34 Jihad nafsu

Jihad nafsu

Nafsu merupakan anugerah Allah kepada manusia. Dengan itu, menentang hawa nafsu tidak bermakna menolak semua bentuk kesenangan dan kenikmatan di dunia ini. Ia lebih kepada mengawal dan menyalurkan nafsu ke arah yang betul. Bagi mencapai maksud itu jiwa hendaklah dibersihkan.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Dan demi jiwa serta penyempurnaannya maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaan. Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.

(Surah al-Syams: 7 – 10)

 

Jihad melawan hawa nafsu boleh dibahagikan kepada empat bahagian iaitu:

1. Jihad mencari petunjuk dan jalan yang benar

Bagi mendapat petunjuk, ilmu menjadi langkah permulaan dan prasyarat utama, dan dalam konteks ini ialah ilmu agama. Dengan ilmu agama seseorang itu dapat membezakan antara yang hak dan yang batil. Ilmu agama juga akan membantu seseorang itu mengetahui keutamaan dalam beramal.

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

Katakanlah: Adakah sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu.

(Surah al-Zumar: 9)

 

2. Jihad mengamalkan  ilmu  yang  dipelajari  dan  berpegang  teguh   dengannya

Setelah ilmu dikuasai, ia mestilah diamalkan dengan bersungguh-sungguh. Hawa nafsu akan sentiasa menganggu seseorang yang cuba mengamalkan ilmunya. Oleh itu, hawa nafsu ini mesti dikawal. Jika tidak, ia akan menyesatkan seseorang individu. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Maka datanglah sesudah mereka (pengganti yang jelek) yang mensia-siakan solat dan memperturutkan hawa nafsu mereka, maka mereka kelak akan menemui kesesatan, kecuali orang yang bertaubat, beriman dan beramal soleh, maka mereka akan masuk syurga dan tidak dianiaya sedikit pun.

(Surah Maryam: 59 – 60)

 

3. Jihad menyebarkan ilmu dan dakwah

Ilmu dan petunjuk yang telah diperoleh dan diamalkan hendaklah disebarkan kepada orang lain. Ini ialah tugas yang mulia. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

 

Dan serulah kepada tuhanmu, sesungguhnya kamu di atas petunjuk yang lurus.

(Surah al-Hajj: 67)

 

4. Jihad menanggung kesulitan ketika berdakwah

Sudah menjadi sunnatullah, usaha dakwah akan ditentang oleh musuhmusuh dakwah yang terdiri daripada syaitan dan pengikutnya dalam kalangan manusia. Seorang pendakwah hendaklah bersabar kerana ganjaran yang besar dijanjikan oleh Allah s.w.t. di akhirat nanti. Merekalah golongan yang beruntung. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Sesungguhnya manusia di dalam kerugian. Melainkan mereka yang beriman dan beramal soleh, dan nasihat-menasihati dengan kebenaran dan nasihatmenasihati dengan kesabaran.

(Surah al-Asr 2 – 5)

 

Comments are closed.