14 Iman dan rukun iman

Iman dan rukun iman

Iman ertinya kepercayaan atau tasdiq. Iman ialah kesepaduan antara tiga perkara iaitu percaya dalam hati, mengaku dengan lidah serta beramal dengan segala rukun dan perintah. Dengan demikian, orang yang beriman adalah orang yang beramal kerana amal membuktikan keimanannya. Jika tidak, maka imannya adalah mainan perasaan dan cita-cita sahaja.

Kalau anda ingin fahami maksud iman dengan mudah, telitilah kata-kata mutiara yang diungkapkan oleh al-Hasan al-Basri r.a yang bermaksud:

Bukanlah iman itu dengan perhiasan dan cita-cita akan tetapi iman itu ialah apa yang teguh dalam hati dan dibenarkan oleh amal. Barang siapa berkata (ikrar) baik pada hal ia mengerjakan amal yang tidak baik, nescaya Allah menolak perkataannya. Dan barang siapa berkata dan berbuat baik, nescaya mengangkat akan amalnya.

Iman adalah dasar akidah atau kepercayaan orang Islam. Oleh itu, ia adalah sesuatu yang tetap dan pasti sebagaimana yang diajarkan. Iman tidak mungkin dipinda oleh perubahan tempat dan zaman.

Dalam hadis daripada Umar r.a., malaikat Jibril yang menyerupai seoang lelaki telah bertanyakan kepada Rasulullah s.a.w. mengenai iman:

Katanya lagi: Maka khabarkan kepadaku darihal Iman. Rasulullah s.a.w. menjawab: Iman itu ialah bahawa engkau beriman kepada Allah, dan malaikat-Nya, dan segala kitab-Nya, dan para Rasul-Nya, dan engkau beriman kepada takdir baik-Nya dan jahat- Nya. Dia berkata: Benarlah engkau!

(HR. Muslim)

Hadis ini dengan jelas telah menyebutkan tentang enam perkara yang terangkum dalam pengertian iman. Keenam-enam perkara inilah yang dimaksudkan sebagai rukun iman. Rukunnya yang enam itu tetaplah enam, tidak berkurang atau terlebih. Mari kita kaji rukun iman satu persatu agar kita faham dengan jelas apa yang dimaksudkan dengan iman.

 

Beriman kepada Allah

Beriman kepada Allah bererti percaya akan kewujudan-Nya sebagai Tuhan Yang Sempurna sifat-Nya secara mutlak, Pencipta alam ini, Penyusun peraturannya dan Pengatur perjalanannya. Allah s.w.t. merupakan Tuhan yang wajib disembah dan diakui kemuliaan-Nya, kekuasaan-Nya dan dipatuhi hukum-hukum-Nya. Bukti kewujudan Allah ialah wujudnya sekalian makhluk dan alam ini. Allah turut menyatakan dalil kewujudan-Nya sebagai Tuhan Yang Maha Kuasa dengan firman-Nya dalam al-Qur’an yang bermaksud:

Dan tuhan kamu itu Tuhan yang satu. Tiada tuhan melainkan Dia, yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, silih bergantinya malam dan siang, bahtera yang belayar di laut membawa apa yang berguna bagi manusia, dan apa yang Allah turunkan dari langit berupa air, lalu dengan air itu Dia hidupkan bumi sesudah mati (keringnya) dan Dia sebarkan di bumi itu segala jenis haiwan dan pengisaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi; sungguh (terdapat) tanda-tanda (keesaan dan kebesaran Allah) bagi kaum yang memikirkan.

(Surah al-Baqarah: 163 – 164)

Selanjutnya, kalau ditinjau secara lebih mendalam isyarat atau petunjuk-petunjuk ayat tersebut, ternyatalah bahawa ada dua perkara yang menjadi unsur utama untuk kehidupan rohani dan jasmani manusia iaitu:

1. Pertama, unsur agama yang bertalian dengan kepercayaan terhadap Tuhan Yang Maha Esa iaitu Allah. Kepercayaan ini adalah dasar utama bagi orang yang beriman.

2. Kedua, unsur kehidupan di dalam dunia. Kehidupan di dalam dunia terdiri daripada langit dan bumi, perubahan malam dengan siang, pelayaran kapal di laut membawa muatan, kehidupan tanaman dengan air, pembiakan segala jenis binatang dengan banyaknya, peredaran angin dan awan menurut masanya. Semua itu menjadi bukti yang nyata menunjukkan keesaan Allah s.w.t. dan menjadi sumber bagi kehidupan di dunia.

Sebagai seorang muslim anda mesti menerima kedua-dua unsur di atas agar hidup anda berisi dengan cahaya iman.

 

Beriman kepada sekalian malaikat

Beriman kepada sekalian malaikat adalah wajib. Malaikat dijadikan daripada cahaya, bukan lelaki dan bukan pula perempuan, taat kepada Allah s.w.t. dan patuh menjalankan tugas yang telah diamanahkan. Berikut ialah malaikat-malaikat yang wajib diketahui dan tugas-tugas mereka.

 

Allah s.w.t. telah berfirman mengenai ketaatan dan kepatuhan para malaikat sebagaimana maksud al-Qur’an:

Dan kepada Allah sajalah sujud segala apa yang ada di langit dan semua makhluk yang melata di bumi dan (juga) malaikat. Pada hal mereka tidak sombong. Mereka takut kepada Tuhan mereka yang di atas mereka serta mereka kerjakan apa yang diperintahkan kepada mereka.

(Surah al-Nahl: 49 – 50).

 

Beriman kepada kitab-kitab

Ajaran serta hukum-hukum Allah telah diwahyukan Allah s.w.t. dan Rasul-Nya melalui al-Quran dan juga suhuf. Oleh itu, beriman kepada sekalian kitab Allah s.w.t. merangkumi semua kitab dan suhuf-suhuf yang diturunkan oleh Allah s.w.t. dan hukumnya adalah wajib.

Kitab dan suhuf mempunyai beberapa perbezaan walaupun sama-sama diturunkan oleh Allah s.w.t. Kitab mengandungi hukum dan peraturan yang lengkap, manakala suhuf hanya mengandungi prinsip-prinsip umum. Kitab dan suhuf diturunkan melalui wahyu yang disampaikan dengan perantaraan malaikat Jibril a.s. sejak zaman Nabi Adam a.s sehingga Nabi Muhammad s.a.w. Jumlah kitab yang diturunkan adalah sebanyak 104 iaitu 100 buah suhuf dan 4 buah kitab suci. Empat kitab suci utama ialah:

 

Kitab Maklumat
1 Taurat • Diturunkan kepada Nabi Musa a.s.
• Dalam bahasa Ibrani.
• Kaum yang menerimanya ialah Bani Israil.
• Kandungannya ialah pengajaran dan bimbingan.
2 Zabur • Diturunkan kepada Nabi Daud a.s.
• Dalam bahasa Siryani.
• Kaum yang menerimanya ialah Bani Israil.
• Kandungannya ialah kata-kata hikmat dan nasihat.
3 Injil • Diturunkan kepada Nabi Isa a.s.
• Dalam bahasa Ibrani.
• Kaum yang menerimanya ialah Bani Israil.
• Kandungannya ialah hukum-hukum khas dan terhad kepada Bani Israil sahaja.
4 al-Qur’an • Diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w.
• Dalam bahasa Arab.
• Kaum yang menerimanya ialah Bangsa Arab dan semua manusia hingga berlakunya kiamat.
• Kandungannya ialah syariah untuk membimbing manusia dalam seluruh aspek kehidupan mereka.

Sumber: http://ms.wikipedia.org/wiki/Iman#percaya_kepada_kitab-kitab_Allah

 

Menurut keterangan Ibn Abbas, al-Qur’an mengandungi sebanyak 30 juzuk, 114 surah, 6,616 ayat, 77,430 kalimat dan 325,345 huruf. Menurut Imam al-Ghazali, terdapat sebanyak 500 ayat yang berkaitan dengan hukum-hakam perintah Allah.

Terdapat pula 100 suhuf yang telah diturunkan oleh Allah s.w.t. kepada Nabi dan Rasul. Pembahagian suhuf-suhuf itu ialah seperti berikut:

Oleh itu, kita sebagai umat Islam wajib mempercayai dan beriman kepada kitab-kitab suci dan suhuf yang telah disenaraikan di atas tadi secara tafsil (satu persatu).

Aktiviti 1.6
Soalan kepada aktiviti 1.6 Cadangan jawapan untuk aktiviti 1.6

 

 

 

 

 

 

Beriman kepada para rasul

Mengapakah kita dikehendaki beriman kepada para rasul? Ini ialah kerana rasul-rasul merupakan penyampai bagi dasar-dasar agama kepada umat manusia. Kepercayaan kepada sekalian rasul adalah wajib menurut ayat al-Qur’an yang bermaksud:

Telah beriman rasul itu dengan apa yang telah diturunkan kepadanya daripada Tuhannya. Dan orang yang beriman semuanya beriman dengan Allah dan Malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, dan sekalian rasul-Nya. Kami tidak membezakan antara seorang daripada rasul-Nya.

(Surah al-Baqarah: 285)

 

Para rasul dipilih oleh Allah s.w.t. daripada kalangan manusia untuk menyeru manusia agar mentauhidkan Allah s.w.t. dan beribadat kepada-Nya, sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam al-Qur’an yang bermaksud:

 

Dan Ibrahim ketika dia berkata kepada kaumnya: Sembahlah akan Allah dan takutlah kepada-Nya.

(Surah al-Ankabut: 16)

 

Dan sesungguhnya Kami utuskan Nuh kepada kaumnya lalu dia berkata: Hai kaumku! Sembahlah akan Allah.

(Surah Al-Mukmin: 65)

 

Dan kepada Thamud Kami utuskan saudara mereka, iaitu Salleh. Dia berkata: Hai kaumku! Sembahlah akan Allah.

(Surah al-A`raf: 73)

 

Dan kepada Madyan Kami utuskan saudara mereka, iaitu Syu`ib. Dia berkata: Hai kaumku! Sembahlah akan Allah.

(Surah al-A`raf: 85)

 

Semua seruan dalam ayat-ayat di atas berpusat kepada satu iaitu seruan kepada menyembah atau mentauhidkan Allah s.w.t. Seruan yang dibawa oleh rasul yang akhir iaitu Muhammad s.a.w. adalah sama dengan rasul-rasul yang terdahulu. Hanya berlainan dalam lingkungan umat atau manusia yang diserukan sahaja kerana rasul yang dahulu masing-masing hanya menyeru kaumnya sendiri, sedangkan Rasulullah s.a.w. menyeru kaumnya dan sekalian manusia.

Oleh sebab Nabi Muhammad s.a.w. diutuskan kepada sekalian manusia, maka seruannya juga ditujukan kepada sekalian manusia, sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Hai sekalian manusia! Sembahlah tuhan kamu yang menjadikan kamu dan mereka yang sebelum kamu supaya kamu berbakti.

(Surah al-Baqarah: 21)

 

Sebanyak 25 orang nabi yang disebut dalam al-Qur’an dan wajib diketahui iaitu:
1. Nabi Adam a.s
2. Nabi Idris a.s
3. Nabi Nuh a.s
4. Nabi Hud a.s
5. Nabi Salleh a.s
6. Nabi Ibrahim a.s
7. Nabi Luth a.s
8. Nabi Ismail a.s
9. Nabi Ishak a.s
10. Nabi Yaakub a.s
11. Nabi Yusuf a.s
12. Nabi Ayub a.s
13. Nabi Syuaib a.s
14. Nabi Musa a.s
15. Nabi Harun a.s
16. Nabi Zulkifli a.s
17. Nabi Daud a.s
18. Nabi Sulaiman a.s
19. Nabi Ilias a.s
20. Nabi Iliayasak a.s
21. Nabi Yunus a.s
22. Nabi Zakaria a.s
23. Nabi Yahya a.s
24. Nabi Isa a.s
25. Nabi Muhammad s.a.w.

 

 

Beriman kepada hari akhirat

Beriman kepada hari akhirat bermaksud percaya dengan penuh yakin tanpa sebarang keraguan bahawa selepas kehidupan di dunia ini kita pasti akan berhadapan dengan hari pembalasan. Pada hari tersebut, manusia akan dibangkitkan dan segala amalan mereka akan dihitung untuk diberikan balasan yang setimpal dengan amalan itu. Ketiadaan amalan dan pekerjaan yang baik pada hari ini menyebabkan kerugian dan kesesalan pada kemudian hari. Kehidupan yang sebenarnya ialah pada hari akhirat nanti, sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Dan tidak ada kehidupan di dunia ini melainkan sia-sia dan permainan dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan (yang sebenarnya) kalau adalah mereka mengetahui.

(Surah al-Ankabut: 64)

Demikianlah keadaan manusia setelah mati. Kematian bukanlah selama-lamanya kerana manusia akan dibangkitkan semula. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Pada hari Kami gulung langit sebagaimana menggulung kepingan (helai) bagi tulisan-tulisan,sebagaimana Kami mulai kejadian pertama, Kami akan kembalikan dia, sebagai perjanjian atas Kami. Sesungguhnya Kami akan melaksanakan.

(Surah al-Anbiya’: 104)

Berdasarkan ayat di atas, jelaslah bahawa setelah binasa alam ini, maka berkumpullah manusia daripada dahulu sehinggalah yang kemudian. Mereka keluar daripada kubur masing-masing seperti belalang yang bertaburan. Pada saat yang penuh kecemasan itu, teringatlah manusia kepada perjanjian mereka sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Dan akan ditiup pada sangkakala, maka tiba-tiba mereka dari kubur-kubur mereka akan bersegera kepada tuhan mereka. Mereka akan berkata: Aduh celakalah kami! Siapakah yang bangkitkan kami dari tempat tidur kami (kubur)? Inilah apa yang dijanjikan oleh (Tuhan) Pemurah, dan benarlah rasul-rasul.

(Surah Yasin: 51 – 52)

Berikutan itu, lalu dikumpulkan mereka di suatu tempat untuk dihisab. Keadaan di situ digambarkan oleh al-Qur’an sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Bahawa barang siapa yang berat timbangannya maka mereka orang yang mendapat kejayaan atau kemenangan, dan barang siapa yang ringan timbangan-nya maka mereka orang yang merugikan diri-diri mereka. Mereka itu kekal di dalam neraka.

(Surah al-Mu’minun: 102 – 103)

Sungguhpun Allah s.w.t. merahsiakan bila akan berlakunya hari kiamat tetapi Allah s.w.t. telah mewahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. untuk disampaikan kepada kita tentang tanda-tanda kecil dan tanda-tanda besar akan berlakunya hari akhirat.

Tanda-tanda kecilnya ialah:

1. Sedikit orang alim dan ramai orang yang jahil.

2. Perempuan lebih ramai daripada lelaki.

3. Urusan agama ditadbir oleh golongan bukan ahli.

4. Pelacuran dan maksiat berlaku dengan meluas.

5. Minum arak dan benda yang memabukkan menjadi kebanggaan.

6. Timbulnya fitnah yang bergelombang-gelombang seperti gelombang laut.

7. Orang miskin menjadi kaya dan masing-masing berlumba-lumba membina bangunan pencakar langit.

8. Timbul perang besar antara dua bangsa yang paling besar.

9. Banyak berlaku bencana alam (banjir besar, gunung berapi, angin taufan dsb).

 

Apabila masa berlakunya hari kiamat itu semakin hampir sekali, maka akan muncul tanda-tanda besar atau tanda-tanda akhir sebagaimana yang disebut di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Huzaifah bin Usaid al-Ghiffari. Dia berkata: “Rasulullah s.a.w. telah mendatangai kami, yang ketika itu kami sedang merenung sesuatu”. Kemudian Rasulullah bertanya: “Apakah yang sedang kamu fikirkan?” Kami menjawab: “Kami sedang memikirkan tentang hari kiamat”. Rasulullah bersabda: “Bahawasanya kiamat itu tidak akan berlaku, kecuali kamu melihat sepuluh tanda”. Kemudian Rasulullah menyebutkan tanda-tanda itu satu demi satu sebagai berikut:

1. Keluar dajjal yang akan merosakkan agama.

2. Keluar binatang yang dipanggil Dabbatul Ard yang akan merosakkan manusia.

3. Keluar suku/bangsa Yakjuj dan Makjuj untuk merosakkan bumi.

4. Hilangnya al-Quran dari mashafnya.

5. Terbit matahari dari sebelah barat.

6. Turunnya Nabi Isa a.s ke bumi dan mendukung pemerintahan Imam Mahadi.

7. Gempa di Timur.

8. Gempa di Barat.

9. Gempa bumi di Semenanjung Arab.

10. Api besar yang akan menghalau manusia ke Padang Masyhar. Api itu akan bermula dari arah Negeri Yaman.

 

Firman Allah s.w.t. dalam al-Quran yang bermaksud:

Mereka tidak menunggu, melainkan satu teriakan saja, (yang akan menghancurkan bumi ini) yang akan membinasakan mereka, ketika mereka sedang bertengkar.

(Surah Yasin: 49)

 

 

Beriman kepada qada’ dan qadar

Sebagai manusia yang dijadikan oleh Allah s.w.t., kita sering diduga dengan pelbagai masalah yang bertujuan untuk menguji keredaan kita terhadap kebesaran Allah s.w.t. Kita percaya bahawa setiap perkara yang berlaku itu adalah ketentuan Allah, maka kita wajib percaya kepada qada’ dan qadar, sesuai dengan hadis Rasullulah s.a.w. iaitu:

Tidak beriman seorang hamba sehingga dia beriman dengan empat perkara: iaitu menyaksikan bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan bahawasanya aku Rasulullah yang diutuskan dengan benar dan beriman dengan mati, dan beriman dengan kebangkitan sesudah mati, dan beriman dengan qadar – takdir.

(HR. Tirmizi)

Beriman kepada takdir bererti percaya bahawa Allah s.w.t. mengetahui perjalanan hamba-hamba-Nya dan mengawasi hal-ehwal mereka serta mentadbir urusan mereka, dan percaya bahawa segala sesuatu yang berlaku dalam alam ini adalah dengan izin-Nya. Malah, apa saja mengenai manusia, sama ada yang bermanfaat dan yang mudarat adalah dengan iradat dan kudrat-Nya. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Tidak ada yang mengenai daripada bahaya melainkan dengan izin Allah. Dan barang siapa beriman kcpada Allah, nescaya dia pimpin hatinya. Kerana Allah itu berkuasa atas tiap-tiap suatu.

(Surah a1-Taghabun: 11)

Alam dan segala fenomena yang berlaku ini tidaklah terjadi dengan sendirinya. Bahkan alam dan segala yang berlaku di dalamnya adalah menurut ketentuan kudrat Allah dan perhitungan-Nya.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Sesungguhnya tiap-tiap suatu Kami telah jadikan ia dengan ukuran.

(Surah al-Qamar: 49)

Ayat ini membawa pengertian bahawa segala kejadian yang berlaku pada alam dan pada diri manusia adalah menurut ukuran atau qadar. Contohnya, sihat dan sakit, kaya dan miskin, nikmat dan sengsara, suka dan duka, ajal dan tempat kematian serta segala yang berkaitan dengan kehidupan manusia dalam perkara yang mereka sendiri tidak berupaya mengubah dan menukarkannya. Semua itu adalah termasuk dalam ketentuan qadar Allah. Namun begitu, kita tidak boleh menyerahkan diri kita kepada Allah semata-mata tanpa berusaha.

Seseorang yang beriman akan menerima semua takdir itu dengan jiwa yang tenteram. Malah, dia percaya bahawa di sebalik alam yang nyata itu ada kekuasaan ghaib yang lebih perkasa iaitu kekuasaan Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Katakanlah: Tidak akan mengenai kami melainkan apa yang telah dituliskan (ditakdirkan) oleh Allah bagi kami. Ialah penolong kami dan kepada Allah maka hendaknya orang yang beriman berserah diri.

(Surah a1-Taubah: 51)

Sesungguhnya seseorang manusia tidak akan mengetahui apa yang telah ditakdirkan Allah s.w.t. sebelum berlakunya sesuatu itu. Malah, manusia tidak pula disuruh mengetahuinya kerana persoalan takdir bukanlah urusan mereka. Urusan mereka sebagai manusia ialah berfikir, berusaha atau berbuat dan beramal menurut kehendak sesuatu peraturan dan sebab-sebabnya.

Demikianlah keterangan mengenai rukun-rukun iman yang menjadi dasar kepercayaan orang Islam sebagaimana yang diterangkan oleh Rasulullah s.a.w. Orang yang beriman ialah orang yang percaya (tasdiq) kepada rukun-rukun itu secara keseluruhannya dan beramal menurut tuntutan kepercayaan (iman) itu. Mereka juga akan membuktikan kepercayaan mereka dengan bertingkah laku sebagai seorang mukmin yang baik lagi sempurna.

Kesimpulannya, iman mesti disertakan dengan amal soleh. Amal soleh bererti melaksanakan segala perintah Allah s.w.t. dan meninggalkan larangan-Nya. Iman tanpa amal yang mulia tidak mendapat tempat dalam Islam. Maka jelaslah bahawa kombinasi Islam dan Iman akan membentuk seorang Muslim sejati yang tunduk dan patuh kepada Allah s.w.t. secara zahir dan batin.

 

Aktiviti 1.7
Soalan kepada aktiviti 1.7 Cadangan jawapan untuk aktiviti 1.7

 

Comments are closed.