112 Institut pendidikan dan pengajian

Institusi pendidikan dan pengajian

Institusi pendidikan pengajian Islam telah wujud sejak Rasulullah s.a.w. masih di Mekah sebelum berhijrah ke Madinah. Pada masa itu, Rasulullah s.a.w. telah menjadikan rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam sebagai pusat pendidikan terulung. Malahan, Baginda sendiri bertindak sebagai guru dengan mengumpulkan pengikutpengikutnya dan mengajar mereka ayat-ayat al-Qur’an yang diturunkan kepada Baginda.

Setelah Baginda berhijrah ke Madinah, maka terbinalah masjid yang menjadi pusat pendidikan yang terawal. Kedudukan masjid sebagai pusat pendidikan Islam ini terus berkembang maju sepanjang zaman kegemilangan Islam. Malahan dalam sejarah awalnya, masjid telah berfungsi sebagai pusat pentadbiran, pusat perundangan dan kehakiman, pusat diplomatik, pusat aktiviti masyarakat dan sebagainya.

Bagaimanapun setelah sistem hidup menjadi semakin kompleks, maka mula berlaku pengasingan peranan masjid. Kedudukan masjid sebagai pusat pendidikan dan pengajian telah diambil alih oleh institusi pendidikan yang dikenali sebagai madrasah.

Fungsi-fungsi lain telah diambil alih oleh institusi berkenaan seperti pentadbiran, diplomatik, ketenteraan dan kemasyarakan. Ini bukanlah bermakna telah wujud pemisahan antara urusan agama dan urusan hidup, tetapi sekadar pemisahan kedudukan dan tempat bagi lebih memudahkan urusan yang berkenaan. Namun, dari segi falsafahnya, ajaran-ajaran Islam masih tetap mendominasi dan menaungi segala fungsi pentadbiran tersebut.

Secara umumnya, institusi pendidikan Islam boleh disenaraikan seperti berikut:

 

Institusi pendidikan zaman awal Islam

1. Kuttab

Kuttab ialah tempat kanak-kanak belajar. Ia menyediakan pelajaran asas kepada kanak-kanak seperti menulis, membaca dan asas-asas ilmu bahasa sahaja. Kewujudan kuttab memberi peluang kepada kanak-kanak untuk mendapat pelajaran asas sebelum mengikuti pelajaran di masjid. Ada pendapat yang mengatakan bahawa terdapat dua jenis kuttab iaitu kuttab yang khas untuk anak-anak orang kebanyakan dan satu lagi kuttab yang disediakan untuk anak-anak orang miskin dan pendidikan ini diberi secara percuma. Secara amnya, kuttab adalah seperti tadika di Malaysia.

2. Masjid

Masjid turut dijadikan tempat pengajian selain tempat beribadat. Ia menjadi tempat tumpuan untuk mempelajari al-Qur’an dan al-Hadith, di samping ilmu Fekah. Antara masjid yang dijadikan tempat pengajian ialah masjid di Basrah, Kufah, Masjid ‘Amr di Mesir, Masjid al-Haram dan lain-lain lagi.

Pembelajaran di masjid dijalankan mengikut sistem ‘halaqah’. Ini bermakna pelajar duduk dalam satu bulatan dan mengelilingi guru. Dalam sesebuah masjid terdapat beberapa halaqah. Pelajar tidak boleh memilih halaqah yang mereka suka. Sebaliknya keupayaan mereka akan dinilai terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke sesebuah halaqah. Di Malaysia, sistem pendidikan halaqah ini telah diamalkan di pusat-pusat pengajian tinggi seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Kolej Islam Antarabangsa, Universiti Islam Malaysia dan Kolej Universiti Islam Selangor.

3. Suffah

Al-Suffah merupakan ruang atau bangunan surau yang bersambung dengan masjid. Suffah boleh dilihat sebagai sebuah sekolah kerana kegiatan pengajaran dan pembelajaran dilakukan secara teratur dan sistematik. Contohnya, Masjid Nabawi yang mempunyai suffah yang digunakan untuk majlis ilmu.

 

Institusi pengajian tinggi zaman perkembangan Islam

Zaman kemuncak perkembangan kegiatan intelektual Islam berlaku pada era pemerintahan Bani Abbasiyyah. Pada masa ini, intitusi pengajian tinggi meliputi masjid, institusi al-Nizamiyah dan institusi al-Mustansiriyah.

1. Masjid

Walaupun masjid turut berfungsi sebagai intitusi pengajian tinggi, ia tidak melibatkan semua masjid. Antara masjid yang terlibat ialah masjid besar. Misalnya, di Baghdad hanya terdapat enam buah masjid besar sahaja yang menawarkan pengajian lanjutan.

2. Bait al-Hikmah

Pembinaan perpustakaan bercambah dengan banyaknya di masjid-masjid di Baghdad, Andalusia dan Mesir. Antaranya ialah perpustakaan yang dinamakan Bait al-Hikmah di Baghdad yang telah diasaskan oleh Khalifah Harun al-Rasyid dan diperkembangkan oleh Khalifah al-Ma’mun. Semasa zaman Khalifah Islam, perpustakaan ini menyimpan buku-buku tentang ilmu mantiq dan ilmu wahyu dalam pelbagai bahasa seperti bahasa Arab, Yunani, Parsi, Seryani dan bahasa-bahasa benua India.

3. Institusi al-Nizamiyyah

Nama institusi ini diambil daripada nama pengasasnya iaitu Nizam al-Muluk. Beliau adalah Perdana Menteri kepada Sultan Alp Arslan dan Sultan Malik Shah iaitu pemerintah Saljuk. Institusi ini dibuka secara rasmi pada tahun 459H.

Institusi ini menyediakan tiga fakulti utama iaitu Fakulti Syariah, Fakulti Usuluddin dan Fakulti Sains Kemanusiaan. Fakulti Sains Kemanusiaan memberi penekanan kepada bidang kesusasteraan klasik. Setiap fakulti mempunyai pensyarah utama yang dibantu oleh beberapa orang pembantu atau penolong pensyarah. Pensyarah utama bertanggungjawab menyampaikan kuliah. Manakala pembantu pensyarah pula akan menyediakan tutorial bagi setiap kuliah yang disampaikan.

4. Institusi al-Mustansiriyyah

Institusi al-Mustansiriyyah dibina pada tahun 625H. Inisiatif penubuhannya dilakukan oleh Khalifah al-Mustansir bin al-Zahir. Beliau adalah khalifah kerajaan Abbasiyah yang ke-36. Institusi ini ditubuhkan kerana wujudnya masyarakat berbilang mazhab di Baghdad pada masa itu. Walaupun pada ketika itu telah wujud institusi al-Nizamiyyah tetapi ia khusus kepada golongan mazhab Shafie sahaja. Oleh itu, untuk memenuhi kehendak pelbagai mazhab yang wujud dalam masyarakat ketika itu, intitusi al-Mustansiriyyah diwujudkan. Ketika memulakan operasinya, institusi ini hanya mempunyai 62 orang pelajar untuk setiap mazhab. Antara tokoh yang pernah berkhidmat di institusi ini ialah Muhyi al-Din Abu ‘Abd Allah bin Fadlan al-Baghdadi, Rashid al-Din ‘Umar bin Muhamad al-Farghani dan beberapa tokoh yang terkenal.

Comments are closed.