139 Konsep asas ekonomi Islam

Konsep asas ekonomi Islam

Semua urusan ekonomi bagi umat Islam harus berteraskan syariah yang telah ditentukan bagi menjamin keselarasan dari semua aspek.

1. Ekonomi Islam pada dasarnya menekankan Allah s.w.t. sebagai Penguasa yang mencipta alam ini. Konsep Rububiyyah yang menekankan sifat Allah s.w.t. sebagai Penguasa yang membuat peraturan bertujuan menjaga dan menampung kehidupan makhluk demi kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

2. Dalam ekonomi Islam, terdapat konsep tazkiyah untuk membentuk kesucian jiwa dan ketinggian akhlak melalui pembersihan harta dengan mengeluarkan zakat dan bersedekah. ‘Pembersihan jiwa’ juga dapat dibentuk dengan
mengikis sifat bakhil dan kedekut serta tamak haloba.

3. Pembersihan, interaksi dan kemanusiaan dapat diwujudkan dengan peluang-peluang sama rata dalam aktiviti ekonomi atas jalinan silaturahim tanpa ada unsur-unsur pilih kasih ataupun kerana darjat. Keseluruhan konsep ini menjadi natijah kepada perlaksanaan konsep rububiyyah.

4. Segala aktiviti ekonomi di dunia perlu dilihat dari segi ‘nilai kini bagi natijah pada-hari akhirat’. Oleh sebab itu, hidup di dunia ini berupa satu ujian untuk menentukan siapa yang terbaik amalannya, kerana manusia bertanggungjawab kepada Allah s.w.t. dan kejayaannya pada hari akhirat nanti bergantung kepada prestasinya di dunia.

5. Tatacara perhubungan sesama manusia adalah atas unsur persaudaraan dan kesamaan. Ini akan mendorong kepada nilai-nilai murni dan memupuk keamanan sejagat. Harta kepunyaan manusia bukanlah bersifat mutlak, bahkan ia menjadi ujian dan amanah Allah s.w.t. Kesedaran pemilikan secara ini akan menjadikan manusia menguruskan pemilikannya ke arah yang diredai Allah s.w.t.

Comments are closed.