2 1.0 Belajar di WOU melalui pembelajaran jarak jauh

(Pelajar yang meneruskan kursus ke semester dua dan seterusnya boleh kecualikan bab ini.)

Universiti Terbuka Wawasan (juga dikenali sebagai WOU) mengalu-alukan anda menjadi ahli kelompok pelajar jarak jauh. Membuat keputusan melanjutkan pelajaran adalah satu langkah yang bijak dalam hidup anda. Justeru, adalah sangat penting untuk memilih sebuah universiti yang bersesuaian dengan kehendak anda. WOU berharap agar dapat membantu anda membuat keputusan ini. Dalam bahagian ini, kami ingin menerangkan proses pembelajaran di WOU dan bagaimana anda boleh belajar dan bekerja pada masa yang sama.

WOU telah menggunakan kaedah pembelajaran jarak jauh sebagai unsur utama untuk melaksanakan program yang memberikan peluang pembelajaran sepanjang hayat. Program pembelajaran yang anjal ini memberikan peluang kepada mereka yang sedang bekerja sambil belajar tanpa menghadiri kelas dalam kampus lima hari seminggu selama lima tahun untuk mendapatkan kelulusan dan kelayakan akademik mereka. Mereka juga tidak perlu meninggalkan rumah atau kerja untuk melanjutkan pelajaran.

Pembelajaran anda di WOU akan didampingi oleh bahan pengajian kendiri yang diolah secara komprehensif serta bersesuaian, Sistem Pengurusan Pembelajaran (Learning Management  System, LMS) iaitu WawasanLearn yang direka khas dan sistem tutorial yang berkesan. WawasanLearn yang direka bentuk ini bersedia untuk membantu anda menjalankan seluruhan program dengan jayanya seperti penaksiran, pembelajaran, pengukuhan, sokongan dan kesahan modul bagi mewujudkan satu suasana pembelajaran yang berkesan. Dari segi teknikal, WawasanLearn adalah satu aplikasi perisian yang menggunakan program komputer untuk menyusun rangka kerja serta mencatat kemajuan dan pencapaian anda.

Sesi tutorial secara amnya akan dijalankan pada hujung minggu, bertempat sama ada di kampus WOU atau di pusat-pusat pembelajaran di luar kampus WOU. Pusat-pusat pembelajaran ini dipilih berhampiran dengan tempat tinggal anda. Jadual tutorial akan diberi kepada anda pada awal permulaan semester. Sesi tutorial ini akan memberikan satu platform kepada anda untuk memahami lebih lanjut mengenai kursus yang diambil dan memberi anda peluang untuk berbincang sambil bertukar-tukar fikiran dan pendapat dengan rakan-rakan belajar yang lain. Justeru, ini akan membentuk kemahiran dan keyakinan dalam diri anda.

Kejayaan dalam kursus ini bergantung kepada pencapaian anda dalam penilaian berterusan dan peperiksaan akhir. Dalam kes-kes tertentu, kehadiran dalam kelas tutorial atau latihan amali di makmal juga akan dipertimbangkan. Belajar dengan menggunakan sistem jarak jauh memerlukan komitmen yang tinggi bagi memastikan anda memperolehi kelayakan dan kejayaan dalam kursus yang ditawarkan. Walaupun pihak WOU telah menyediakan satu cara yang fleksibel untuk anda belajar, anda masih juga dikehendaki menyempurnakan tugasan dan peperiksaan seperti yang telah dijadualkan.

Secara amnya, anda harus pandai mengagihkan masa anda sekurang-kurangnya 6 jam seminggu untuk belajar selain daripada menghadiri kelas-kelas tutorial.

Comments are closed.