93 Konsep dan falsafah ibadat

Konsep dan falsafah ibadat

Dari segi bahasa, ‘ibadah, abdiyyah atau ‘ubudiyyah bererti taat, tunduk, patuh, merendah dan menyerah diri. Menurut ahli bahasa, ibadat dibezakan daripada perkara lain berdasarkan darjat ketundukan dan ketaatan sesesorang kepada Allah s.w.t. Oleh itu dari sudut istilah, ibadat ialah darjah ketaatan dan ketundukan yang tertinggi yang hanya boleh diberikan kepada zat yang tertinggi iaitu Allah s.w.t.

Menurut Ibn Taymiyyah (1263 – 1328M), ibadat ialah nama yang mencakupi semua perkara yang disukai dan diredai oleh Allah sama ada dalam bentuk perkataan serta perbuatan yang zahir dan batin.

Dalam hal ini, ibadat perlu dibezakan daripada ‘abdiyyah. ‘Abdiyyah sekadar tunduk, taat dan patuh di hadapan seseorang atau sesuatu. Sedangkan ‘ubudiyyah dan ‘ibadah menuntut ketaatan, kepatuhan yang dipenuhi rasa cinta, kesyukuran, kemuliaan dan pergantungan harapan yang tertinggi. Dengan itu, ‘abdiyyah boleh diberikan kepada makhluk tetapi ‘ibadah dan ‘ubudiyyah hanya untuk Allah s.w.t.

Muhammad Abduh (1849 – 1905M), seorang pakar Sejarah Islam mengatakan bahawa ibadat itu dibezakan dari ketundukan dan kepatuhan berdasarkan motifnya – jika motifnya ialah perkara dan tujuan zahir seperti kerajaan dan kekuasaan maka itu tidak dinamakan ibadah tetapi jika motifnya lahir dari keyakinan bahawa yang disembah itu ialah zat tertinggi dan teragung maka itu dinamakan ibadah.

 

Matlamat ibadat

Menurut Iman Syathibi (1388M), ibadat dalam Islam mempunyai beberapa matlamat yang jelas dan keutamaan yang tersendiri. Antara matlamat utama ibadat dalam Islam adalah seperti berikut:

 

1. Mengingati Allah s.w.t.

Ibadat dapat menjadikan seseorang itu tunduk dan ingat kepada Allah s.w.t. dengan ikhlas serta meletakkan dirinya sebagai hamba yang kerdil sesuai dengan firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Dirikanlah solat untuk mengingati-Ku.

(Surah Thaaha: 14)

 

Sesungguhnya solat itu mencegah kekejian dan kemungkaran dan mengingat Allah Maha Agung.

(Surah al-Ankabut: 45)

Malah Rasulullah s.a.w. sendiri bersabda:

Tidak lain diwajibkan solat, diperintahkan haji dan disyariatkannya pelbagai ibadat itu adalah untuk menegakkan sikap mengingat akan Allah Taala.

(HR. Abu Daud)

2. Bermunajat dengan Allah s.w.t.

Ibadat membolehkan anda berkomunikasi dengan Allah s.w.t. tanpa jurubicara dan jurubahasa. Hubungan yang akrab antara hamba dan Pencipta Alam Semesta amat indah sebagaimana yang diungkapkan oleh Nabi Muhammad s.a.w.:

Solat itu membahagi antara-Ku dan antara hamba-Ku dua bahagian dan bagi hamba-Ku apa yang dia pinta. Maka apabila hamba itu membaca: Allhamdulillah Rabbil Alamin; Allah s.w.t. menjawab: Hamba-Ku memuji-Ku. Apabila dia membaca Ar-Rahmanir Rahim, Allah menjawab: Hamba-Ku menyanjung-Ku. Apabila dia membaca: Maliki yuamiddin, Allah menjawab : Hamba-Ku memuliakan-Ku. Apabila dia membaca Iyyaka Na’budu Wa Iyyaka Nasta’inu, Allah menjawab: Ini antara-Ku dan hamba-Ku dan bagi hamba- Ku apa yang dia pinta. Apabila dia membaca: Ihdinash Sirathal Mustaaqim Shirathal Ladzina An amta Alaihim Ghairil Maghdhubi Alaihim Waladh dhallin, Allah menjawab: Ini untuk hamba-Ku dan bagi hamba-Ku apa yang dia pinta.

(HR. Muslim)

Begitulah bentuk ibadat langsung antara orang yang beribadat dengan Allah s.w.t. Anda tidak memerlukan orang tengah untuk memohon pertolongan jika anda menghadapi masalah dalam hidup. Kuasa ibadat dalam Islam ialah menghubungkan manusia terus kepada Allah Yang Maha Perkasa.

Subhanallah, indah sungguh hubungan luar biasa ini.

3. Daya pencegah perbuatan keji dan mungkar

Untuk makluman anda, ibadat adalah daya pencegah maksiat dan penghapus dosa yang amat mujarab untuk manusia. Hal ini kerana manusia tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan dan dosa. Maka ibadat seperti solat, puasa, haji dan perbuatan yang diredai Allah s.w.t. dapat menolong seseorang daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar. Malah Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

Bacalah apa yang diwahyukan kepada-Mu iaitu al-Kitab (al-Qur’an) dan dirikanlah solat. Sesungguh solat itu mencegah daripada perbuatan-perbuatan keji dan mungkar. Dan mengingat Allah (solat) adalah lebih besar (keutamaan) daripada ibadat-ibadat lain. Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.

(Surah al-Ankabut: 45)

Jadi, matlamat ibadat adalah untuk membantu manusia agar sentiasa terpelihara daripada dorongan dan hasutan yang jahat yang boleh menghancurkan kebahagiaan hidup manusia.

4. Agar hidup penuh ketenangan dan kesyukuran

Ibadat juga dapat membina kehidupan yang tenang, aman dan damai serta menjadi manusia sentiasa bersyukur kepada Allah s.w.t. Nabi s.a.w. bersabda:

Kami jadikan dia (solat) saat beristirahat, ya Bilal ‘.

(HR. Daraqutni dan Abu Daud)

 

Aku jadikan kesejukan mataku dalam solat.

(HR. Ahmad, Nasaee, Hakim dan Baihaqi)

Ibadat dalam Islam bukan hanya niat kerana Allah semata-mata tetapi mesti dibuktikan dengan pergerakan jasmani, tumpuan hati dan akal. Anda sendiri dapat lihat dalam ibadat solat, jasmani, hati dan akal mampu berfungsi secara serentak.

Sumber: http://ms.wikipedia.org/wiki/Kaabah

 

Aktiviti 3.1
Soalan kepada aktiviti 3.1 Cadangan jawapan untuk aktiviti 3.1

 

 

 

 

 

Peringatan
Benarlah pendapat yang mengatakan bahawa ibadat mencakupi semua perkara yang disukai dan diredai oleh Allah sama ada dalam bentuk perkataan, perbuatan yang zahir atau batin. Kalau begitu bagaimana dengan diri anda? Adakah anda telah membuat sesuatu supaya Allah sukakan anda?