154 Allah, manusia dan alam

Allah, manusia dan alam

Antara aspek yang penting dalam memahami pandangan semesta Islam ialah anda perlu memahami hakikat Allah s.w.t., manusia dan alam seluruhnya serta hubungan antara ketiga-tiga unsur tersebut dari segi hak dan tanggungjawab masing-masing.

 

Hakikat Allah s.w.t.

Hakikat Allah s.w.t. mestilah diketahui berdasarkan maklumat yang diberikan oleh Allah s.w.t. melalui wahyu-Nya dalam al-Qur’an mahupun al-Hadith. Tidak ada sesiapa juga yang dapat mengetahui hakikat Allah melalui sumber-sumber yang lain.

Berdasarkan wahyu-Nya, kita mengetahui bahawa Allah s.w.t. adalah Tuhan Yang Maha Esa dan berbeza daripada segala makhluk yang terdapat dalam alam semesta ini.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Katakanlah (wahai Muhammad) Dialah (Allah) Tuhan yang Esa.

(Surah al-Ikhlas: 1)

Firman-Nya lagi yang bermaksud:

Tiada baginya persamaan dengan sesuatupun.

(Surah al-Ikhlas: 4)

 

Allah s.w.t. bersifat dengan segala sifat kesempurnaan dan Maha Suci daripada segala sifat kekurangan. Allah s.w.t. tidak sama dengan makhluk dalam apa bentuk sekalipun tetapi mempunyai persamaan dengan sifat makhluk. Sungguhpun demikian, adalah mustahil Allah s.w.t. mempunyai sebarang sifat kelemahan.

Allah sahajalah yang menciptakan manusia dan segala alam ini. Oleh kerana Allah Maha Sempurna, maka Allah mencipta alam ini dengan penuh kesempurnaan. Oleh kerana Allah Maha Pengasih dan Penyayang, maka Allah mencipta alam ini dengan penuh kasih sayang. Begitu juga, oleh kerana Allah Maha Bijaksana, maka Allah s.w.t. mencipta alam ini dengan serba lengkap dan tahu segala kelemahan, kekurangan, keperluan dan kekuatan alam ini.

Dengan itu, untuk memelihara alam yang diciptakan-Nya, Allah s.w.t. telah menurunkan peraturan-peraturan-Nya untuk dipatuhi. Bagi makhluk yang berakal seperti manusia dan jin, Allah menurunkan peraturan-Nya dalam bentuk hukum syarak dan juga hukum alam. Manakala bagi makhluk yang tidak berakal pula, seperti haiwan dan tumbuh-tumbuhan, Allah s.w.t. menurunkan hukum alam sahaja.

Bagi menjamin kehidupan yang sempurna, semua makhluk perlu taat dan patuh kepada peraturan ciptaan Allah sama ada dalam bentuk hukum syarak mahupun hukum alam. Manusia yang engkar mematuhi hukum syarak dan juga hukum alam ciptaan Allah s.w.t. akan menghadapi kemusnahan di dunia dan di akhirat. Begitu juga makhluk lain seperti haiwan dan tumbuh-tumbuhan yang tidak patuh kepada hukum alam ciptaan Allah akan turut menghadapi kemusnahan di dunia ini. Hal ini kerana Allah Maha Mengetahui apa yang baik dan apa yang tidak baik bagi makhluk-makhluk ciptaan-Nya.

 

Aktiviti 5.2
Soalan kepada aktiviti 5.2 Cadangan jawapan untuk aktiviti 5.2

 

 

 

 

 

 

Hakikat manusia

Manusia pada pandangan Islam merupakan makhluk yang paling mulia. Sila teliti jadual di bawah yang menunjukkan hikmah Allah s.w.t. mencipta manusia.

Hikmah manusia dijadikan sebaik-baik makhluk di dunia

 

1. Supaya manusia menginsafi dalam dirinya bahawa Allah s.w.t. menciptakannya dalam bentuk yang sempurna.

2. Supaya manusia bersyukur di atas nikmat kurniaan Allah s.w.t. yang telah mencipta sebaik-baik kejadian.

3. Membolehkan manusia menjadi khalifah di muka bumi untuk menegakkan Islam dan memakmurkan alam.

4. Supaya manusia tunduk kepada perintah Allah s.w.t. dalam segenap aspek kehidupan.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Sesungguhnya Kami memuliakan anak Adam.

(Surah al-Isra’: 70)

Hal ini bermakna manusia diberikan mandat oleh Allah s.w.t. untuk mentadbir dan memerintah alam ini dengan baik. Namun begitu, kedudukan manusia sebagai khalifah yang mentadbir dan memerintah alam ini tidak bermakna mereka boleh mengeksploitasi alam ini sesuka hati mereka.

Oleh kerana kedudukan manusia sebagai khalifah dan hamba Allah, maka manusia berada pada kedudukan yang tersendiri dan lebih mulia daripada segala makhluk yang lain. Dengan itu, manusia tidak sepatutnya menjadi hamba atau bertuhankan kepada makhluk yang lain selain daripada Allah s.w.t.

Selain itu, bertuhankan kepada makhluk yang lain juga boleh berlaku dalam bentuk meletakkan keutamaan kepada makhluk itu melebihi keutamaan mematuhi perintah Allah s.w.t. Contohnya ialah ajaran-ajaran sesat yang semakin merebak di Malaysia.

Salah satu daripadanya ialah ajaran Ayah Pin. Ayah Pin telah mengaku bahawa beliau merupakan Tuhan bagi kerajaan langit dan bumi. Malangnya, ramai umat Islam yang rendah iman dan akidahnya telah terpengaruh dengan ajaran Ayah Pin dan menjadi pengikutnya.

Seseorang itu pula bertuhankan hawa nafsu jika dia menurut kehendak hawa nafsunya sehingga dia sanggup melanggar batasan hukum-hukum Allah.

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

Adakah engkau melihat orang yang mengambil hawa nafsunya sebagai tuhan?

(Surah al-Jathiyah: 23)

Begitu juga seseorang dikatakan bertuhankan kebendaan, wang ringgit atau pangkat kebesaran jika dia sanggup melanggar hukum Allah dalam usahanya untuk mendapatkan kekayaan atau pangkat kebesaran tersebut.

Ringkasnya, manusia yang sempurna ialah manusia yang sentiasa menyedari dan menghayati kedudukannya sebagai khalifah dan pada masa yang sama juga sebagai hamba Allah di alam ini.

 

Hakikat alam

Alam termasuk dalam golongan makhluk kerana semuanya dicipta oleh Allah s.w.t. Penciptaan alam semesta ini bertujuan untuk kemudahan dan kesenangan manusia.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Apakah engkau tidak melihat bahawa Allah telah memberikan kemudahan kepada kamu segala isi kandungan langit dan bumi.

(Surah Luqman: 20)

Manusia diperintahkan untuk memanfaatkan dan memakmurkan alam semesta yang diciptakan oleh Allah s.w.t. Oleh itu, memakmurkan alam semesta dengan menjaganya dan memanfaatkannya secara baik adalah juga satu ibadat yang diberikan ganjaran pahala oleh Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t. bermaksud:

Dan tiada bagi-Nya sekutu dalam pemerintahan-Nya dan Ia menciptakan setiap perkara maka Ia tetapkan baginya ketetapan (tertentu).

(Surah al-Furqan: 2)

 

Setiap ciptaan Allah s.w.t. itu ada tujuannya. Sila lihat contoh di bawah:

Tujuan Allah s.w.t menjadikan bumi:

 

• Supaya manusia berfikir tentang kejadian bumi yang begitu sempurna seterusnya yakin dengan kekuasaan-Nya.

• Untuk kemudahan hidup manusia di alam ini dan untuk memudahkan mereka mempelajari ilmu-ilmu Allah s.w.t.

• Supaya manusia menggunakan alam ciptaan Allah s.w.t. sebagai sumber rezeki dan ilmu membina tamadun.

• Untuk menunjukkan kekuasaan, kebesaran dan kebijaksanaan Allah s.w.t.

• Sebagai tempat tinggal kepada manusia dan tempat mereka melakukan amal ibadat kepada Allah s.w.t.

 

Hubungan Allah, manusia dan alam

Berdasarkan perbincangan tentang hakikat dan kedudukan Allah, manusia dan alam, maka jelaslah kepada anda tentang hubungan antara ketiga-tiganya dari segi hak dan tanggungjawab. Allah s.w.t. merupakan tumpuan, penentu dan kemuncak bagi segala kewujudan alam dan fenomena yang berlaku dalamnya. Manusia pula, sebagai khalifah dan hamba Allah, perlu menunaikan tanggungjawab mentauhidkan Allah s.w.t. Tauhid bukan sahaja dari segi pengakuan terhadap kewujudan, keesaan dan kekuasaan-Nya yang disebutkan sebagai tauhid rububiyyah, tetapi juga tauhid dari segi ketaatan, kepatuhan dan beribadat kepada-Nya yang dikenali sebagai tauhid uluhiyyh. Tunduk kepada Allah s.w.t. adalah tunduk kepada hukum-hakam syarak dan hukum alam. Selain itu, ia juga bererti kewajipan mentadbir dan memakmurkan alam mengikut lunas-lunas yang ditentukan oleh Allah s.w.t.

 

Aktiviti 5.3 dan 5.4
Soalan kepada aktiviti-aktiviti Cadangan jawapan untuk aktiviti-aktiviti