97 Keistimewaan ibadat

Keistimewaan ibadat

Pastinya timbul persoalan dalam diri anda, mengapakah kita mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. dan apakah matlamat ibadat itu? Apakah faedah mengabdikan diri kepada Allah s.w.t.? Cuba anda teliti keistimewaan yang akan anda peroleh
melalui ibadat.

 

1. Mencakupi keseluruhan aktiviti hidup manusia

Maksud Firman Allah s.w.t.:

Dan tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya (dapat) beribadat kepada-Ku.

(Surah al-Zariya t: 56)

 

Sesungguhnya sembahyangku, amalanku, hidupku, matiku (semuanya) bagi Allah Tuhan sekalian alam.

(Surah An’am :162)

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

Seseorang mukmin itu tidak menanam pokok dan tumbuhan dan kemudian hasilnya dimakan oleh binatang atau manusia melainkan baginya pahala sedekah.

(HR. Bukhari)

Ayat dan hadis di atas jelas menunjukkan bahawa seluruh hidup manusia diciptakan untuk beribadat kepada Allah s.w.t., sedangkan hakikatnya manusia tidak mungkin dapat berada di masjid atau di atas tikar sembahyang sepanjang masa untuk beribadat kepada Allah. Mereka perlukan keluarga, bekerja mencari nafkah untuk diri sendiri, ahli keluarga dan tanggungannya. Ini bermakna aktiviti yang dilakukan sepanjang hidupnya juga boleh dikira sebagai ibadat kepada Allah s.w.t.

Hal ini turut dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. di dalam hadis Baginda yang bermaksud:

Pada satu hari seorang sahabat yang sangat rajin bekerja melintasi hadapan Rasulullah s.a.w. Sahabat yang lain berkata kepada Rasulullah s.a.w.: Alangkah baiknya jika orang itu rajin bekerja pada jalan Allah. Maka Rasulullah s.a.w. menjawab: Jika dia bekerja untuk menyara anak kecilnya maka, dia bekerja pada jalan Allah, jika untuk dirinya sendiri maka dia pada jalan Allah jika untuk ibu bapanya yang sudah tua maka untuk jalan Allah tetapi jika untuk tujuan riak dan sombong maka itu untuk jalan syaitan.

(HR. al-Tabarani)

 

2. Menekankan kesederhanaan dan kemudahan

Kesederhanaan dan kemudahan merupakan satu ciri ibadat yang penting dalam Islam. Dalam menganjurkan umatnya beribadat, Islam tidak terlalu menekankan mereka untuk beribadat secara keterlaluan sehingga meninggalkan perkara-perkara lain yang juga penting dalam kehidupan.

Firman Allah yang bermaksud:

Allah menghendaki kemudahan dan keringanan kepada kamu dan tidak menghendaki kesusahan.

(Surah al-Baqarah: 185)

Rasulullah s.a.w. bersabda:

Peliharalah dirimu daripada sikap berlebih-lebihan kerana kebinasaan orang sebelum ilmu disebabkan berlebih-lebihan (dalam beribadat).

(HR. Ahmad dan Nasaee)

Malah keterlaluan dalam beribadat ini boleh memberi beberapa implikasi:

a. Menyebabkan seseorang akhirnya menjadi jemu

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

Setiap kamu mestilah beramal mengikut kemampuannya. Demi Allah, Allah s.w.t. tidak jemu sehingga kamu yang jemu dan sesungguhnya amalan yang paling disukai oleh Allah ialah yang berterusan sekalipun sederhana.

(HR. Bukhari)

b. Menyebabkan tanggungjawab yang lain terbengkalai

     Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

Sesungguhnya bagi dirimu ada hak dan bagi ahli keluargamu ada hak, maka hendaklah ditunaikan hak orang yang berhak.

(HR. Bukhari)

 

3. Berdasarkan keupayaan manusia

Allah s.w.t. yang menciptakan manusia maha mengetahui akan kelemahan dan kekuatan manusia, maka ibadat dalam Islam tidak membebankan manusia dengan perkara-perkara yang tidak mampu dilakukannya.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

… Allah mengkehendaki kemudahan bagimu dan tidak mengkehendaki kesusahan bagimu.

(Surah al-Baqarah: 165)

 

Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan.

(Surah al-Hajj: 78)

 

Allah tidak membebani seseorang sesuai dengan kemampuaannya.

(Surah aBaqarah: 286)

 

Nas-nas di atas menunjukkan bahawa Islam berpegang kepada prinsip bertimbang rasa serta tidak membebankan manusia di luar kemampuannya.

Comments are closed.