122 Konsep serta prinsip pemerintahan dan pentadbiran Islam

Konsep serta prinsip pemerintahan dan pentadbiran Islam

Dalam konteks Islam, topik tentang pemerintahan dan kepemimpinan yang dikenali dengan istilah Ulil al-Amr berteraskan kepada konsep khilafah.

Berdasarkan kepada konsep khilafah ini, Islam menolak sama sekali konsep pemerintahan autokratik dan teokraksi. Dalam sistem pemerintahan autokratik, pemerintah mempunyai kuasa mutlak dan mengatasi segala undang-undang dan peraturan. Sebagai contoh, bekas pemimpin Iran, Shah Mohammad Reza adalah seorang pemerintah kuku besi dan rakyat Iran membencinya.

 

Rujukan Web
Sila rujuk laman web berikut untuk pengetahuan lebih lanjut mengenai sejarah Iran.

http://ms.wikipedia.org/wiki/Sejarah_Iran

 

Manakala dalam sistem teokraksi pula, pemerintah dianggap orang pilihan Tuhan yang sentiasa mendapat amanat langsung daripada Tuhan. Dengan itu, mengikut sistem ini, pemerintah tidak mungkin melakukan kesilapan dalam pemerintahannya dan rakyat berkewajipan mentaati segala perintah secara mutlak tanpa sebarang keraguan. Sistem ini diguna oleh Jepun semasa pemerintahan kerajaan kuno terdahulu.

Islam menolak kedua-dua sistem pemerintahan ini kerana sistem tersebut terbukti membawa kepada kewujudan pemerintah yang bersifat diktator atau kuku besi. Dalam Islam walau setinggi mana sekalipun kedudukan pemerintah, ia sama sekali tidak dapat mengatasi undang-undang atau memiliki kuasa mutlak. Ia mesti tunduk dan patuh kepada undang-undang dan kekuasaannya hanya terbatas kepada bidang kuasa yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t.

Dalam Islam, antara gelaran yang diberikan kepada pemerintah tertinggi ialah imam (ketua negara). Dari segi praktisnya, kedudukan imam dalam konteks pemerintahan hampir sama dengan kedudukan imam dalam sembahyang berjemaah. Imam dalam sembahyang jemaah wajib diikuti oleh makmum. Jika tidak, sembahyang makmum tersebut terbatal. Namun ini tidak bermakna imam boleh bersembahyang mengikut sesuka hatinya. Dia mesti bersembahyang mengikut cara yang telah ditetapkan oleh syariah Islam. Jika dia terlupa atau terlalai, maka makmum wajib menegurnya. Jika imam tersebut tidak mengikuti teguran yang benar daripada makmum, maka makmum tersebut tidak lagi wajib mengikutinya. Begitu juga jika imam melakukan sesuatu yang membatalkan sembahyang, maka makmum tidak lagi boleh mengikutinya, dan orang lain pula perlu menggantikan imam tersebut.

Oleh itu, anda dapat lihat bahawa dalam konteks pemerintahan, kedudukan imam sembahyang ini turut menggambarkan kedudukan imam dalam pemerintahan. Dia wajib dihormati dan ditaati jika memerintah dengan benar dan adil. Namun begitu, harus diingat bahawa pemerintah tidak mempunyai kuasa mutlak sehingga tidak boleh ditegur jika melakukan kesalahan dan tidak boleh ditukar ganti jika melanggar hukum-hakam Allah s.w.t.

 

Aktiviti 4.1
Soalan kepada aktiviti 4.1 Cadangan jawapan untuk aktiviti 4.1