3 2.0 Bagaimana untuk berjaya sebagai seorang pelajar jarak jauh

(Pelajar yang meneruskan kursus ke semester dua dan seterusnya boleh kecualikan bab ini.)

Pembelajaran jarak jauh (PJJ) ialah satu sistem pendidikan yang disampaikan kepada para pelajar secara jarak jauh. Ada 2 elemen yang penting iaitu:

1. Pemisahan secara fizikal antara Penyelaras Kursus (CC) dengan para pelajar.

2. Peranan tutor: Tutor hanya menemui pelajar untuk tugas-tugas tertentu sahaja seperti untuk kaunseling, memberi tutorial dan bersama-sama menyelesaikan masalah para pelajar.

Dalam sistem pembelajaran yang konvensional, isi pembelajaran disampaikan oleh guru kepada para pelajar secara bersemuka dan secara lisan. Dalam sistem pembelajaran jarak jauh, perhubungan ini dijalinkan melalui bentuk cetakan, perhubungan elektronik, telefon, telesidang, audio, video penyiaran dan lain-lain cara lagi.

Untuk anda, sistem pendidikan jarak jauh ini banyak memberi manfaat kerana ia memberi anda peluang untuk melanjutkan pelajaran anda dan meneruskan citacita anda yang terbengkalai disebabkan hal-hal yang tidak dapat dielakkan. Jarang didapati mereka yang telah bekerja berhenti semata-mata untuk menyambung pelajaran. Oleh sebab itu, sistem pendidikan ini amat sesuai dengan kemampuan anda. Ia juga memberi peluang kepada anda untuk belajar sambil meneruskan karier tanpa menjejaskan komitmen anda terhadap kerjaya, keluarga dan masyarakat.

Terdapat beberapa sebab yang dikenal pasti bagi anda yang ingin melanjutkan pelajaran antaranya, ingin meningkatkan atau menukar kerjaya anda ke bidang lain. Selain itu, anda juga mungkin ingin meneruskan cita-cita anda untuk belajar ke peringkat ijazah yang terbantut disebabkan oleh masalah kewangan dan keluarga.

Dalam hal ini, sistem pendidikan jarak jauh boleh membantu anda kerana sistem ini dapat mengatasi masalah kesuntukan masa, kekurangan wang atau latar belakang akademik untuk membolehkan anda mengikuti pengajian sepenuh masa di kampus. Pendidikan jarak jauh menjadi landasan yang membolehkan anda meneruskan pengajian anda. Penting bagi anda mengingatkan diri sendiri bahawa dalam sistem pendidikan jenis ini, anda tidak keseorangan dalam perjalanan untuk mendapatkan segulung ijazah. Anda mestilah bijak menggunakan sepenuhnya peluang dan kemudahan yang disediakan sepanjang anda belajar dengan WOU, terutama sekali mengenali pelajar-pelajar lain agar anda dapat bekerjasama di antara satu sama lain dan saling membantu.

Untuk memastikan anda akan dapat mengikuti pengajian seperti yang dijadualkan, anda perlu berusaha menghadiri semua kelas tutorial, mengadakan kumpulan perbincangan, menyemak isu-isu terkini yang terdapat di LMS, melibatkan diri dalam e-forum dan menghubungi tutor anda. Tutor anda akan sentiasa bersedia membantu anda memahami bahan-bahan pengajaran yang telah disediakan jika anda menghadapi sebarang kemusyikalan. Tutor bukan berperanan sebagai guru yang mengajar di kelas tetapi sebagai pemudah cara anda.

Tutor anda akan memberi alamat e-mel dan nombor telefon untuk memudahkan anda menghubungi beliau. Anda juga diminta supaya mengambil sedikit nota berkaitan dengan rakan-rakan sepembelajaran bagi memudahkan anda bekerjasama di antara satu sama lain. Perhubungan yang erat akan memudahkan anda mengaplikasikan keupayaan anda dan menambah pengalaman belajar melalui penggunaan sistem teknologi di WOU.

Comments are closed.