98 Hikmah ibadat

Hikmah ibadat

Sesungguhnya ibadat mempunyai rahsia yang tersendiri yang kesannya boleh dirasai jika seseorang itu melakukannya dengan penuh keikhlasan untuk mencari keredaan Allah s.w.t. semata-mata. Antara rahsianya ialah seperti berikut:

 

1. Menjadi pengurus masa yang baik

Setiap ibadat, baik yang wajib atau sunat melatih individu Muslim menjadi pengurus masa yang berkesan lagi cekap. Contohnya solat, puasa, zakat dan haji perlu diselesaikan tepat pada waktu serta mengikut aturan dan ukuran tertentu. Dalam melaksanakan ibadat, kejayaan bukannya kerana mampu melakukan semua aspek ibadat tetapi menentukan keutamaan iaitu yang penting (wajib) diutamakan sementara yang sunat digalakkan. Ibadat yang terbaik walaupun sedikit tetapi harus dilakukan secara berterusan.

 

2. Membentuk keperibadian yang mulia

Ibadat berfungsi membina peribadi yang mulia dengan menyemai nilainilai positif dalam diri seseorang Muslim. Nilai-nilai mulia seperti disiplin diri, amanah, berani, tepati janji, bersangka baik, bekerjasama, bertoleransi, kebersihan dan sebagainya dapat diterapkan dalam kehidupan individu dan masyarakat melalui amalan ibadat solat, puasa, haji, membaca al-Qur’an dan banyak lagi ibadat lain.

 

3. Menjamin kualiti hidup

Ibadat perlu dilaksanakan dengan penuh perhatian dan tumpuan kerana ibadat yang dilakukan secara sambil lewa tidak diiktiraf sebagai ibadat kecuali penat dan letih sahaja. Maka ibadat dalam Islam menekankan kualiti ihsan iaitu setiap amalan ibadat perlu dilakukan dengan kesedaran diri bahawa Allah s.w.t. Maha Melihat. Sifat ikhlas akan menjadikan seseorang itu bekerja dengan penuh teliti dan rajin kerana ganjaran sebenarnya adalah daripada Allah s.w.t.

 

4. Menjamin kebahagiaan jasmani dan rohani

Segala ibadat yang dipraktikkan oleh seseorang Muslim akan mendapat ganjaran kebahagiaan dan kejayaan di dunia dan di akhirat. Contoh yang terbaik adalah ibadat wajib seperti solat yang boleh membina kekuatan jasmani dan rohani. Solat fardhu lima waktu dalam sehari semalam banyak membantu mengekalkan kesihatan tubuh badan serta memtenteramkan
jiwa.

Sumber: http://en.wikipedia.org/wiki/Alexis_Carrel

 

Dalam hal ini, Nabi Muhammad s.a.w. pula telah bersabda:

Syaitan mengikatkan pada hujung kepala salah seseorang daripada kamu pada saat tidurnya, tiga ikatan. Pada saat dia bangun lalu mengingat Allah terlepaslah satu ikatan. Ketika dia wuduk terlepaslah ikatan kedua dan kemudian ketika dia solat terlepaslah ikatan ketiganya. Dengan demikian dia pada waktu pagi lagi menjadi segar jiwanya dan semangatnya. Tapi apabila tidak demikian dia akan menjadi kusut jiwanya dan malas.

(HR. Bukhari)

Allah s.w.t. pula berfirman yang bermaksud:

Sungguh berjayalah oran- mukmin itu. (Iaitu) orang yang di dalam solatnya khusyuk.

(Surah al-Mukminun: 1 – 2)

 

5. Menjana ummah bersatu padu

Ibadat dalam Islam dapat membentuk satu umat yang bersatu-padu kerana kebanyakan ibadat dalam Islam khususnya seperti solat, haji dan zakat menjalinkan silaturahim sesama umat Islam tanpa batasan warna, kulit, sempadan dan bangsa. Contohnya, fardhu solat lima waktu dilakukan secara jemaah di masjid dan ini dapat menjalin dan mengukuhkan hubungan persaudaraan sesama umat Islam.

Manakala ibadat haji yang dilakukan di Makkah adalah satu perhimpunan umat Islam yang sangat besar untuk mentauhidkan Allah yang Esa. Ibadat zakat pula dapat merapatkan jurang perbezaan antara orang kaya dengan miskin. Tegasnya, segala amalan baik yang dilakukan secara berjemaah amat digalakkan dan mempunyai darjat yang tinggi dalam Islam.