarkan pengalaman dan pemerhatian sendiri.

3. Mengaplikasikan konsep pengajaran dan pembelajaran berserta pengetahuan sedia ada untuk menyelesaikan persoalan-persoalan yang dihadapi.

Kerja kursus dan peperiksaan ini bertujuan untuk menguji dan menilai tahap pencapaian anda. Untuk melengkapkan kursus ini dengan jayanya, anda dikehendaki untuk lulus kedua-dua bahagian iaitu penilaian berterusan seperti kerja kursus (TMA) dan peperiksaan akhir.

 

Kerja kursus

Anda dikehendaki melengkapkan dua kerja kursus dalam WLA 104/03 iaitu:

• Kerja Kursus 1– (20%)

• Kerja Kursus 2– (30%)

 

 

Penyampaian kursus

 

Buku rujukan utama

1. Abu al-Ala Al-Maududi (1981) Towards Understanding  Islam, Singapore: Pustaka National.

2. Yusuf Al-Qaradawi (1994) Kebangkitan  Islam  di  antara Tentangan  dan  Ekstrimisme, Angkatan Belia Islam Malaysia.

3. Beg, MAJ (1980) The Images of Islam Cilization, Kuala Lumpur: University of Malaysia Press.

4. Haron Din (2002) Manusia dan Islam, 3 Jilid, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

5. Shaharir Mohamad Zain (ed) (1995) Pengenalan Tamadun Dalam Sains dan  Teknologi, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Pustaka.

6. Sulaiman Nordin (1995) Islam, Al-Qur’an dan Ideologi Masa Kini, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

7. Syed Mohamad Dawilah al-Edrus (1993) Epistemologi Islam, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

8. Haron Din (1992) Tasawwur Islam, Shah Alam: Hizbi.

9. Mohd Yusuf Ahmad (2003) Pengajian  Islam, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.

10. Sayyed Hossein Nasr (1984) Science Civilization in Islam, Shah Alam: Dewan Pustaka Fajar.

 

Buku rujukan tambahan

1. Othman Yatim (1989) Warisan Kesenian Dalam Tamadun  Islam, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

2. Muhammad Qutb (1995) Salah Faham Terhadap Islam (terj. Yusoff Zaki), Kota Bharu: Dian.

3. Sayyid Qutb (2000) Sosial Justice in Islam (tr) Hardie J B, (New edition and Intro. by Hamid Algar) Islamic Publication International.

4. Ziauddin Sardar (1981) Sains, Teknologi dan Pembangunan di Dunia Islam (terj.), Kuala Lumpur: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.

5. Toynbee, AJ (1987) A  Study  of History (abridged), London: Oxford University Press.

6. Abd al-Rahman Ibn Khaldun (1995) Muqaddimah (terj.), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

 

Bahan-bahan kursus dan sokongan pembelajaran

Bahan kursus yang disediakan oleh WOU adalah kaedah utama yang memberi peluang kepada anda untuk belajar sendiri. Kandungan bahan kursus terdiri daripada:

• Unit bagi setiap isi kandungan pelajaran. [Ditulis oleh penulis yang berkelayakan].

• Penilaian kendiri dan aktiviti yang relevan.

• Arahan untuk ketiga-tiga kerja kursus yang dimuatkan dalam WawasanLearn.

• Spesimen soalan peperiksaan yang dimuatkan dalam WawasanLearn.

• Bahan-bahan lain yang berkaitan sama ada bahan bercetak atau bahan media.

Selain daripada WawasanLearn dan sesi tutorial yang dinyatakan sebelum ini, WOU mengambil berat akan keperluan dalam menyokong pembelajaran sepanjang jangka masa kursus anda. Pusat Pembelajaran Wilayah akan dilengkapi dengan pelbagai jenis kemudahan serta mempunyai kakitangan yang sedia membantu untuk menyelesaikan sebarang pertanyaan. Pengurus Pusat Pembelajaran Wilayah (ROM) dan tutor turut akan membantu jika anda menghadapi sebarang masalah. Sekiranya perlu, Pusat Pembelajaran Wilayah boleh membantu anda dalam menghubungi pihak-pihak yang berkenaan dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi. Pusat Pembelajaran Wilayah mempunyai akses kepada kampus WOU di Pulau Pinang dan boleh berhubung dengan Penyelaras Kursus sekiranya perlu.

 

Sistem pengurusan pembelajaran

Kursus ini disokong oleh Sistem Pengurusan Pembelajaran atau Learning  Management  System (LMS) iaitu WawasanLearn. Anda dapat mencari bahan kursus dan mendapat informasi kursus terkini melalui WawasanLearn. Melalui WawasanLearn juga, anda boleh berkomunikasi dengan tutor anda, Penyelaras Kursus serta pelajar-pelajar lain.

 

Kumpulan sokongan

Panduan mengenai penganjuran mesyuarat tidak formal di kalangan pelajar dalam kursus yang sama dinyatakan di dalam Buku Panduan Pelajar (Student Handbook). Kami ingin menekankan kebaikan yang dapat dimanfaatkan dari akitiviti sebegini. Aktiviti sebegini adalah tanpa sebarang paksaan tetapi adalah salah satu cara bagi anda untuk membantu sesama sendiri.

 

Sokongan online

1. http://www.faziliaton.com/iqra’/buku7/contents.php

2. http://www.islam.gov.my/portal/

 

 

Comments are closed.