143 Institusi kewangan Islam

Institusi kewangan Islam

Terdapat pelbagai institusi kewangan Islam dalam menjana ekonomi. Institusi Baitul Mal, wakaf, perbankan, takaful dan gadaian memainkan peranan yang penting dalam perkembangan ekonomi negara. Malah, institusi ini mendapat sokongan yang sangat menggalakkan daripada umat Islam di Malaysia.

 

Baitul Mal

Khalifah Umar al-Khattab adalah orang pertama yang menubuhkan Baitul Mal atau Perbendaharaan Negara. Baitul Mal mendapat sumber kewangan daripada pungutan zakat, harta rampasan perang (ghanimah), cukai perlindungan (jizyah), cukai tanah (kharaj), cukai perniagaan (ushur) dan harta peninggalan yang tiada waris.

Institusi Baitul Mal di Malaysia dikendalikan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM) dan menjadi badan ekonomi Islam pertama yang ditubuhkan di Malaysia. Ia ditubuhkan pada Oktober 1976 dan dirombak, serta disusun semula serta dirasmikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamed, Perdana Menteri ketika itu pada 20 Julai 1984.

Matlamat penubuhannya ialah untuk meningkatkan kesedaran dan menggalakkan orang ramai bersedekah bagi tujuan mengembleng sumber-sumber daripada masyarakat khususnya dalam bentuk keuntungan. Wang dilaburkan untuk menyumbangkan aset dan hasilnya digunakan dalam aktiviti-aktiviti ekonomi untuk membangunkan umat sekali gus meninggikan syiar Islam di negara ini.

Bantuan juga disalurkan ke dalam aspek keilmuan melalui seminar-seminar dan kursus-kursus. YPEIM juga menyalurkan bantuan untuk kebajikan ummah termasuk membina rumah untuk anak-anak yatim, bantuan peralatan perubatan, peruntukan untuk institusi pendidikan dan melalui skim pajak gadai Islam (pelaburan).

 

Perbankan Islam

Perbankan Islam mempunyai tujuan yang sama dengan perbankan konvensional melainkan operasinya berlandaskan prinsip syariah yang dikenali sebagai Fiqh al-Muamalat (peraturan-peraturan Islam di dalam urus niaga). Prinsip perbankan Islam ialah berdasarkan perkongsian untung dan rugi serta larangan ke atas riba (faedah). Antara konsep-konsep Islam yang selalu diguna pakai dalam perbankan Islam ialah:

1. Perkongsian untung (Mudharabah).

2. Simpanan (Wadiah).

3. Usaha sama (Musyarakah).

4. Kos tokok (Murabahah).

5. Sewaan (Ijarah).

Bank Islam merupakan institusi pertama perbankan Islam di Malaysia. Bank Islam telah diperbadankan sebagai sebuah syarikat berhad di bawah Akta Syarikat pada 1 Mac 1983 dengan nama Bank Islam Malaysia Berhad. Bank Islam menjalankan perniagaan mengikut prinsip-prinsip Islam untuk memberikan kemudahan dan perkhidmatan urusan bank kepada rakyat Malaysia. Dapatkah anda namakan beberapa lagi institusi perbankan Islam di Malaysia?

 

al-Rahn (Pajak gadai Islam)

Definisi pajak gadai dari sudut bahasa ialah cagaran yang diserahkan oleh peminjam kepada yang memberi pinjam untuk jangka masa tertentu. Pajak gadai Islam menurut istilah ialah menahan harta dan menjadikannya cagaran bagi sesuatu hak yang boleh dituntut pemulangannya daripada harta itu. Dalam konsep al-Rahn, “sesuatu barang yang berharga dijadikan cagaran yang terikat dengan hutang. Sekiranya hutang itu tidak dapat dijelaskan,barang tersebut boleh digunakan untuk menyelesaikan hutang”. (Hj. Ahmad Fauzi dan Ahmad Tarmizi 1997)

Apakah tujuan perkhidmatan al-Rahn? Al-Rahn bertujuan memberi pinjaman atau mudah tunai kepada orang ramai berdasarkan cagaran atau barang simpanan mengikut sistem syarikat Islam. Di samping itu, ia adalah untuk melaksanakan satu lagi rangkaian urusan kewangan Islam sebagai satu cara pembiayaan dan pinjaman dalam kewangan di Malaysia dan juga untuk menghapuskan eksploitasi ke atas golongan miskin.

Operasi skim al-Rahn di Bank Rakyat misalnya, dibuat berdasarkan konsep al-qard al-hasan, iaitu tidak mengenakan bunga ke atas pinjaman, sebaliknya hanya mengenakan yuran keselamatan ke atas deposit barang yang disimpan atau upah simpan emas yang dicagar. Setakat ini, barang emas sahaja diterima. Barang-barang lain kemungkinan akan diterima juga, asalkan nilainya tinggi dan stabil seperti berlian, intan dan lain-lain lagi.

 

Pusat pungutan zakat (Dar al-Zakah)

Pusat pungutan zakat itubuhkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) pada 17 November 1989 dan mula beroperasi pada Januari 1991. Pusat ini dilancarkan secara rasmi oleh Tun Dr. Mahathir Mohamed pada Mac 1991. Objektif penubuhannya adalah untuk meningkatkan pungutan dan memudahkan urusan pembayaran zakat di samping menyampaikan kewajipan membayar zakat melalui pelbagai alternatif. Ia juga bertujuan memperkenalkan cara bekerja korporat dan budaya sistem pengurusan Islam secara profesional dalam usaha membantu Majlis-majlis Agama Islam Negeri menubuhkan Pusat Pungutan Zakat masing-masing.

Zakat yang ditadbirkan secara sempurna atau dengan perkataan “menginstitusikan zakat” mampu mengatasi masalah kemiskinan dan meningkatkan lagi syiar agama. Pada zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz, iaitu dua setengah tahun setelah beliau memerintah, telah dicatatkan bahawa tidak ada orang yang dimasukkan ke dalam penjara dan tidak ada orang yang berhak menerima zakat. Institusi zakat mampu memantapkan dan menstabilkan ekonomi negara. Ia dapat mempengaruhi gelagat pemilik harta agar sentiasa menyalurkan harta ke dalam kegiatan ekonomi seperti pelaburan, saham atau ekonomi aktif. Maknanya, harta-harta milikan dapat dimanfaatkan dan tidak disimpan semata-mata.

Aktiviti 4.15
Soalan kepada aktiviti 4.15 Cadangan jawapan untuk aktiviti 4.15

 

 

 

 

 

 

Takaful (Insurans Islam)

Takaful bermaksud saling menjamin. Ia berasal daripada perkataan Arab kafala. Takaful merupakan persetujuan yang memastikan ikatan diri seseorang penanggung untuk memberi ganti rugi atau sesuatu pembayaran kepada yang ditanggung kerana yang ditanggung kehilangan sesuatu, menderita sesuatu kerugian atau tidak mendapat keuntungan yang semuanya ditimbulkan oleh suatu kejadian yang tidak diduga. Operasinya mesti tidak terkeluar daripada falsafah ekonomi, undang-undang dan syariah Islam. Ia tidak bersifat perdagangan keuntungan tetapi lebih kepada kebajikan masyarakat.

Sebagai contoh di Malaysia, Syarikat Takaful Malaysia telah menubuhkan satu Takaful Nasional yang bertindak sebagai mudarib (pengusaha), sementara sumber kewangan syarikat dihasilkan daripada caruman premium, iaitu pemegang polisi sebagai pemodal. Syarikat sebagai pengusaha mengendalikan pelaburan atau perniagaan kumpulan wang caruman tadi. Pada waktu tertentu, sebahagian keuntungan syarikat akan dipulangkan kepada setiap pemegang polisi.

 

Saham dan institusi

Tabung Amanah Saham Islam bermula pada 12 Januari 1993 dengan pelancaran Tabung Ittikal Arab Malaysian yang diuruskan oleh Arab Malaysian Unit Trust Bhd.

 

Sistem Perbankan Tanpa Faedah (SPTF)

Skim Perbankan Tanpa Faedah dilancarkan pada bulan Mac 1993 dengan melibatkan hanya tiga buah bank perdagangan iaitu Maybank, BBMB dan UMBC. SPTF ialah satu aktiviti ekonomi berasaskan prinsip perniagaan dan pembiayaan Islam yang tidak mengenakan faedah. Ia merupakan sistem yang operasinya berlandaskan hukum Islam. Segala pengendaliannya adalah halal dan tiada unsur-unsur riba serta mengikut syarat yang ditetapkan.

 

Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM)

Ia menjadi badan ekonomi Islam pertama di Malaysia. Ia ditubuhkan pada Oktober 1976 dan kemudian dirombak serta disusun semula serta dirasmikan oleh Tun Dr. Mahathir (Perdana Menteri ketika itu) pada 20 Julai 1984. Tujuan penubuhan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM) adalah untuk menangani masalah sosioekonomi masyarakat Islam negara ini. Selain itu, ia juga bertujuan untuk mengukuhkan tradisi keilmuan serta memantapkan kebajikan ummah. YPEIM turut berperanan menghidupkan budaya amal jariah dengan menyediakan prasarana yang diyakini untuk masyarakat melaksanakan sadaqatul jariah melalui pendekatan pengurusan moden.

 

Lembaga Tabung Haji (LTH)

Lembaga Tabung Haji ditubuhkan di bawah Akta 8, LUTH 1967 dan Akta 168 LUTH (Pindaan 1973). Ia bertujuan membolehkan orang Islam menyimpan wang secara beransur-ansur bagi memenuhi keperluan iman, menunaikan fardu haji dan perkara-perkara yang berfaedah. Melalui wang simpanan, orang Islam boleh mengambil bahagian dengan lebih berkesan dalam pasaran modal, perusahaan, perdagangan, perladangan, hartanah dan bangunan secara halal.

Comments are closed.