134 Institusi kehakiman

Institusi kehakiman

Kehakiman atau al-qada’ dari segi bahasanya bermaksud menghukum, menyelesaikan, menetapkan, memutuskan dan mencegah. Dari sudut syarak pula bermaksud menyelesaikan perbalahan dan pertelingkahan yang berlaku antara manusia berasaskan syariah Islam.

Institusi kehakiman merupakan satu institusi penting dalam sesebuah pemerintahan Islam. Dalam sebuah sistem perundangan, ia merupakan elemen kunci yang menjamin kejayaan sesebuah sistem perundangan. Kerana itulah syariah Islam memberikan penekanan yang utama terhadap institusi kehakiman. Rasulullah s.a.w. pernah bertindak sebagai seorang hakim bagi membicarakan pertelingkahan yang berlaku dalam kalangan anggota masyarakat. Selain itu, Baginda juga pernah mengirim para sahabatnya seperti Ali ibn Abi Talib dan Mu’az ibn Jabal ke Yaman sebagai hakim yang mentadbir urusan perundangan yang timbul di negeri tersebut. Demikian juga selepas kewafatan Rasulullah s.a.w., urusan kehakiman diambil alih oleh para Khulafa’ al-Rasyidin.

 

Matlamat institusi kehakiman

Secara umumnya, matlamat institusi kehakiman ialah untuk menegakkan keadilan tanpa mengira darjat, pangkat, keturunan dan agama. Malah, keadilan yang dianjurkan dalam Islam adalah keadilan sejagat. Jadi, sesiapa yang terbukti bersalah harus dihukum sepertimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

… dan jika kamu menghukum sesama manusia, hukumlah antara mereka dengan adil.

(Surah al-Maidah: 42)

Institusi kehakiman juga bertujuan untuk menentang kezaliman. Islam menentang sebarang bentuk kezaliman seperti yang ditegaskan oleh Allah s.w.t. yang bermaksud:

… janganlah kamu cenderung kepada orang zalim (kalau kamu berbuat demikian) api neraka akan membakar kamu.

(Surah Hud: 113)

Selain menghapuskan kezaliman, sistem kehakiman juga perlu membela orang yang dizalimi. Islam menjaga hak setiap individu yang menjadi mangsa kezaliman. Orang yang dizalimi mendapat hak pembelaan dalam sistem kehakiman. Sebenarnya, hukum hudud dan qisas adalah satu keadilan untuk membela orang yang dizalimi. Maka sistem kehakiman amat mengambil berat terhadap orang yang ditindas, dianiaya dan dizalimi demi menegakkan keadilan agar maruah, harta benda dan nyawa orang dizalimi dikembalikan haknya.

 

Prinsip-prinsip institusi kehakiman

Dalam menjalankan tugasnya bagi menjamin keadilan dan menghapuskan kezaliman, institusi kehakiman Islam mestilah berlandaskan prinsip-prinsip tertentu. Antaranya ialah:

1. Bersifat Rabbani iaitu ketuhanan. Institusi kehakiman Islam berteraskan prinsip rabbani kerana sumber asas kehakiman dalam Islam adalah daripada wahyu Allah s.w.t. iaitu al-Qur’an dan al-Sunnah. Sebarang keputusan dan
tindakan hakim mesti berasaskan panduan al-Quran dan al-Sunnah.

2. Menegakkan keadilan dan menyeru kebaikan serta mencegah kemungkaran. Ia dapat dilakukan dengan pelaksanaan hukuman yang bersifat pencegahan, pemulihan dan pengajaraan demi menjamin kesejahteraan dan keharmonian
hidup.

3. Mengamalkan adab dan akhlak Islam yang mulia seperti amanah, adil, jujur, tegas, berani dan tidak zalim semasa menjalankan hukuman. Sistem kehakiman Islam menjunjung dan memelihara nilai-nilai mulia dalam masyarakat supaya tidak dicemari oleh golongan yang bertuhankan nafsu sehingga melakukan kezaliman ke atas orang lain.

 

Kelayakan hakim

Dalam sesebuah institusi kehakiman, jawatan terpenting ialah jawatan hakim. Hakimlah yang akan menentukan kejayaan atau kegagalan sesebuah institusi kehakiman dalam menjalankan fungsinya. Oleh itu, syariah Islam sangat menitik beratkan perkara yang berkaitan dengan kelayakan dan pelantikan hakim. Untuk melayakkan seseorang menjadi hakim, beliau perlu memiliki beberapa kriteria seperti berikut:

1. Mempunyai akal yang sempurna.

2. Beriman dan bertakwa kepada Allah s.w.t.

3. Ilmu pengetahuan yang cukup tentang al-Qur’an dan al-Sunah.

4. Bijaksana dan waras fikiran dalam melaksanakan hukuman.

5. Berwibawa dan dihormati kerana ketegasannya dan keadilannya.

6. Adil dan sabar melaksanakan keputusan berdasarkan hujah dan bukti sahih.

 

Peranan hakim

Bagi mencapai matlamat menegakkan keadilan dan menghapuskan kezaliman, hakim memainkan banyak peranan yang sangat penting. Antaranya, seperti berikut:

1. Menjatuhkan hukuman secara adil dan saksama setimpal dengan kesalahan.

2. Menyelesaikan persengketaan dan permusuhan sesama manusia tanpa pilih kasih.

3. Tidak menjatuhkan hukuman ketika marah dan jika ada keraguan.

4. Membebaskan tertuduh jika didapati ada keraguan dari segi bukti dan hujah.

Aktiviti 4.12 dan 4.13
Soalan kepada aktiviti-aktiviti Cadangan jawapan untuk aktiviti-aktiviti

 

Comments are closed.