163 Globalisasi

Globalisasi

Globalisasi merupakan satu fenomena yang berlaku dalam kehidupan kita hari ini. Tidak ada mana-mana masyarakat yang bertamadun di seluruh dunia yang dapat mengelakkan diri daripada mengalami dan merasai fenomena globalisasi. Gelombang globalisasi yang melanda masyarakat moden hari ini ada yang membawa kebaikan dan manfaat dan ada pula yang membawa keburukan dan kemusnahan. Topik ini akan membincangkan fenomena globalisasi secara umum dan menjelaskan bagaimana masyarakat Islam seharusnya bersikap dan berfikir dalam menghadapi fenomena globalisasi.

Globalisasi ditakrifkan sebagai satu proses perhubungan yang kompleks antara masyarakat, budaya, institusi dan juga individu di seluruh dunia. Ia merupakan satu perkembangan sosial yang melibatkan pemampatan masa dan ruang, memendekkan jarak perhubungan dari satu tempat ke satu tempat atau jarak pertukaran maklumat melalui pengurangan tempoh masa yang ketara. Hal ini menjadikan dunia kelihatan lebih kecil dan kehidupan manusia semakin rapat antara satu sama lain.

Globalisasi yang kita sedang hadapi hari ini meliputi pelbagai aspek kehidupan manusia, baik dalam bidang ekonomi, politik, sosial, kepercayaan, makanan, ilmu pengetahuan dan maklumat, cara berfikir, hiburan dan sebagainya. Melalui proses globalisasi, bidang-bidang kehidupan seperti yang dinyatakan akan saling berkaitan dan berhubungan antara satu sama lain dan akhirnya akan menjadi satu sistem yang sama dan tunggal. Hal ini akhirnya akan menghilangkan nilai-nilai dan ciri-ciri tersendiri setiap masyarakat dan bangsa yang hidup di dunia ini. Walaupun secara teorinya, globalisasi akan bergerak secara dua hala iaitu saling pengaruh mempengaruhi, namun realitinya, ia bergerak secara sehala sahaja. Masyarakat yang mempunyai kekuatan dari segi ekonomi, politik, sains dan teknologi dan juga ketenteraan akhirnya akan dapat mempengaruhi masyarakat yang lemah. Hal ini dapat dilihat jika kita bincangkan globalisasi berdasarkan aspek-aspek tertentu.

Dalam aspek budaya umpamanya, globalisasi telah memaksakan budaya hidup masyarakat Barat ke atas masyarakat Timur. Dalam konteks masyarakat Malaysia umpamanya, jika dahulu masyarakat Melayu-Islam di Malaysia mempunyai adat budaya yang tersendiri. Namun oleh kerana pengaruh globalisasi yang membolehkan cara hidup dan berfikir masyarakat Barat ditonjolkan dengan berleluasa, maka hari ini kita dapati budaya hidup dan cara berfikir masyarakat Barat telah mengatasi cara hidup dan berfikir masyarakat Melayu-Islam di Malaysia.

Dapatkah anda berikan beberapa contoh situasi yang telah menular dalam masyarakat Melayu-Islam di Malysia? Bagaimana pula dalam bidang politik dan ekonomi?

Pengaruh globalisasi dalam bidang ekonomi dan politik telah membawa sistem politik dan ekonomi Barat menggantikan sistem politik dan ekonomi tradisional masyarakat lain. Barat yang lebih kuat dari segi ekonomi, politik, ketenteraan dan sains telah memaksa semua negara di dunia untuk mengamalkan sistem liberal demokrasi seperti yang diamalkan di Eropah dan Amerika. Mana-mana masyarakat yang tidak menerima sistem liberal demokrasi Barat akan dianggap sebagai masyarakat yang kejam, zalim dan tidak bertamadun. Dengan tekanan dan pengaruh globalisasi ini, akhirnya masyarakat dunia akan menjadi masyarakat unipolar yang berkiblatkan kepada Eropah dan Amerika. Semua yang datang dan berasal dari Eropah dan Amerika dianggap baik, maju dan bertamadun, manakala semua yang berasal dari Timur dianggap kejam, zalim dan mundur.

Kehadiran globalisasi tidak hanya memberi impak negatif malah impak yang positif iaitu globalisasi memungkinkan pencarian, penyebaran dan pemindahan ilmu dan maklumat dilakukan dengan mudah, pantas dan murah. Hal ini kerana satu daripada unsur dan pemangkin penting dalam era globalisasi masa kini ialah Internet.

Melalui Internet, segala ilmu dan maklumat yang dihasilkan di mana-mana bahagian di dunia ini dapat dipindahkan dan diketahui oleh masyarakat di bahagian dunia yang lain. Keadaan ini dapat merapatkan jurang ilmu pengetahuan dan tamadun antara penghuni dunia.

Globalisasi dengan kemudahan Internet dan juga kemajuan perhubungan fizikal seperti kereta api dan perhubungan udara yang canggih dapat merapatkan perhubungan antara bangsa dan mewujudkan suasana saling memahami antara pelbagai masyarakat dunia. Keadaan ini dapat membantu ke arah keharmonian dan keamanan dunia sejagat. Globalisasi juga membolehkan keperluan penduduk dunia dari segi makanan, perkhidmatan dan keperluan-keperluan lain dapat dipenuhi dengan murah dan mudah. Hal ini kerana sesuatu makanan, hasil perkilangan atau perkhidmatan yang dikeluarkan di sesuatu tempat di dunia dapat diperolehi di bahagian dunia yang lain melalui perkhidmatan pengangkutan yang cepat, cekap dan murah.

Secara ringkasnya, globalisasi mempunyai kesan yang positif dan negatif. Ianya terpulang kepada kebijaksanaan manusia untuk memanfaatkan globalisasi ini.

Dengan itu, masyarakat Islam mestilah memanfaatkan fenomena globalisasi sebaik mungkin. Antara cara yang dapat digunakan oleh umat Islam untuk memanfaatkan globalisasi ialah dengan mendapatkan ilmu dan maklumat uamg bermanfaat sebanyak mungkin.

Selain itu, kemudahan Internet juga mestilah digunakan sebagai satu medan dakwah bagi menyebarkan ajaran Islam dan menyampaikan nilai-nilai murni kepada masyarakat seluruh dunia. Pada hari ini, kita dapati hanya masyarakat Barat yang sangat aktif menggunakan kemudahan teknologi perhubungan dan komunikasi termasuk Internet untuk menyebarkan cara hidup, cara berfikir dan sistem nilai mereka kepada masyarakat lain di dunia. Hasilnya, kita dapati cara hidup Barat semakin meluas diterima di seluruh dunia termasuk dalam kalangan masyarakat Islam sendiri. Umat Islam mestilah berusaha untuk mengubah keadaan ini dengan menjadi lebih aktif menyebarkan dakwah Islam melalui teknologi komunikasi dan maklumat. Hal ini akan membolehkan cara hidup, cara berfikir dan sistem nilai Islam pula disebarluaskan dan diterima pakai secara meluas di seluruh dunia. Bagi membolehkan hal ini terjadi, umat Islam mestilah berusaha melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan. Inilah jihad dan perjuangan fi sabilillah yang tinggi dan mesti dilakukan oleh anda, para penuntut sekalian.

Sebagai umat Islam, kita mestilah memanfaatkan globalisasi untuk kebaikan Islam dan masyarakat alam seluruhnya. Hal ini kerana Islam merupakan agama yang bersifat global. Untuk tujuan ini, masyarakat Islam mestilah mempunyai persediaan yang lengkap dari segi akidah dan ilmu pengetahuan.

 

Rujukan Web
Sila layari laman web berikut untuk mengetahui lebih lanjut mengenai globalisasi.

http://www.slideshare.net/sukimas/globalisasi-menurut-islam-dr1yusofal-qardawi