27 Keperluan daruriyyah

Keperluan daruriyyah

Al-Imam al-Syatibi menerangkan bahawa keperluan daruriyyah ialah keperluan asas bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan manusia di dunia dan di akhirat. Apabila keperluan daruriyyah ini tidak wujud, maka rosaklah nizam atau sistem hidup manusia dan ia boleh membawa kehancuran, sama ada pada peringkat individu ataupun pada negara. Keperluan asas daruriyyah ini boleh dibahagikan kepada lima perkara yang menjadi teras kehidupan manusia iaitu agama, jiwa, akal, keturunan (maruah) dan harta.

 

Sekarang mari kita melihat bersama-sama bagaimana Islam melihat kedudukan kelima-lima perkara tersebut.

1. Agama

Agama Islam mengajarkan bahawa agama iaitu Islam adalah sesuatu yang sangat asasi dalam kehidupan manusia. Islamlah yang menjadikan manusia itu sebagai makhluk yang paling mulia daripada sekalian makhluk ciptaan Allah. Haiwan juga merupakan makhluk ciptaan Allah. Perbezaan utama antara kedua-duanya ialah haiwan tidak dianugerahkan dengan kewajipan perlaksanaan ajaran Islam manakala manusia diperintahkan untuk beriman dan melaksanakan ajaran Islam dalam kehidupan mereka. Bagi memastikan manusia tetap kekal dengan status kemanusiaannya sebagai makhluk yang paling mulia di sisi Islam, maka Islam mengajarkan bahawa agama Islam itu merupakan satu keperluan asas yang utama bagi manusia.

 

2. Akal

Kita semua tentu tahu bahawa akal adalah asas bagi manusia. Akal juga menjadi titik perbezaan antara manusia dari makhluk ciptaan Allah yang lain. Tanpa akal, manusia akan menjadi lebih rendah kedudukannya dan lebih lemah kerana manusia tidak ada apa-apa lagi keistimewaan dan kekuatan. Kerana pentingnya kedudukan akal itu, maka Islam memerintahkan manusia supaya sentiasa memelihara kesihatan akal dan berusaha mengembangkan potensi akal dengan cara berfikir tentang ciptaan dan kebesaran Allah, membaca, menuntut ilmu dan sebagainya yang boleh memelihara dan menyihatkan akal fikiran manusia. Seterusnya, untuk mengelakkan dari akal ini dirosakkan, maka Islam mengenakan hukuman keras ke atas kesalahan yang melibatkan keselamatan akal fikiran seperti minum arak, mengambil dadah dan sebagainya.

 

3. Jiwa (Nyawa dan tubuh badan)

Kita semua tentu sayangkan jiwa atau nyawa. Kenapa kita sayangkan nyawa? Jawabnya kerana kita tahu, pada adatnya tanpa nyawa kita akan mati. Oleh sebab pentingnya nyawa dan tubuh fizikal manusia itu, maka Islam memerintahkan manusia supaya sentiasa menjaga kesihatan jiwa dan tubuh fizikal mereka. Antaranya ialah dengan memerintahkan manusia makan dan minum daripada makanan dan minuman yang halal dan baik dan mengelak daripada sebarang perkara yang boleh memberi kesan buruk terhadap tubuh badan dan jiwa mereka. Bagi mengelak berlakunya kerosakan ke atas jiwa dan tubuh badan ini, maka Islam melarang keras sebarang kesalahan yang melibatkan kehilangan nyawa dan kerosakan tubuh badan seperti membunuh (termasuk membunuh diri), mencederakan, makan makanan yang kotor dan bernajis, dan sebagainya.

 

4. Keturunan (Maruah)

Islam sangat mementingkan institusi kekeluargaan yang aman dan harmoni. Tidak akan lahirnya seorang individu yang mempunyai unsur rohani dan emosi yang seimbang dan bermanfaat untuk masyarakat, jika institusi keluarga dari mana dia dilahirkan berada dalam keadaan kucar-kacir. Oleh itu, Islam menganggap institusi keturunan merupakan satu keperluan asas fitrah manusia. Institusi keturunan dan kekeluargaan itu sendiri sebenarnya merupakan pendinding kepada satu lagi keperluan penting manusia dalam hidupnya iaitu maruah. Tahukah anda apa itu maruah? Ia berasal daripada bahasa Arab iaitu muru’ah yang secara umumnya boleh diertikan sebagai harga diri. Harga diri merupakan satu perkara asas bagi manusia. Ia memberi imej tentang tahap kedudukan manusia dari segi status akhlak dan integritinya menurut Islam. Oleh itu, Islam mengajarkan manusia beberapa perkara untuk memelihara keperluan keturunan dan maruah ini. Antaranya, seperti sistem perkahwinan yang teratur, hubungan kekeluargaan yang harmoni dan sistem perhubungan berlainan jenis yang terhormat.

 

5. Harta

Tentu anda bersetuju bahawa harta juga merupakan keperluan asas manusia. Harta yang dimaksudkan ini ialah sekadar keperluan asas manusia, bukanlah harta kekayaan yang bertimbun-timbun. Yang dimaksudkan dengan harta ialah keperluan daruri bagi manusia ialah harta sekadar memenuhi keperluan asas mereka seperti rumah yang sempurna, makanan yang halal, pakaian yang menutup aurat dan pendidikan asas. Untuk memiliki keperluan ini, seseorang perlulah juga berharta. Tidak mungkin seseorang boleh menjalani kehidupan yang sempurna tanpa keperluan tersebut. Harta dalam konteks inilah yang dianggap oleh Islam sebagai keperluan daruri manusia. Oleh itu, ajaran Islam mengambil langkah yang pelbagai untuk memelihara keperluan asas manusia terhadap harta ini. Antaranya, Islam memerintahkan manusia supaya bekerja bagi mencari rezeki yang halal. Bagi mengelak kerosakan berlaku terhadap keperluan ini, maka Islam melarang dan mengenakan hukuman yang keras terhadap kesalahan seperti mencuri, merompak, penipuan dan sebagainya.

Memperbetul persepsi yang salah

Ada golongan tertentu mendakwa bahawa menjadi Muslim bermakna anda tiada tempat dalam kehidupan dunia seperti mencari harta dan kekayaan kerana seseorang yang kuat beragama membenci dunia. Cuba fikirkan hujah-hujah untuk menangkis dakwaan salah ini berdasarkan apa yang telah anda pelajari daripada tajuk matlamat ajaran Islam.

Comments are closed.