58 Ciri-ciri sains dan teknologi Islam

Ciri-ciri sains dan teknologi Islam

 

Antara ciri-ciri sains dan teknologi Islam ialah seperti berikut:

 

1. Berteraskan prinsip tauhid

Seluruh alam semesta termasuk makhluk manusia adalah ciptaan Allah s.w.t. Kewujudan alam semesta termasuk proses sebab-musabab dan segala fenomena yang berlaku daripada sekecil-kecil sehingga sebesar-besarnya ditentukan oleh Allah s.w.t. sebagai tanda kebesaran dan keagungan-Nya.

2. Integrasi antara ilmu akal dan ilmu naqal (Wahyu)

Pencapaian sains dan teknologi adalah pencapaian minda yang dikenali al-ulum al-aqliyyah (ilmu akal). Namun ulum al-aqliyyah perlu diintegrasikan atau digabungkan dengan ulum al-naqliyyah (ilmu wahyu). Contohnya, Islam menggalakkan penerokaan alam semesta dengan sains dan teknologi, namun tujuannya adalah untuk mengenali kebesaran dan keagungan Allah s.w.t.

3. Alam sebagai pembawa mesej

Dalam sains Islam, alam semesta dan fenomena tabii merupakan Kitab Allah yang mengandungi dan merakamkan pelbagai mesej, rahsia dan ilmu yang disampaikan oleh Allah s.w.t. kepada manusia untuk berfikir dan merenung tentang kejadian ciptaan Allah s.w.t. yang sungguh hebat. Alam nyata ini tidak wujud sendiri tanpa Penciptanya, iaitu Allah s.w.t. Sifat tabii bukanlah sesuatu yang bersifat semula jadi, kebetulan, tidak sengaja dan tidak ditentukan oleh keadaan dan kehendak alam. Sebaliknya, segala kejadian adalah tertakluk kepada kehendak dan kekuasaan-Nya.

4. Kebenaran hakiki adalah kebenaran wahyu

Menurut Islam, segala pencapaian sains dan teknologi tidak bermakna jika kebenaran mutlak (absolute truth) dinafikan. Kebenaran berasaskan pengetahuan empirik (ilmu sains dan teknologi) harus menerima hakikat kebenaran metafizik iaitu tentang kebenaran wujudnya Allah s.w.t.

5. Sains dan teknologi mengukuhkan keimanan

Sains Islam penuh nilai keberkatan ilmu (blessing), kebijaksanaan (wisdom), ketajaman daya faham (tafaqquh) dan kebenaran (al-haqq). Pencapaian sains dan teknologi adalah anugerah ilmu yang mempunyai pelbagai maklumat untuk menyakinkan manusia dengan bukti bahawa Allah s.w.t. adalah Pencipta, Pendidik dan Pemelihara alam semesta ini.