35 Jihad menentang hasutan iblis dan syaitan

Jihad menentang hasutan iblis dan syaitan

Syaitan adalah pengikut kepada iblis. Iblis telah bersumpah untuk menyesatkan manusia. Allah s.w.t. telah merakamkan keazaman iblis di dalam al-Qur’an melalui firman-Nya yang bermaksud:

Iblis menjawab: Kerana engkau telah menghukum aku tersesat maka aku pasti akan menghalang mereka dari jalan engkau yang lurus, kemudian aku akan mendatangi mereka dari hadapan dan dari belakang, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan engkau akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur.

(Surah al-A’raf: 16 – 17)

Seterusnya, Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

Sesungguhnya syaitan itu musuh bagimu maka jadikanlah dia sebagai musuh.

(Surah al-Fatir: 6)

 

Bagi menghadapi iblis dan syaitan langkah-langkah berikut perlu dilaksanakan:

 

1. Azam yang kuat untuk memperbaiki diri

Ini adalah langkah permulaan. Seseorang haruslah mengubah nasibnya dahulu sebelum mengharapkan Allah s.w.t. mengubah nasibnya:

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

Sesungguhnya Allah tidak merubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan diri mereka sendiri.

(Surah al-Ra’d: 11)

 

2. Memahami ilmu dan petunjuk agama

Syaitan lebih takut kepada orang yang alim daripada orang yang kuat beribadat tetapi jahil, kerana orang yang berilmu tidak mudah tertipu. Ilmu tersebut ialah ilmu Islam yang membolehkan kita mengenal halal dan haram, cara melaksanakan yang halal dan menjauhi yang haram. Islam hendaklah difahami dengan betul dan tepat bersumberkan al-Qur’an dan al-Sunnah dengan tafsiran ulamak yang muktabar.

 

3. Berpegang teguh dengan kebenaran

Seorang yang berjihad mestilah berpegang kepada kebenaran dan menentang kebatilan. Jika dia berpaling daripada kebenaran, syaitan akan menjadi temannya.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Barang siapa yang berpaling daripada pengajaran Tuhan yang Maha Pemurah, Kami adakan baginya syaitan, maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya.

(Surah al-Zukhruf: 36)

 

4. Mengukuhkan hubungan dengan Allah

Hubungan dengan Allah s.w.t. yang kukuh akan membuka jalan kepada pertolongan Allah untuk menyelesaikan segala permasalahan hidup terutama sekali dalam menghadapi godaan syaitan. Hubungan dengan Allah s.w.t. diperkukuhkan dengan memperbanyakan ibadat dan zikir. Ibadat dan zikir yang dilaksanakan hendaklah bertepatan dengan apa yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad saw bukan rekaan atau tambahan manusia (bid’ah). Agama hendaklah dikekalkan keasliannya.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Sesungguhnya orang yang bertakwa ialah apabila mereka ditimpa was-was daripada syaitan, mereka ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan mereka.

(Surah al-A’raf: 201)

 

5. Bersama-sama dengan jemaah orang salih

Untuk menghadapi hasutan syaitan, sokongan rakan-rakan juga penting. Oleh itu hendaklah seseorang Muslim bergaul dengan mereka yang salih serta taat kepada perintah agama.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang yang menyeru tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharap keredaannya (Allah), dan janganlah kamu palingkan wajahmu dari (mereka) mengharapkan perhiasan kehidupan dunia ini, janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah kami lalaikan daripada mengingati kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melampaui batas.

(Surah al-Kahfi: 28)

 

6. Menggunakan neraca Allah dalam kehidupan

Seorang yang berjihad hendaklah menilai setiap isu kehidupan dari kaca mata agama dan tidak mudah terpengaruh dengan idea dan pandangan yang berlawanan dengan kehendak Islam. Jika tidak dia akan dipengaruhi oleh syaitan.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Janganlah sekali-kali kamu terpedaya oleh kebebasan orang kafir bergerak dalam negeri. Ini hanyalah kesenangan sementara, kemudian tempat tinggal mereka ialah neraka jahanam dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.

(Surah al-Imran: 196 – 197)

Comments are closed.