166 Dialog peradaban

Dialog peradaban

Penduduk dunia terdiri daripada penganut pelbagai agama dan kepercayaan. Dalam era globalisasi ini, penganut daripada pelbagai agama dan kepercayaan sering bergaul dan berinteraksi antara satu sama lain. Dengan itu, kemungkinan berlakunya salah faham antara mereka sentiasa wujud. Bagi mengelakkan perkara ini, maka dialog peradaban yang membolehkan penganut pelbagai agama dan kepercayaan berbincang dan mengenali antara satu sama lain adalah sangat mustahak. Topik ini akan membincangkan secara ringkas tentang dialog peradaban dan kepentingannya dalam dunia hari ini.

Dialog peradaban secara umumnya merujuk kepada usaha-usaha berterusan bagi membolehkan penganut daripada pelbagai agama, kepercayaan dan tradisi saling mengenali, memahami dan menghormati antara satu sama lain. Ia bertujuan untuk menghapuskan rasa curiga, buruk sangka dan salah faham terhadap penganut agama atau kepercayaan lain. Hal ini seterusnya akan dapat mewujudkan suasana kehidupan masyarakat dunia yang aman sejahtera.

Dialog peradaban merupakan satu agenda yang sangat penting pada hari ini. Pada era globalisasi, masyarakat dunia daripada pelbagai agama dan tradisi dapat berinteraksi dengan mudah. Mereka terpaksa bergaul antara satu sama lain bagi memenuhi hajat dan keperluan hidup masing-masing. Dalam suasana ini, jika setiap pihak menyimpan rasa curiga, buruk sangka dan salah faham terhadap pihak yang lain, maka lambat laun ia akan menjadi barah yang membunuh dan memusnahkan masyarakat dunia. Banyak masalah dan tohmahan terhadap sesuatu agama terutamanya agama Islam dibuat kerana wujudnya perasaan curiga dan salah faham terhadapnya. Contohnya, Islam ditohmahkan sebagai agama keganasan pada hal ajaran Islam sentiasa mengajarkan ke arah keadilan dan kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat. Islam ditohmahkan sebagai agama kolot pada hal Islam sentiasa mengajarkan penganutnya untuk mencari ilmu sebanyak mungkin dalam pelbagai bidang dan memanfaatkannya untuk kemajuan dan kebahgiaan hidup manusia di dunia dan di akhirat.

Dalam konteks negara Malaysia, dialog peradaban ini merupakan sesuatu yang sangat penting. Hal ini kerana negara kita merupakan negara yang sangat rencam dengan kepelbagaian agama, bangsa, bahasa dan budaya. Kepelbagaian ini, jika tidak ditangani dengan baik, akhirnya akan menjadi faktor yang boleh menghancurkan kehidupan negara ini. Sebaliknya, jika diuruskan dengan bijak, ia akan menjadi kekuatan yang akan meletakkan negara ini kukuh dan istimewa di mata dunia. Salah satu cara untuk mencapai hasrat ini ialah dengan mewujudkan suasana saling memahami dan menghapuskan prasangka antara satu sama lain. Untuk itu, dialog peradaban antara penduduk negara ini daripada pelbagai agama dan kepercayaan mestilah dilakukan.

Daripada perspektif Islam, kepentingan mengadakan dialog peradaban ini tidak dapat dinafikan lagi. Rasulullah s.a.w. telah banyak kali mengadakan dialog dengan ketua-ketua musyrikin Arab dan juga delegasi asing yang datang ke Madinah. Malah, Baginda membenarkan mereka memasuki Masjid Nabi untuk mengadakan dialog keagamaan dan ketuhanan dengan Baginda. Tegasnya, dialog peradaban merupakan sesuatu yang amat penting dilakukan bagi mewujudkan kehidupan dunia sejagat yang aman, sejahtera dan harmoni.

 

Aktiviti 5.17
Soalan kepada aktiviti 5.17 Cadangan jawapan untuk aktiviti 5.17

 

 

 

 

 

Diharapkan anda telah memahami dengan jelas tentang konsep dialog peradaban dan peri mustahaknya dialog sedemikian diadakan di dunia hari ini. Jika usaha ini dapat dilakukan dengan cara yang berkesan dan berhemah, maka hasrat untuk mencapai taraf kehidupan sejagat yang aman dan makmur akan dapat direalisasikan dengan berjaya. Usaha ini perlu dilakukan dengan komitmen dan kesabaran yang tinggi daripada pelbagai pihak.