63 Bidang sains sosial dan kemanusiaan

Bidang sains sosial dan kemanusiaan

Pencapaian tamadun Islam turut menonjol dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan. Antara sumbangan yang telah diberikan oleh tokoh-tokoh Islam ini termasuklah dalam bidang-bidang yang berikut:

 

Geografi

Tamadun Islam turut menyumbang dalam bidang geografi. Ahli geografi Muslim yang terkenal iaitu Yaqut al-Hamawi (1179 – 1229M) telah berjaya menghasilkan ensiklopedia geografi dunia yang dikenali sebagai Mu‘jam al-Buldan. Manakala al-Biruni (973 – 1048M) telah memberi sumbangan yang besar dalam bidang geografi kerana berjaya menghasilkan beberapa karya yang penting, antaranya, Tahdid Nihayat al-Amakin (Penentuaan Batas Daerah). Beliau juga mencipta kaedah baru mengukur latitud (darjah lintang) dan longitud (darjah bujur). Malah, al-Biruni juga berjaya membuat pengukuran sendiri untuk menetapkan antipoda, kebulatan bumi, ketinggiaan serta sifat-sifat geografi bandar-bandar. Kajian al-Biruni bahawa planet bumi sentiasa berputar di atas paksinya serta mengelilingi planet matahari adalah lebih awal daripada kajian Galileo Galilei tentang teori yang sama.

 

Rujukan Web
Sila rujuk laman web berikut untuk mengetahui tokoh-tokoh Islam dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan.

1. http://www.islamtomorrow.com/islam/science.htm

2. http://www-history.mcs.st-andrews.ac.uk/Biographies/Al-Biruni.html

 

Sumber: http://ms.wikipedia.org/wiki/Abu_Raihan_Al-Biruni

 

Ibn Majad(1432 – 1500M) merupakan tokoh dalam bidang lautan kerana telah menulis buku dalam bidang yang berkaitan dengan laut. Buku ini banyak mengandungi maklumat tentang teori dan praktik yang diperlukan oleh pemandu kapal laut di Laut Merah, Lautan India dan Lautan China. Manakala buku al-Fawa’id telah diiktiraf sebagai karya utama pada zaman Renaissance dalam bidang ilmu Sains Samudera atau dikenali sebaai Oceanography.

 

Sejarah

Antara tokoh Islam yang telah meneroka bidang sejarah secara ilmiah ialah Ibn Khaldun. Karya agungnya, al-Muqaddimah merupakan satu ensiklopedia yang penting dalam membincangkan tentang sejarah dan pensejarahan. Buku ini merupakan rujukan penting dalam memahami sejarah tamadun manusia dan panduan untuk ahli sejarah bagi menghasilkan kajian-kajian penting. Malah, menurut Arnold J.Tonybee seorang pakar sejarah, menamakan al-Muqadimmah sebagai sebuah “buku sejarah falsafah” yang merupakan penulisan terbaik yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana cendikiawan.

Ibn Kathir (1301 – 1373M) juga merupakan seorang tokoh sejarah Islam yang hebat kerana banyak menulis karya yang menarik dan masih menjadi rujukan utama dalam bidang sejarah. Salah satu karya besar Ibn Kathir yang membincangkan sejarah yang cukup komprehensif ialah al-Bidayah wa an-Nihayah. Kitab ini terdiri daripada 14 jilid. Malah, beliau juga menulis karya Qasas al-Anbiya’ Ibratun Li-Uli al-AlBab yang boleh dianggap ensklopedia sejarah manusia model iaitu kisah para nabi yang menjadi teladan bagi orang yang berakal.

Apakah perasaan anda? Tentu anda berasa hebatnya ilmu sains dan teknologi tamadun Islam pada ketika dahulu.

 

Ekonomi

Bidang ekonomi berkembang pesat dalam tamadun Islam. Para ilmuan Islam telah banyak memberi sumbangan dalam memperkenalkan konsep-konsep ekonomi, strategi-strategi dan cara perlaksanaan sistem perekonomian yang sepadu dan holistik.

Saidina Umar al-Khattab r.a adalah tokoh yang sangat penting dalam sistem perekonomian negara yang sistematik. Beliau telah memperkenalkan Perbendaharaan Negara yang dikenali dengan Baitul Mal dan membentuk Jabatan Percukaian, Diwan Jibayah yang bertanggungjawab dalam mentadbir harta negara.

Ibn Qayyim al-Jawziyyah (691/1292 – 751/1350) bukanlah tokoh yang asing bagi orang Islam, tetapi ramai yang tidak tahu pemikiran dan sumbangannya dalam falsafah ekonomi Islam. Ibn Qayyim banyak membincangkan konsep kekayaan dan kemiskinan, ekonomi dan zakat, konsep faedah atau riba dan mekanisme pasaran.

Ibn Qayyim dalam penulisannya juga telah menyentuh beberapa perkara berkenaan falsafah ekonomi Islam iaitu konsep manusia Islam (homo islamicus) dan manusia bukan ekonomi (non-homo economicus), konsep keadilan dan nilai-nilai etika dalam ekonomi, aktiviti ekonomi, kerjasama dan pembahagian buruh, pemilikan harta kekayaan oleh individu, dan peranan kerajaan dalam ekonomi. Dalam hal ini, Ibn Qayyim menggariskan asas kepercayaan Islam bahawa setiap manusia bertanggungjawab membimbing diri sendiri ke arah menjadi hamba Allah yang baik dan Allah s.w.t. merupakan sumber pedoman dan petunjuk.

Jelas, beberapa aspek dalam falsafah ekonomi Islam yang dihuraikan oleh Ibn Qayyim merupakan antara prinsip dan teras ekonomi Islam yang membezakannya dengan falsafah ekonomi konvensional.

 

Rujukan Web
Kenali Ibn Qayyim menerusi laman web berikut:

http://en.wikipedia.org/wiki/Ibn_al-Qayyim

 
Ibn Khaldun (meninggal 784H/1406M), selain merupakan seorang sejarawan dan ahli sosiologi, juga merupakan seorang pemikir ekonomi tersohor. Dalam bukunya yang sangat terkenal iaitu al-Mukaddimah, beliau membincangkan mengenai teoriteori ekonomi seperti pengeluaran, pembahagian buruh, pertukaran, nilai, wang dan harga, pengagihan, pasaran dan peraturannya, pertumbuhan ekonomi dan pusingan perniagaan, pertumbuhan penduduk, kewangan negara dan pembiayaan awam, peranan kerajaan dalam ekonomi dan perdagangan antarabangsa.
 

Rujukan Web
Laman web berikut memaparkan teks penuh buku al-Muqadimah yang diterjemahkan dalam bahasa Inggeris.

http://www.muslimphilosophy.com/ik/Muqaddimah/

 
Selain itu, antara tokoh ekonomi Islam yang terkenal juga ialah Ibn Hazm (994 – 1064M), yang terkenal dengan sumbangan beliau dalam memperkenalkan strategi pembasmian kemiskinan, pengurusan zakat dan sistem percukaian. Seorang lagi tokoh ekonomi Islam, Nizam al-Mulk al-Tusi (1018 – 1092) pula telah menjelaskan cara-cara mencapai kecekapan ekonomi dan pengunaan tenaga buruh secara optima, sistem pengawalan pasaran dan perihal produktiviti.

 

Politik

Dalam bidang politik kenegaraan, tamadun Islam merintis jalan dalam memperkenalkan perlembagaan bertulis yang pertama dan tersusun iaitu Piagam Madinah. Perlembagaan ini dirangka berlandaskan sumber wahyu iaitu al-Qur’an yang memberi hak dan meletakkan tanggunjawab kepada semua warganegara yang terdiri daripada mereka yang beragama Islam dan bukan beragama Islam.

Nabi Muhammad s.a.w. mengasaskan pentadbiran negara Islam berasaskan keadilan sosial dan meletakkan kepemimpinan sebagai satu amanah. Pemimpin yang mentaati perintah Allah s.w.t. dan Rasul-Nya wajib ditaati dan jika pemimpin tidak patuh kepada Allah s.w.t. dan Rasul-Nya maka pemimpin itu tidak perlu ditaati.

Saidina Umar al-Khattab r.a. pula memperkenalkan Majlis Syura (Dewan Senat) iaitu badan penasihat yang bertanggungjawab memberi teguran dan pandangan dalam menentukan dasar dan keputusan negara kepada khalifah. Malah, pada zaman Saidina Umar al-Khattab r.a. juga dibentuk kementerian (wizarah), menteri (wazir) serta pemisahan jabatan pentadbiran (executive) daripada kehakiman (judiciary).

Sebagai contoh, anda boleh lihat Piagam Madinah di sini.

 

Pendidikan

Pendidikan merupakan salah satu bidang yang maju dengan pesat dalam tamadun Islam. Terdapat banyak tokoh pemikir Islam yang memberi sumbangan besar dalam pelbagai aspek pendidikan baik dari segi metodologi, konsep, klasifikasi ilmu mahupun kurikulum serta penyusunan sistem pendidikan.

Nabi Muhammad s.a.w. yang mendapat didikan langsung daripada Allah s.w.t. telah berjaya memperkenalkan metodologi pendidikan yang sangat menarik sehingga berjaya membentuk personaliti yang sangat masyhur serta menjadi bahan kajian ilmiah. Baginda Nabi Muhammad s.a.w. menggunakan pelbagai teknik pengajaran dan hikmah dalam menjelaskan pendidikan Islam kepada pengikutnya. Metodologi pengajaran Nabi s.a.w. meliputi kaedah kuliah, khutbah, pidato, dialog, perbincangan, halaqah, soal-jawab, hafalan, perdebatan, peta minda, demonstrasi dan amali.

Iman Abu Hanifah, Iman Malik, Imam Syafie dan Iman Ahmad b. Hambal adalah tokoh pendidik Islam yang banyak berjasa dalam memperkayakan pencapaian pendidikan Islam dalam tamadun Islam. Karya-karya keempat-empat tokoh agama ini seperti al-Usul, al-Muwatta, al-Risalah, dan al-Umm telah menjadi rujukan utama beratus-ratus tahun dalam membincangkan isu-isu ilmu berkaitan sosial, politik ekonomi dan negara.

Sementara Iman al-Ghazali, Ibn Sina, Ikhwan al-Safa, Ibn Rusyd, al-Farabi dan Ibn Khaldun telah memberi huraian yang lengkap tentang klasifikasi ilmu. Walaupun tokoh-tokoh pendidik dan pemikir Islam telah memanfaatkan ilmu daripada pelbagai tamadun seperti Yunani, India dan China namun mereka berjaya secara kritis dan kreatif menghasilkan karya-karya ilmiah yang asli. Karya-karya agung seperti al-Muqaddimah, Qanun al-Tibb, Ihya Ulum-Din, Ihsa al-Ulum masih relevan dan menjadi panduan dalam memahami konsep dan prinsip pendidikan sehingga sekarang.

 

Kesusasteraan

Bagaimana pula dengan dunia seni kesusasteraan? Kesusasteraan juga merupakan salah satu bidang yang berkembang pesat dalam tamadun Islam. Sebenarnya sastera Islam yang asli adalah sastera yang kaya dengan nilai-nilai keislaman. Al-Qur’an dan al-Sunnah adalah sumber utama tamadun Islam yang diwahyukan dalam bahasa yang indah dan juga bentuk serta susunan bahasanya yang amat menarik.

Keindahan bahasa al-Qur’an dan maknanya amat menusuk hati nurani para pendengar. Begitu juga al-Sunnah mempunyai nilai sastera yang tinggi dari segi bahasa dan intipatinya. Uniknya al-Qur’an dan al-Sunnah dari segi sastera bukan kerana aspek estetika semata-mata, tetapi juga kerana aspek kerasionalan, akal budi serta ilmu yang sahih.

Antara karya sastera Islam yang sangat terkenal dalam tamadun Barat adalah Hikayat 1001 Malam, Rubaiyat Umar Khayyam, Shah Nameh oleh Firdausi, Mantiqut oleh Fariduddin Attar, al-Masnawi oleh Jalaluddin Rumi, Gulistan dan Bustan oleh al- Saadi dan Tuti Nameh oleh al-Shirazi.

Perkembangan kesusasteraan dalam tamadun Islam sangat mempengaruhi sastera Eropah. Malah penulis-penulis sastera Islam telah memberi nafas baru kepada sastera Barat. Hakikat ini telah diakui oleh H.A.R Gibb dan Bedier yang merupakan sarjana Islam dari Barat menyatakan bahawa sastera dari tamadun Islam khususnya karya-karya sastera Arab yang terkenal seperti The Arabian Nights, Ali Baba and 40 Thieves banyak mempengaruhi sastera Eropah.

 

Falsafah

Tamadun Islam telah melahirkan ramai ahli falsafah yang hebat. Beberapa tokoh falsafah Islam seperti al-Kindi, al-Farabi, dan Ibn Sina mendapat pengiktirafan dari Barat, walaupun tidak mendapat tempat yang sewajarnya jika dibandingkan dengan ahli falsafah Yunani seperti Plato dan Aristotle.

Seorang ahli falsafah Islam, Ibn Tufail (1105 – 1185M) dikatakan telah menulis banyak buku tetapi hanya sebuah sahaja kitab yang diwariskan kepada generasi umat Islam hari ini. Kitab itu ialah Hayy ibn Yaqzhan yang memuatkan pandangannya secara umum dengan gaya bahasa yang menarik dan imaginasi yang indah. Buku ini dianggap sebagai warisan paling unik yang ditinggalkan oleh seorang ahli falsafah Islam.

Buku ini kemudiannya diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa dunia. Yang menarik dalam buku itu, Ibn Tufail berusaha menerangkan bagaimana manusia mempunyai potensi untuk mengenali Allah. Katanya, semua ini dapat dilakukan dengan membuat penelitian terhadap alam sekitar dan sekelilingnya.

Ibn Maskawaih (941 – 1032M) adalah seorang ahli falsafah yang telah banyak mengemukakan pelbagai teori falsafah penting yang menjadi asas kepada pemikiran falsafah tokoh-tokoh selepasnya. Pandangannya mengenai manusia dan perkembangan masyarakat bukan sahaja menjadi asas pemikiran kepada ilmuwan Islam yang lain seperti Ibnu Khaldun dan Jalaluddin al-Rumi tetapi juga para sarjana Barat.

Bagi Ibn Maskawaih, manusia itu ialah sebuah dunia yang kecil dan padanya terdapat gambaran mengenai segala yang ada di dunia ini. Setiap manusia mempunyai peranannya yang tersendiri sama ada sebagai individu ataupun anggota masyarakat. Pendapat beliau ini menepati “Teori Fungsi” yang dikemukakan oleh seorang ahli sosiologi Perancis yang bernama Auguste Comte (1798 – 1857M). Sekiranya setiap anggota masyarakat melaksanakan peranan dan fungsinya maka masyarakat itu akan berada dalam keadaan yang stabil dan bersatu padu serta membolehkannya berkembang dengan teratur. Manakala sebarang gangguan terhadap fungsi itu akan mengakibatkan berlakunya konflik dan pergolakan dalam masyarakat. Secara tidak langsung ia akan membawa kepada keruntuhan masyarakat tersebut. Bagaimanakah teori fungsi ini berguna kepada masyarakat kini? Bincangkan bersama tutor anda.

Beliau juga telah mengemukakan teori akhlak dalam kitabnya yang berjudul Kitab Tahzib al-Akhlaq. Dalam kitab itu, beliau menyebut kemuncak akhlak ialah apabila lahirnya perbuatan-perbuatan baik yang dilakukan secara teratur. Oleh itu, akhlak yang baik hanya akan lahir daripada jiwa yang bersih dan begitu juga sebaliknya. Sesungguhnya Ibn Maskawaih yang dilahirkan pada 330H (941M) di Kota Rhages itu akan terus dikenang sebagai seorang ahli falsafah yang kaya dengan teori.

Ibnu Rusyd atau nama lengkapnya Abu Walid Muhammad Ibnu Ahmad lahir di Cordova pada tahun 1126. Beliau merupakan ahli falsafah yang paling agung pernah dilahirkan dalam sejarah Islam. Pengaruhnya bukan sahaja berkembang luas di dunia Islam, tetapi juga dalam kalangan masyarakat di Eropah. Di Barat, beliau dikenal sebagai Averroes.

Antara karya besar yang pernah dihasilkan oleh Ibnu Rusyd termasuklah Mabadi’ al-Falsafah (Pengantar Ilmu Falsafah), Kasyful Adillah, yang mengungkap persoalan falsafah dan agama, Tahafatul Tahafut, ulasannya terhadap buku Imam al-Ghazali yang berjudul Tahafatul Falisifah, dan Muwafaqatil Hikmah Wal Syari’a yang menyentuh persamaan antara falsafah dengan agama.

Hasil pemikiran yang dimuatkan dalam tulisannya, terutamanya dalam bidang falsafah, telah mempengaruhi ahli falsafah Barat. Dua orang ahli falsafah Eropah, iaitu Voltaire dan Rousseau dikatakan bukan sekadar terpengaruh dengan falsafah Ibnu Rusyd, tetapi memperolehi ilham daripada pembacaan karyanya.

Pemikiran Voltaire dan Rousseau telah mencetuskan era Renaissance di Perancis sehingga merubah wajah Eropah keseluruhannya sebagaimana yang ada pada hari ini. Masyarakat Barat sebenarnya terhutang budi kepada Ibnu Rusyd kerana pemikirannya, sama ada secara langsung ataupun tidak langsung yang telah mencetuskan revolusi di benua Eropah.

 

Rujukan Web
Sila rujuk laman web berikut untuk mengenali Ibnu Rusyd dan era Renaissance dengan lebih lanjut.

1. http://ms.wikipedia.org/wiki/Abul_Waleed_Muhammad_Ibn_Rushd

2. http://en.wikipedia.org/wiki/English_Renaissance