160 Gejala keruntuhan moral

Gejala keruntuhan moral

Manusia semakin hari semakin rakus mengejar arus pemodenan dan kemajuan duniawi. Dalam masa itu, kita hampir terlupa pembangunan rohaniah yang seharusnya seiring dengan kemajuan duniawi. Maka, tidak hairanlah, ramai umat Islam kini yang hanyut dengan arus pemodenan itu. Malah, kebanyakan masalah sosial kini diterajui oleh sebilangan besar umat Islam.

Gejala keruntuhan akhlak merupakan satu isu yang sangat meruncing sekarang. Pelbagai kejadian yang amat merungsingkan berlaku di hadapan mata kita, mahupun yang didedahkan di dalam akhbar. Ia bukan sahaja berlaku dalam kalangan generasi muda dan remaja, malah turut terpalit dalam golongan dewasa. Keruntuhan akhlak semakin hari kelihatan semakin membesar dan serius. Kita akan membincangkan isu sosial dengan menekankan punca-punca yang membawa kepada wujudnya masalah ini dan langkah-langkah yang sewajarnya diambil oleh pelbagai pihak bagi mengurangkan dan seterusnya mengatasi masalah ini.

 

Perlakuan seks bebas

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

… dan jangan kamu akan berzina, kerana bahawasanya ada ia kejahatan yang sangat keji dan sejahat-jahat jalan.

(Surah al-Isra’: 32)

 
Perbincangan kita seterusnya ialah berkaitan dengan seks bebas yang melanda umat Islam kini. Penzinaan lelaki dan perempuan di tempat-tempat sunyi akhirnya membawa kepada gejala buruk yang akan merosakkan masyarakat. Semua bentuk hubungan kelamin yang menyimpang dari ajaran agama Islam dianggap zina. Batasan zina yang mewajibkan hukuman syarak ialah masuknya kepala zakar lelaki ke dalam kemaluan wanita yang tidak halal disetubuhi kerana tidak melalui pernikahan sekalipun tanpa keluar air mani. Perbuatan zina ini amat menyedihkan dan sekaligus menggambarkan tahap moral masyarakat telah merosot kepada tahap yang rendah dan membimbangkan.

Bahaya dan akibat perbuatan zina amat besar sekali dan memberi kesan bukan sahaja kepada individu yang terlibat tetapi juga kepada masyarakat. Antaranya ialah perbuatan zina akan membunuh rasa malu walhal rasa malu amat penting dan merupakan perhiasan yang sangat indah bagi seseorang perempuan. Dalam perbuatan zina terkumpul bermacam-macam dosa dan keburukan yakni agama si penzina akan berkurang dan hilangnya sikap warak. Maka, akan hilang kehormatan pelakunya dan jatuh martabatnya, baik di hadapan Allah s.w.t. dan sesama manusia.

Selain itu, wajah seseorang yang telah melakukan zina akan menjadi muram dan gelap. Di samping itu, perbuatan zina juga mematikan sinar seri pelakunya dan menjadikan hati mereka degil ke arah kebaikan. Kesan perbuatan zina terhadap masyarakat ialah menyebabkan hancurnya masyarakat itu, yakni mereka semua akan dimusnahkan oleh Allah s.w.t. akibat dosa yang berleluasa dan dilakukan secara terang-terangan.

Demikianlah besarnya bahaya dosa zina sehingga Ibnu Qayyim, ketika mengulas tentang hukuman bagi penzina, berkata: Allah telah mengkhususkan hadd (hukuman) bagi pelaku zina dengan tiga perkara iaitu:

Pertama, hukuman mati secara hina (rejam) bagi penzina kemudian diringankan (bagi yang belum bernikah) dengan dua jenis hukuman, hukuman fizikal yakni dirotan seratus kali dan hukuman mental dengan diasingkan selama satu tahun.Kedua, Allah s.w.t. secara khusus menyebutkan larangan merasa kasihan terhadap penzina. Umumnya, sifat kasihan diharuskan, bahkan, Allah maha pengasih namun rasa kasihan ini tidak sewajarnya menghalang daripada menjalankan syariah Allah. Hal ini ditekankan kerana lazimnya orang lebih kasihan kepada penzina daripada pencuri, perompak, pemabuk dan sebagainya. Di samping itu, perbuatan zina boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja, termasuk orang kelas atasan yang mempunyai kedudukan tinggi yang menyebabkan orang yang menjalankan hukuman merasa enggan dan kasihan untuk menjalankan hukuman.Ketiga, Allah memerintahkan agar perlaksanaan hukuman zina disaksikan oleh orang mukmin dengan maksud menjadi pengajaran dan memberikan kesan positif bagi kebaikan umat.

 
Islam tidak akan menyusahkan umat, malah memudahkan umatnya. Dengan apa yang berlaku di atas, tidak bermakna kita tidak dibenarkan langsung untuk bergaul antara lelaki dan perempuan. Islam mengharuskan pergaulan antara lelaki dengan perempuan untuk tujuan tertentu. Bahkan, ia dituntut apabila bertujuan untuk kebaikan. Walau bagaimanapun, pergaulan antara lelaki dan perempuan mestilah dilakukan dalam situasi yang terhindar daripada maksiat.

 

Adab pergaulan antara lelaki dan perempuan mengikut Islam

1. Pakaian hendaklah sentiasa menutup aurat dan sopan sebagaimana yang ditentukan oleh syarak.

2. Bergaul apabila mempunyai tujuan seperti dalam urusan ilmu yang bermanfaat, amal saleh, perjuangan, kebajikan dan lain-lain yang memerlukan banyak tenaga lelaki dan perempuan.

3. Manjaga tutur kata dan tingkah laku yang sopan.

4. Tidak berdua-duaan antara lelaki dan perempuan tanpa disertai mahram.

Namun, akhir-akhir ini, masyarakat Islam turut sama mengamalkan budaya Barat yang sememangnya terpesong akidahnya. Selain daripada penzinaan antara lelaki dan perempuan, kita dihimpitkan pula dengan masalah homoseksual dan musahaqah (lesbian).

Daripada Jabir r.a., dia berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda ertinya:

Sesungguhnya yang paling aku takuti (menimpa) umatku adalah perbuatan kaum Luth.

(HR. At Tamizi)

 
Budaya homoseksual yang berlaku sekarang ini amat mengaibkan umat Islam sejagat. Ramainya umat Islam yang terjebak dengan masalah homoseksual membimbangkan kita akan berulangnya peristiwa masyarakat Sadum semasa zaman Nabi Luth a.s. Masyarakat Sadum adalah masyarakat yang rendah akhlaknya, tidak mempunyai nilai agama dan peradaban. Maksiat dan kemungkaran bermaharajalela. Maksiat yang paling menonjol dalam kehidupan masyarakat Sadum ialah perbuatan homoseksual dalam kalangan lelaki dan lesbian dalam kalangan perempuan. Maka Allah s.w.t. memerintahkan Nabi Luth a.s. membawa umatnya kembali ke pangkal jalan. Ketahuilah, bahawa Rasulullah s.a.w. melaknat pelaku homoseks sebanyak tiga kali, sedangkan pezina hanya sekali. Islam amat menentang keras hubungan sejenis ini kerana perbuatan itu akan memberi kesan yang buruk kepada pelakunya dari aspek kesihatan. Homoseksual akan menyebabkan manusia dihidapi penyakit Aids dan pelbagai penyakit kelamin yang lain.

Rujukan Web
Jika anda ingin mengetahui kisah lanjut mengenai masyarakat Sadum, anda boleh melayari laman web berikut:

http://ms.wikipedia.org/wiki/Nabi_Luth

 
 

Aktiviti 5.10
Soalan kepada aktiviti 5.10 Cadangan jawapan untuk aktiviti 5.10

 

 

 

 

 

 

Penggunaan barang terlarang

Selain daripada isu homoseksual, masyarakat Islam kini turut berdepan dengan masalah penggunaan barang terlarang seperti minum arak, penyalahgunaan najis dadah, pil khayal dan menghidu gam.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

Tiap-tiap yang memabukkan itu khamar (arak) dan semua yang memabukkan itu haram. Dan siapa yang minum khamar di dunia sehingga mati belum bertaubat maka tidak akan dapat minum khamar (arak) di akhirat.

(HR. Abul Laits)

 
Islam menggalakkan umatnya mengambil makanan yang baik, bersih dan halal. Tegahan mengambil bahan yang kotor, jijik dan keji ini adalah ditegah sama sekali kerana ianya mempunyai kaitan yang rapat dengan mental dan spiritual. Secara tidak langsung, pengambilan bahan terlarang ini akan menpengaruhi kesempurnaan amal ibadat seseorang.

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud:

Bermula arak itu ibu segala kejahatan. Maka barangsiapa minum akan dia, tiada diterima akan sembahyangnya 40 hari.

(HR. al-Tirmizi)

 
Larangan Allah s.w.t. terhadap benda-benda terlarang ini mempunyai sebabsebabnya. Abu Lais (ahli fekah) berkata: Jauhilah daripada minum khamar (arak) kerana di dalamnya terdapat 10 perbuatan yang tercela:

1. Apabila seseorang minum arak, maka kedudukannya menjadi seperti orang gila dan akhirnya menjadi bahan ketawa dan dia tergolong orang yang tercela.

2. Hilang akal dan menabur-naburkan wang ringgit.

3. Menimbulkan pergaduhan dan permusuhan antara satu sama lain.

4. Menjadi penghalang seseorang itu mengingati Allah s.w.t. dan melakukan ibadat seperti sembahyang, puasa dan lain-lain.

5. Mendorong melakukan perbuatan zina.

6. Merupakan kunci segala kejahatan kerana orang yang minum arak mudah melakukan perbuatan derhaka kepada Tuhan dan manusia.

7. Menyakiti para malaikat Hafadhoh kerana dia memasukkannya ke dalam golongan orang yang fasik.

8. Peminum arak wajib dirotan sebanyak 80 kali. Sekiranya terlepas di dunia maka dia akan di rotan di akhirat kelak daripada neraka dan disaksikan orang ramai.

9. Menyebabkan pintu-pintu langit ditutup dan semua amal perbuatan baiknya turut tidak diterima selama 40 hari.

10. Membahayakan diri kerana dikhuatiri dicabut nyawanya dengan tidak membawa iman.

 
Begitulah saudara, kita dapat melihat akibat seseorang Islam itu memandang remeh terhadap hukum Allah s.w.t. Kesan-kesan di atas merupakan larangan Allah s.w.t. supaya umat-Nya menjauhi segala bentuk atau bahan yang boleh memudaratkan tubuh mereka.

 

Aktiviti 5.11
Soalan kepada aktiviti 5.11 Cadangan jawapan untuk aktiviti 5.11

 

 

 

 

 

 

Masalah rasuah, dusta dan fitnah

Keruntuhan moral yang berlaku dalam kalangan umat Islam pada ketika ini sememangnya amat membimbangkan. Selain daripada gejala yang disebutkan di atas, kebanyakannya melibatkan golongan remaja, jangan pula kita alpa bahawa terdapat juga keruntuhan akhlak dalam kalangan golongan profesional. Sebagai contoh, anda boleh melihat menularnya masalah rasuah, berdusta dan fitnah.

Dan janganlah kamu makan harta orang lain antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak makan (atau mengambil) harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).

(Surah al-Baqarah: 188)

 
Perkataan rasuah berasal daripada perkataan Arab, al-risywah. Di dalam al-Quran, rasuah digolongkan dalam kata umum batil iaitu meliputi juga perkataan jenayah lain seperti merompak, menipu dan memeras ugut. Kesan rasuah ini amat buruk sekali kerana ia dikategorikan dalam amalan dosa besar oleh Islam kerana terdapat unsur-unsur kezaliman serta mengambil hak orang lain tanpa kebenaran.

Daripada Abu Hurairah r.a., katanya:

Rasulullah s.a.w. telah mengutuk orang yang suka memberi rasuah dan orang yang suka menerima rasuah dalam soal hukum-menghukum.

(HR. Abu Hurairah)

 
Adakalanya kita keliru antara rasuah dan hadiah. Sebenarnya, terdapat perbezaan yang jelas antara rasuah dan hadiah. Pemberian sesuatu hadiah seperti wang, hamper atau barangan keperluan kepada seseorang yang mempunyai kuasa tertentu dengan tujuan yang tertentu dinamakan rasuah. Manakala, hadiah yang dihulurkan bertujuan untuk mendekatkan diri dengan seseorang yang lain kerana cinta dan kasih, dengan tujuan bantu-membantu dan sebagai rakan yang dapat berkongsi suka dan duka bersama-sama tanpa ada niat di sebaliknya dinamakan sebagai hadiah.

Kenapakah Islam melarang umatnya menerima dan memberi rasuah? Allah s.w.t. melaknat orang yang menerima dan memberi rasuah kerana Allah s.w.t. amat mementingkan rezeki yang halal. Rezeki yang diterima melalui pecah amanah, rasuah, berdusta merupakan haram dan berdosa. Oleh itu, marilah kita sama-sama membina keperibadian diri agar tidak terlibat dengan rasuah dan memperoleh rezeki yang halal.

Rujukan Web
Layari laman web berikut untuk maklumat lanjut mengenai rasuah.

http://www.scribd.com/doc/17895423/Rasuah-Menurut-Islam

 

Kini kita berbincang pula mengenai isu fitnah. Perkataan fitnah berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud kekacauan, bencana, cubaan dan penyesatan. Fitnah sering dimaksudkan sebagai berita bohong atau tuduhan yang diada-adakan untuk membinasakan seseorang yang tidak sesuai dengan kenyataan atau kebenaran.

Memfitnah sesama umat Islam merupakan salah satu penyakit rohani. Manusia yang memiliki penyakit rohani ini adakalanya suka menghasut, menimbulkan kekacauan dan memporak-perandakan keadaan tenang dalam kalangan masyarakat. Allah s.w.t. telah meletakkan dosa membuat fitnah lebih buruk kesannya daripada membunuh.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Fitnah itu besar (dahsyat) dari melakukan pembunuhan …

(Surah al-Baqarah: 217)

Dosa fitnah juga menghalang kita masuk syurga. Rasulullah s.a.w. bersabda yang:

Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.

(HR. Bukhari dan Muslim)

 
Anda perlu ingat bahawa penyebar fitnah akan dimalukan oleh Allah s w.t. apabila dia dibangkitkan pada hari akhirat kelak. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

Sesiapa yang menyebarkan kata-kata yang memalukan seorang Muslim dengan tidak sebenarnya, nescaya dia akan diberi malu oleh Allah dalam neraka pada hari kiamat.

(HR. Ibn Abid Dunya daripada Abu Zar)

 
Berdasarkan hadis di atas, kita dapat membuat kesimpulan bahawa hubungan yang baik antara satu dengan lain, khususnya antara seorang Muslim dengan Muslim lainnya merupakan sesuatu yang harus dijalin dengan sebaik-baiknya. Hal ini kerana Allah s.w.t. telah menggariskan bahawa orang mukmin bersaudara. Itulah sebabnya, segala bentuk sikap dan sifat yang akan memperkukuh dan memantapkan persaudaraan sesama Muslim harus dipelihara.

Huraian di atas telah menjelaskan sedikit sebanyak tentang keruntuhan moral yang terjadi sekarang ini. Pastinya, ramai antara anda yang sedar betapa kita perlu menjalani perubahan diri menjadi umat Islam yang lebih baik.

Dalam konteks masyarakat Islam, ajaran Islam menekankan keperluan berakhlak dengan akhlak Islamiyyah dalam semua aspek kehidupan. Hal ini jelas sekali dinyatakan dalam sebuah hadis yang meriwayatkan Rasullulah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud:

Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak.

(HR. Imam Malik)

 
Hadis ini dengan jelas menyatakan bahawa satu daripada misi utama Rasulullah s.a.w. ialah mengajar akhlak yang mulia kepada umatnya. Seseorang Muslim yang beriman kepada Allah mempunyai kewajipan untuk berakhlak dengan akhlak yang mulia.

Hal ini bermakna bahawa orang yang buruk akhlaknya, maka imannya tidak sempurna. Selain itu, akhlak juga merupakan salah satu daripada tiga aspek asasi yang membentuk isi kandungan ajaran Islam iaitu akidah, syariah dan akhlak. Dengan itu, seorang Muslim yang beramal dengan syariah Islam sepenuhnya mestilah melaksanakan dan menghayati ketiga-tiga aspek asasi itu.

Menghayati akidah dan syariah Islam sahaja dengan mengabaikan akhlak, menjadikan seseorang itu bukan seorang Muslim sepenuhnya seperti yang dikehendaki oleh Allah s.w.t. dalam firman-Nya yang bermaksud:

Wahai orang yang beriman masuklah ke dalam (Islam) sepenuhnya.

(Surah al-Baqarah: 208)

 
Berdasarkan perbincangan pada muka surat sebelah, jelas sekali bahawa isu keruntuhan akhlak dalam kalangan ahli masyarakat kita merupakan isu yang nyata dan sangat membimbangkan. Ia boleh meruntuhkan masyarakat yang wujud hari ini. Dengan itu, langkah-langkah yang holistik dan menyeluruh perlu diambil segera. Memandangkan kedudukan akhlak adalah sangat penting, maka setiap ahli masyarakat Islam mestilah mengambil pelbagai langkah yang perlu untuk memastikan tahap penghayatan akhlak yang tinggi dalam kalangan masyarakat dan membasmi semua bentuk keruntuhan akhlak.

 

Aktiviti 5.12
Soalan kepada aktiviti 5.12 Cadangan jawapan untuk aktiviti 5.12

 

Comments are closed.