57 Falsafah sains dan teknologi Islam

Falsafah sains dan teknologi Islam

Sains berasal daripada perkataan Latin scientia atau ‘ilm dalam bahasa Arab yang bermaksud ilmu. Sains merupakan cabang ilmu yang mengkaji sekumpulan pernyataan yang terbukti dengan fakta-fakta hasil tinjauan, cerapan dan susunan yang teratur dalam bentuk hukum-hakam. Sementara teknologi berasal dari perkataan Latin, tekne yang bermaksud kemahiran atau craft iaitu kemahiran manusia yang diperoleh melalui pengetahuan dan kelaziman.

Dalam falsafah ilmu Islam, ilmu yang sebenarnya ialah ilmu yang mampu membimbing manusia mengenali dan mendekati Allah s.w.t. Oleh itu, sains dan teknologi perlu dimanfaatkan dengan pelbagai cara untuk mencapai matlamat tersebut. Contohnya, menggunakan sains dan teknologi untuk kebaikan manusia sebagai satu cara untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.

Falsafah ilmu dalam Islam sangat berbeza daripada falsafah ilmu menurut kefahaman sekularisme. Dalam Islam, ilmu dibimbing oleh wahyu dan berpegang kepada prinsip Allah s.w.t., sementara ilmu dalam pemikiran Barat bertunjangkan falsafah yang lebih terbuka dan tidak terikat dengan nilai-nilai agama.

 

Ciri-ciri sains dan teknologi Islam

Antara ciri-ciri sains dan teknologi Islam ialah seperti berikut:

1. Berteraskan prinsip tauhid

Seluruh alam semesta termasuk makhluk manusia adalah ciptaan Allah s.w.t. Kewujudan alam semesta termasuk proses sebab-musabab dan segala fenomena yang berlaku daripada sekecil-kecil sehingga sebesar-besarnya ditentukan oleh Allah s.w.t. sebagai tanda kebesaran dan keagungan-Nya.

 

2. Integrasi antara ilmu akal dan ilmu naqal (Wahyu)

Pencapaian sains dan teknologi adalah pencapaian minda yang dikenali al-ulum al-aqliyyah (ilmu akal). Namun ulum al-aqliyyah perlu diintegrasikan atau digabungkan dengan ulum al-naqliyyah (ilmu wahyu). Contohnya, Islam menggalakkan penerokaan alam semesta dengan sains dan teknologi, namun tujuannya adalah untuk mengenali kebesaran dan keagungan Allah s.w.t.

 

3. Alam sebagai pembawa mesej

Dalam sains Islam, alam semesta dan fenomena tabii merupakan Kitab Allah yang mengandungi dan merakamkan pelbagai mesej, rahsia dan ilmu yang disampaikan oleh Allah s.w.t. kepada manusia untuk berfikir dan merenung tentang kejadian ciptaan Allah s.w.t. yang sungguh hebat. Alam nyata ini tidak wujud sendiri tanpa Penciptanya, iaitu Allah s.w.t. Sifat tabii bukanlah sesuatu yang bersifat semula jadi, kebetulan, tidak sengaja dan tidak ditentukan oleh keadaan dan kehendak alam. Sebaliknya, segala kejadian adalah tertakluk kepada kehendak dan kekuasaan-Nya.

 

4. Kebenaran hakiki adalah kebenaran wahyu

Menurut Islam, segala pencapaian sains dan teknologi tidak bermakna jika kebenaran mutlak (absolute truth) dinafikan. Kebenaran berasaskan pengetahuan empirik (ilmu sains dan teknologi) harus menerima hakikat kebenaran metafizik iaitu tentang kebenaran wujudnya Allah s.w.t.

 

5. Sains dan teknologi mengukuhkan keimanan

Sains Islam penuh nilai keberkatan ilmu (blessing), kebijaksanaan (wisdom), ketajaman daya faham (tafaqquh) dan kebenaran (al-haqq). Pencapaian sains dan teknologi adalah anugerah ilmu yang mempunyai pelbagai maklumat untuk menyakinkan manusia dengan bukti bahawa Allah s.w.t. adalah Pencipta, Pendidik dan Pemelihara alam semesta ini.

 
 
Evolusi sains dan sumbangan kepada tamadun manusia

Evolusi sains iaitu perkembangan sains adalah satu topik yang sangat menarik kerana anda berpeluang memahami perkembangan sains secara ilmiah. Pada umumnya, evolusi sains telah melalui beberapa tahap dari segi sejarah sains iaitu Sains Yunani, Sains Islam dan Sains Barat Moden.

Tahukah anda bahawa sains moden yang berkembang pesat di Barat sejak abad ke-17 dikatakan berasal daripada tamadun Yunani kuno. Tamadun Yunani muncul hasil interaksi budaya Mesopotamia, Babylon dan Mesir kuno. Asas falsafah Sains Tamadun Yunani ialah kebendaan atau dikenali sebagai materialisme. Namun begitu, perkembangan sains dalam tamadun Islam yang berlaku sejak abad ke-8 Masihi sehingga abad ke-15 Masihi adalah berpaksikan agama sebagai dasar falsafah sainsnya. Kekuatan rohani dan material yang ada pada Islam telah menyebabkan sains Islam mencapai tahap kecemerlangan sains yang sangat tinggi.

Dalam konteks tamadun Islam, anda boleh saksikan bahawa sains Islam telah mencapai perkembangan yang pesat dan banyak menyumbang ke arah kemajuan tamadun manusia dalam pelbagai bidang. Malah al-Qur’an yang merupakan sumber utama tamadun Islam banyak mengandungi maklumat-maklumat tentang kajian sains yang telah membantu para cendekiawan Islam untuk mengembangkan kajian bidang sains. Terdapat lebih kurang 756 ayat al-Qur’an, iaitu satu perlapan daripada keseluruhan al-Qur’an yang menyeru manusia mengkaji dan meneliti tanda-tanda kebesaran Allah s.w.t. yang wujud dalam alam tabii. Ayat-ayat inilah yang menjadi pendorong kepada saintis Islam lampau untuk meneroka dan mengkaji pelbagai bidang ilmu yang telah memberi sumbangan besar kepada tamadun manusia seluruhnya. Bincangkan.

 

Aktiviti 2.4
Soalan kepada aktiviti 2.4 Cadangan jawapan untuk aktiviti 2.4