61 Bidang sains dan teknologi

Bidang sains dan teknologi

Antara perkembangan yang amat menonjol dalam tamadun Islam ialah pencapaian yang diperoleh dalam bidang sains dan teknologi. Antara sumbangan yang telah diberikan oleh tokoh-tokoh Islam ini termasuklah dalam bidang-bidang yang berikut:

 

Astronomi

Astronomi atau falak adalah salah satu ilmu sains yang berkembang pesat pada zaman keagungan tamadun Islam. Pencapaian cemerlang umat Islam dalam bidang astronomi terutamanya pada zaman Abbasiyyah begitu hebat kerana terdapat banyak makmal-makmal astronomi khususnya di bandar-bandar besar seperti di Baghdad.

Umat Islam berjaya menghasilkan kaedah-kaedah pengiraan dan jadual-jadual (zij) yang amat berguna dalam bidang astronomi. Malah satu pencapaian yang cukup membanggakan adalah kejayaan umat Islam mencipta ‘asturlab’, iaitu alat peneropong bintang.

Antara tokoh yang hebat dalam bidang astronomi adalah Ibrahim al-Fazari al-Munajjam (777M). Beliau telah menghasilkan buku-buku panduan yang membantu ahli falak dalam usaha mempertingkatkan kajian bidang astronomi. Antara buku ilmiah dalam bidang astronomi hasil tulisan Ibrahim al-Fazari al-Munajjam adalah Kitab al-Qasidah Fi ‘Ilm al-Nujum, Kitab al-Miqyas lil Ziwal dan Kitab al-Zij `Ala Sini al-`Arab. Beliau juga banyak menghasilkan jadual-jadual yang sangat berguna dalam bidang ilmu falak.

Seterusnya, tokoh astronomi Islam, al-Farghani (860 – 920M) yang dikenali di Barat sebagai ‘Affaraganus’. Antara karya penting beliau termasuklah Kitab Usul al-Falak, Kitab al-Fusul Ikhtiyat al-Majisti, Kitab al-`Amal al Rukhamat dan Kitab Jawami` Ilmu al-Nujum Wa al-harakat al-Samawiyah yang dialih bahasa kepada The Element of Astronomy. Buku berkenaan berkisar tentang pergerakan objek di langit dengan huraian yang lengkap.

Al-Khawarizmi (790 – 840M) pula telah berjaya mencipta jadual perjalanan bintangbintang atau zij, di samping menulis beberapa karya penting dalam bidang ini. Beberapa tulisannya termasuklah Kitab al-Rukhamah, Kitab al-Zij al-Awwal, Kitab al-Zij al-Thani, Kitab al-‘Amal bi al-Asturlab dan karya-karya yang lain telah menjadi rujukan para sarjana Islam apabila mengkaji astronomi Islam.

Seorang lagi ahli astronomi Islam, al-Battani (868 – 929M) berjaya menentukan liukan bumi 54.5”, dan sudut ekleptik adalah 23’ dengan 35’. Beliau turut menemui cara baru dalam menentukan masa anak bulan boleh dilihat dan dapat memperincikan fenomena gerhana matahari dan bulan. Karya-karya beliau dalam bidang astronomi termasuklah Kitab al-Zij, Kitab Ma’rifat Matla‘ al-Buruj fi ma bainaha ‘Arba’ al-Falak, Risalah fi Miqdar Tahqiq al-Ittisalat, Kitab Sharh Arba’a Maqalat li Batlinus dan lain-lain lagi.

Al-Biruni (973 – 1048M) pula telah mencipta jadual dalam bidang astonomi yang dinamakan Jadual Toledo. Jelaslah, sarjana dan tokoh astronomi Islam telah memberikan sumbangan yang cukup bermakna dalam mengembangkan bidang astronomi. Malah banyak istilah dalam bidang astronomi berasal dari perkataan dan istilah Arab. Antaranya termasuklah al-manak dari perkataan al-munakahah, azimuth dari perkataan as-sumuth, perkataan alidade dari perkataan al-‘iddah, perkataan nadir dan perkataan zanith. Begitu juga dengan nama bintang yang berasal daripada perkataan Arab, seperti aqrab (kala), al-tair (terbang), deneb (ekor), pherhed (anak lembu) dan perkataan-perkataan lain lagi.

 

Rujukan Web
Sila rujuk laman web berikut untuk mengetahui tokoh-tokoh Islam dalam bidang astronomi:

http://www.astronomes.com/astronomi.html

 

Aktiviti 2.5
Soalan kepada aktiviti 2.5 Cadangan jawapan untuk aktiviti 2.5

 

 

 

 

 

 

Fizik

Dr Shahrir Muhammaed Zain dalam bukunya, Pengenalan Tamadun Islam dalam Sains dan Teknologi (1985) telah menjelaskan tentang sumbangan tokoh fizik Islam yang terkenal, al-Farabi (872 – 950M) yang telah membuat kajian tentang bunyi dalam muzik dalam sebutan gelombang udara. Sementara Ibnu Sina (980 – 1037M) dalam karyanya yang terkenal al-Syifa membincangkan halaju bunyi dan cahaya.

Sumber: http://en.wikipedia.org/wiki/Avicenna

 

Rujukan Web
Sila rujuk laman web berikut untuk mengetahui tokoh-tokoh Islam dalam bidang fizik:

http://www.islamicity.com/science/

 

Abu Barakah al-Baghdadi (1077 – 1165M) dalam kitabnya al-Mu’tabar telah menerangkan masalah pecutan, jisim terluncur. Manakala al-Haitham atau dikenali al-Hazen (965 – 1040M) telah memperkenalkan konsep momentum dalam ilmu fizik. Buku-bukunya termasuk Kitab al-Sima, Kitab al-Kaun, Kitab al-Aath al-Uluwiyyah dan Kitab al-Sama.

Tokoh fizik yang tidak kurang hebat pada abad ke-12 ialah al-Khazin (1115M – 1130M). Beliau menulis buku Mizan al-Hikmah yang merupakan karya rujukan dalam bidang mekanik dan hidrostatik khususnya tentang konsep tarikan graviti.

 

Biologi

Biologi merupakan bidang yang mengkaji benda-benda yang hidup daripada yang sekecil-kecilnya sehingga kepada sebesar-besarnya. Contohnya bidang botani dan zoologi. Kedua-dua bidang ini berkembang pesat pada zaman keagungan tamadun Islam.

Antara tokoh botani Islam yang sangat terkenal ialah al-Riyasah Ibn Jarit yang telah membuat kajian pokok limau rubab dan penggunaannya. Al-Ghafiqi (1165M) berjaya mengarang kitab al-Adawiyyah al-Mufradah dan al-Jami fi al-Adwiyyah al-Mufradah. Buku-buku ini banyak membincangkan tentang botani dan ubat-ubatan.

Malah Ibnu al-Wahsyiyah telah mengarang kitab al-Filaha al-Nabatiyyah dan Ali Bin Rabban al-Tabari (838 – 870) telah mengarang kitab Firdaus al-Hikmah yang menerangkan tentang tumbuh-tumbuhan. Ibn Sina juga telah menulis buku al-Syifa yang menjelaskan kaitan tumbuh-tumbuhan dengan ubat-ubatan. Sementara Hikmah Najib Abdul Rahman (1977) dalam bukunya, Dirasat fi Tarikh al-Ulum ‘Ind al-Arab telah menyenaraikan banyak nama tokoh Islam dalam bidang botani. Sumbangan umat Islam dalam bidang botani sangat besar hasil sumbangan tokohtokoh Islam melalui pelbagai buku-buku botani hasil karangan mereka.

Dalam bidang zoologi pula, antara tokoh Islam yang sangat terkenal ialah al-Jahiz (781 – 868M) dengan kitabnya yang bertajuk al-Hayawan. Kitab ini memberi keterangan tentang binatang, sifat-sifat binatang, penyakit-penyakit dan cara-cara penyembuhannya. Beliau berjaya mengkaji tidak kurang daripada 350 binatang.

 

Rujukan Web
Sila rujuk laman web berikut untuk mengetahui tokoh-tokoh Islam dalam bidang biologi:

1. http://en.wikipedia.org/wiki/Al-Jahiz

2. http://mindarakyat0.tripod.com/2001jul/2001-2230.htm

 

Seorang lagi tokoh zoologi Islam, al-Asmaie (740 – 828M) telah memberi sumbangan yang besar menerusi karyanya iaitu Kitab al-Ibil, Kitab al-Khail, Kitab al-Wuhush, dan Kitab al-Syaal. Al-Damiri (1341 – 1405M) telah mengarang kitab Hayat al- Hayawan yang menyentuh bidang zoologi. Begitu juga al-Kindi, Ibnu Qutaibah, dan Ikhwan al-Safa yang telah mengarang beberapa buku tentang zoologi.

 

Matematik

Ilmu matematik merupakan salah satu pencapaian yang hebat dalam tamadun Islam. Antara tokoh Islam yang ulung dalam bidang matematik ialah al-Kindi (800 – 873M). Beliau amat handal dalam bidang aritmetik termasuk logik, geometri dan muzik. Salah satu buku beliau yang terkenal ialah al-Kafi fi al-Hisab (keperihalan keperluan matematik) yang menjelaskan kaedah-kaedah pengiraan.

Sumber: http://en.wikipedia.org/wiki/Al-Kindi

 

Sementara al-Khawarizmi (870 – 840M) dikenali sebagai bapa algebra kerana sumbangan besar dalam bidang algebra. Kitab al-Jabar Wal Muqalabah adalah kitab asas algebra yang dikarang oleh al-Khawarizmi pada tahun 820M. Malah beliau juga mengarang Kitab al-Mukhtasar Fi Hisab al-Jabar Wal-Muqalabah yang menerangkan penyelesaian masalah berasaskan algebra dalam kehidupan harian.

Sumber: http://en.wikipedia.org/wiki/Al-Khawarizmi

 

Al-Batani (868 – 929M) pula telah memperkenalkan konsep-konsep moden dengan perlambangan, fungsi-fungsi dan identiti trigonometri. Beliau juga menjelaskan tentang darjah sinus, tangen dan kotangen. Manakala Ala’ al-Din Ali bin Ibrahim bin al-Muwaqqit telah berjaya mengarang seratus buah jadual nilai-nilai sinus dan kotangen.

Tokoh geometri Islam yang sangat terkenal ialah Ibnu al-Haitham (965 – 1040M). Karya beliau tentang geometri pernah dipetik oleh Thomas L. Heath dalam bukunya The Thirteen Books of Euclid Elements. Selain itu, Thabit bin Qurrah (836 – 901M) turut memberi sumbangan yang besar dalam bidang geometri kerana salah satu karyanya telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris yang bertajuk On The Proposition of Euclid, On the Premises of Euclid dan Introduction to the Book of Euclid.

 

Perubatan

Bidang perubatan telah berkembang pesat sejak dari zaman Nabi Muhammad s.a.w. melalui kaedah perubatan nabi yang dikenali dengan ilmu al-Tibb al-Nabawi. Salah satu tokoh yang hebat dalam bidang perubatan ialah Ibnu Sina (980 – 1037M). Beliau mengarang buku al-Qanun fi al-Tibb (Peraturan Perubatan) yang mengandungi 14 jilid. Karya agung ini pernah dijadikan rujukan utama di universiti-universiti Eropah sehingga abad ke-17. Penulis-penulis Barat menggelarkan Ibnu Sina sebagai Bapa Doktor. Beliau telah menulis 250 karya yang masih ada sehingga sekarang dan 116 daripadanya ialah karya dalam bidang ilmu perubatan.

Salah satu cabang ilmu perubatan ialah bidang aftalmologi yang berkaitan dengan mata dan bidang ini turut berkembang pesat dalam tamadun Islam. Antara tokoh aftamologi yang sangat terkenal ialah Ibn Haitham (965 – 1040M) dan beliau telah mengarang kitab al-Manazir yang menerangkan perkara asas berkaitan mata. Manakala Halaf al-Tulainim adalah orang pertama yang menulis buku teks berkenaan penyakit mata.

Al-Razi (864M) pula merupakan pengasas perubatan psikomatik yang menekankan keseimbangan antara jasmani dengan rohani. Kitab al-Hawi adalah sumber rujukan penting pada abad ke-12 sehingga ke-17 dalam bidang perubatan klinikal dan menjadi satu ensiklopedia perubatan amalan atau terapeutik. Beliau juga adalah tokoh utama yang berjaya mengenal pasti penyakit cacar dan membezakannya daripada campak.

 

Al-Majusi (994M) pula terkenal dalam bidang farmasi kerana dikenali sebagai bapa farmakologi. Beliaulah orang yang menemui analgestik (dadah yang menghilangkan rasa kesakitan). Kitab al-Maliki karangan al-Majusi juga salah satu lagi ensiklopedia yang mengandungi 400,000 perkataan dan terbahagi kepada 20 bahagian. Bahagian yang ke-19 yang hanya membincangkan tentang pembedahan mengandungi 100 bab kesemuanya.

 

Rujukan Web
Sila rujuk laman web berikut untuk mengetahui tokoh-tokoh Islam dalam bidang perubatan:

1. http://dakwah.info/ini-sejarah-kita/tokoh-perubatan-islam/

2. http://www.zilhan.com/tokoh-perubatan-terkenal-dunia/

 

Contoh-contoh kajian dalam perubatan Islam

 

 

 

Aktiviti 2.6
Soalan kepada aktiviti 2.6 Cadangan jawapan untuk aktiviti 2.6

 

Comments are closed.